Salam Rindu, PTEM!
Inilah Pusat Tingkatan Enam Meragang. Sebuah kampus yang memuatkan seramai 1000 lebih penuntut dan staf pengajar. Ia mula ditubuhkan bermula sejak awal tahun 2009. Pada mulanya ia terkenal sebagai Pusat Tingkatan Enam Berakas, yang terletak di Perpindahan Kg Lambak Kiri. Sekarang, kampus ini terletak di Lebuhraya Muara, Perpindahan Kampong Meragang. Lokasi kampus ini agak terpencil dan jauh daripada kesibukan bandar. Suasananya yang nyaman dan damai telah menjadikan ia sebuah kampus yang unik daripada kampus-kampus yang lain. Tambahan pula, kampus ini terletak bersebelahan dengan Pantai Meragang, yang secara tidaklangsung memberikan aura dan suasana yang positif buat para penghuni kampus ini.
Ada beberapa perkara yang ingin saya kongsikan dengan pembaca semua mengenai kampus ini, yang bagi saya ramai yang belum mengetahuinya. Sebelum menyentuh berkenaan hal itu, izinkan saya berkongsi dengan anda semua berkenaan tanggapan awal saya semasa buat pertama kalinya menjejak kaki ke kampus ini.
Pada mulanya, saya merasakan bahawa kampus ini tersangatlah besar dan luas. Moden dan prestij. Sebelum saya memutuskan untuk mendaftar masuk ke kampus ini, bermacam khabar berita yang saya dengar dari bibir kenalan saya. Ada yang menyatakan bahawa kampus ini suasananya terlalu 'sosial'. Ada juga yang mengatakan bahawa penuntut-penuntut di sekolah ini bergaul bebas dan sebagainya. Macam-macam khabar negatif yang saya dengar. Namun, sekalipun begitu, ia tidak sama sekali memutuskan harapan saya untuk memasuki kampus ini. Bagi saya, walau bagaimanapun keadaan atau suasana sebuah kampus itu, sama ada baik atau buruk, terpulang kepada kita sebenarnya untuk pandai menjaga diri atau tidak.
Pada penghujung bulan Februari, keputusan peperiksaan O Level telah pun dikeluarkan. Alhamdulillah, saya mendapat keputusan yang baik. Tidak cemerlang, tapi boleh dikatakan baik. Akhirnya, saya memutuskan untuk masuk ke Pusat Tingkatan Enam Meragang. Sebuah kampus yang dikatakan 'sosial' dan sebentuk dengannya. Saya mendaftar dengan tekad yang biasa sahaja. Untuk belajar. Untuk belajar. Itu sahaja. Tidak ada niat lain. Begitulah tanggapan awal saya mengenai kampus ini. Namun, semuanya berubah apabila tempoh persekolahan bermula. Satu yang saya tidak sangka-sangka. Mahu tahu apa? Teruskan membaca.
"Beriltizam. Berdaya maju. Berdaya saing". Begitulah hendaknya motto sekolah ini. Walaupun hanya tiga patah perkataan sahaja, namun hakikatnya sangat besar bagi setiap penuntut dan pensyarah kampus ini.
Setelah beberapa lama, tempoh persekolahan pun bermula. Saya datang dengan penuh semangat. Melangkah masuk ke kampus ini dengan membawa segenggam azam dan semangat baru. "Ini permulaan baru untuk diriku.." kata saya dalam hati. Hari pertama orientasi, saya masih ingat, kami di suruh berkumpul di Dewan Serbaguna untuk taklimat dari pensyarah-pensyarah. Saya mencari-cari kelas pendaftaran saya. Alhamdulillah, taklimat yang disampaikan, saya dengarkan dengan penuh perhatian. Selesai sahaja taklimat dari pensyarah-pensyarah, kami semua diberikan rehat selama 1 jam sebelum memulakan sesi taklimat yang kedua. Pada ketika itu, jam sudah menunjukkan 12 tengah hari. Saya dengan sahabat yang baru saya kenal, terus mencari lokasi surau bagi kampus tersebut. Kebetulan sudah dekat waktu solat Zohor. Saat itu kebanyakan penuntut lain sibuk meronda-ronda kawasan kampus yang lain. Entah kenapa, hanya saya dan sahabat saya sahaja yang meronda kawasan surau.
Kemudian, kami terus dalam pencarian sehinggalah kami bertanya kepada penuntut senior berkenaan lokasi surau. Alhamdulillah, akhirnya kami jumpa. Surau itu terletak di tingkat atas sekali berhampiran dengan perpustakaan.
Inilah wajah surau Pusat Tingkatan Enam Meragang. Ya, agak besar juga dan sangat selesa. Ruangan solat ini, alhamdulillah, boleh memuatkan seramai 500 lebih jemaah bagi lelaki dan perempuan. Seperti surau di tempat lain, dinding hijab diletakkan pada tengah-tengah surau tersebut sebagai pemisah antara ruang solat lelaki dan perempuan.
Saya dan sahabat terus ke bilik wudhu. Selesai sahaja berwudhu, kami terus memasuki ruangan solat lelaki. Seusai sahaja membuka pintu surau tersebut, subhanallah, saya dan sahabat terkejut apabila melihat begitu ramai penuntut yang ada di dalamnya. Ya, satu gambaran yang amat jarang saya lihat. Pada kebiasaannya, minta maaf saya katakan, surau sekolah kebiasaannya sunyi atau kurang jemaah. Malah, ada juga sekolah yang mengunci suraunya. Lalu, kami pun duduk di belakang kerana masih malu memandangkan pada saat itu majoriti jemaah adalah penuntut senior. Ya, kami masih kurang biasa. Apa yang lebih mengejutkan saya, laungan Azan dan Iqamat dilaungkan sendiri oleh penuntut-penuntutnya. Begitu juga dengan solat berjemaah, yang diketuai sendiri oleh penuntut-penuntut kampus tersebut. Mashaa Allah, satu suasana yang saya tidak sangka-sangka. "Benarkah semua ini diuruskan sendiri oleh penuntut di sini?" soal saya dalam hati. Apabila saya perhatikan hari demi hari, memang benar. Begitulah hendaknya setiap waktu tengahari. Surau tersebut akan di penuhi dengan jemaah Muslimin dan Muslimah dengan begitu ramai sekali. Hal ini telah membuatkan saya semakin tertarik dan tertanya-tanya. Sehinggakan sampai pada tahap saya memberanikan diri untuk bertanya pada seorang penuntut senior saya berkenaan hal ehwal surau tersebut.
Begitulah hari-hari awal saya menuntut di Pusat Tingkatan Enam Meragang. Namun, apa yang saya ceritakan pada awal ini baru secebis sahaja daripada apa yang ada dalam PTEM. Sekarang, saya akan kongsikan bersama anda berkenaan hal-hal yang masih belum diketahui ramai oleh orang luar berkenaan PTEM. Hal-hal yang bagi saya, tidak akan pernah saya jumpai di tempat lain. Teruskan membaca.
Suasana solat Zohor - Jema'ah Muslimin.
Alhamdulillah, selama dua tahun saya mengorbankan jasa dan khidmat saya untuk menuntut di kampus ini. Ya, kampus yang dikatakan 'sosial', bergaul bebas dan apasaja yang sewaktu dengannya. Ternyata apa yang mereka katakan tentang kampus ini dengan apa yang saya saksikan adalah sebaliknya. Selama dua tahun, saya menyaksikan bahawa kampus ini lebih indah daripada apa yang digambarkan. Terlalu banyak rahsia-rahsia, khazanah dan permata yang ada di dalamnya.
Antara perkara yang menjadikan kampus ini sangat unik daripada kampus lain, adalah suasana keagamaan yang ada di dalamnya. Boleh kita katakan bahawa suasana yang ada di kampus ini adalah 'Islamik'. Tidak, kampus ini bukan sekolah tahfiz atau sekolah bagi mereka yang mengambil jurusan agama. Kampus ini hanya kampus biasa. Sekolah biasa. Tapi, memang benar, suasananya Islamik.
Kalau ada yang menyangka, kampus ini pergaulannya bebas, itu silap. Ya, mungkin memang ada, tapi bilangannya sangat sedikit. Kebanyakan daripada penuntut-penuntut di sini akan di latih untuk menjaga pergaulan antara lelaki dan perempuan. Alhamdulillah, menuju ke arah itu, kampus ini mengeluarkan inisiatif untuk memisahkan tempat duduk bagi penuntut lelaki dan penuntut perempuan di kawasan kantin.
Kafeteria ataupun Kantin , PTEM.
Mungkin ada yang menyangka bahawa peraturan ini terlalu ketat atau sebagainya. Tidak. Hakikatnya, peraturan ini sangat bagus dan praktikal. Sebagai negara Islam, kita perlu menunjukkan etika pergaulan kita sesama sendiri, terutama apabila bergaul dengan berlainan jantina. Namun, sekalipun peraturannya sedemikian, penuntut-penuntut masih di beri kebebasan untuk membuat 'group work' secara berkumpulan ketika berada dalam perpusatakaan atau 'Student-centre'. Dengan cara ini, penuntut-penuntut dilatih untuk menjadi seorang agen Islam yang professional dalam bergaul dengan masyarakat. Ingat, Islam itu mengawal segala gerak-geri kita, bukan menyekat.
Selain daripada itu, antara perkara yang menjadikan kampus ini unik daripada yang lain ialah suasana suraunya. Seperti yang saya katakan awal tadi, suasana jemaah yang sangat ramai dan mesra. Di samping itu juga, terdapat beberapa aktiviti-aktiviti yang sering menjadi ikutan harian buat jemaah surau tersebut. Antaranya ialah Halaqah Zikir.
Suasana ketika Halaqah Zikr dijalankan - Jemaah Muslimin dan Muslimah
Halaqah Zikr adalah satu majlis yang mengetengahkan alunan Zikir dan Selawat, di mana kesemua jemaah muslimin dan muslimah di minta untuk membuat Halaqah (seperti dalam gambar) dan berzikir juga berselawat secara beramai-ramai. Pada kebiasaannya, majlis zikr ini akan diketuai sendiri oleh badan pelajar, iaitu Majlis Pelajar dan Pembimbing Rakan Remaja, bahagian hal ehwal keagamaan. Mereka akan bertugas untuk mengetuai bacaan zikir dan selawat. Majlis ini, alhamdulillah, dijadikan sebagai satu kebiasaan buat jemaah-jemaah sebelum menunaikan solat fardhu berjemaah setiap hari. Antara tujuan majlis ini diadakan adalah sebagai satu medium untuk menenangkan hati (rujuk Surah Ar-Ra'du, ayat 28). Seperti yang kita maklum, seusai sesi pembelajaran, pasti ada yang 'stress atau letih dan sebagainya. Maka, dengan berzikir ini boleh menenangkan hati kita semula. Selain dari itu, tujuan lain majlis zikr ini diadakan adalah sebagai 'sesi pemanasan' sebelum menunaikan solat fardhu Zohor. In shaa ALLAH, dengan membasahkan lidah dengan alunan zikir dan selawat, mampu menambahkan kekusyukan dalam solat kita.
Alhamdulillah, beginilah suasana surau kampus ini setiap hari. Dengan demikian, secara tidaklangsung, kampus ini menyahut penuh hasrat KDYMM yang menginginkan Negara Brunei Darussalam menjadi sebuah Negara Zikir. Maka, ke arah itu, kampus ini berada di barisan hadapan untuk menyahut seruan itu, iaitu dengan membiasakan penuntut-penuntutnya untuk sentiasa berzikir kepada Allah Ta'ala dan berselawat kepada Baginda Rasulullah Shollallahu 'Alaihi Wassalam.
Selain daripada Halaqah Zikir, terdapat satu lagi aktiviti yang sering menjadi ikutan para jemaah di kampus ini, iaitu pembacaan Hadits Rasulullah Shollallahu 'Alaihi Wassalam. Di bawah ini gambar bagi majlis tersebut.
Suasana Majlis Ta'lim - Jemaah Muslimin
Suasana Majlis Ta'lim - Jemaah Muslimah
Pembacaan Hadits ini, atau lebih dikenali sebagai majlis Ta'lim oleh penuntut-penuntut PTEM baik di kalangan muslimin atau muslimah, sentiasa diadakan setiap hari seusai sahaja menunaikan solat fardhu Zohor berjemaah. Seperti Halaqah Zikir juga, program ini diketuai sendiri oleh Majlis Pelajar dan Pembimbing Rakan Remaja bahagian hal ehwal keagamaan. Majlis ini mengetengahkan hadits Rasulullah Shollallahu 'Alaihi Wassalam yang dibacakan kepada para hadirin dan juga hadirat. Antara tujuan majlis ini adalah untuk melahirkan rasa cinta dan rindu kepada Baginda Rasulullah Shollallahu 'Alaihi Wassalam. Sebagai umat Baginda Rasulullah, kita seharusnya mengenali sosok peribadi ini dan menghayati setiap perjalanan hidupnya. Maka, dengan itu, dibacakan hadits sebagai wasilah untuk melahirkan rasa cinta dan rindu kepada Baginda. Adapun, pembacaan hadits ini tidaklah disertakan dengan penerangan dengan lebih terperinci mengenai hadits Rasulullah (kerana kita bukan ahlinya), namun hanya sekadar membacakan hadits-hadits yang mudah difahami dan mudah diamalkan. Pada kebiasaannya, jika ada sedikit masa yang terluang, akan dibukakan sedikit masa untuk para hadirin untuk berkongsi sedikit ilmu yang berkaitan dengan dunia Islam. Di hujung majlis, pada kebiasaannya, akan ditutup dengan bacaan Surah Al-Ashr dan Tasbih Kaffarah.
Alhamdulillah, sambutan penuntut-penuntut terhadap majlis ini sangatlah menggalakkan. Secara tidaklangsung, majlis ini bergerak ke hadapan untuk sama-sama menjadikan penuntut-penuntut PTEM dikalangan orang yang mencintai dan merindui Baginda Rasulullah Shollallahu 'Alaihi Wassalam.
Selain daripada itu, terdapat satu lagi aktiviti sampingan yang turut diadakan dalam surau kampus tersebut, iaitu dikenali sebagai program 'Sirah'. Program 'Sirah' ini pula mengetengahkan kisah dan riwayat hidup Baginda Rasulullah, para sahabat Rasulullah, para ulama-ulama dan tokoh-tokoh Islam. Program ini diadakan satu kali dalam seminggu iaitu setiap hari Khamis, selepas mendirikan solat fardhu Zohor. Inisiatif ini dipelopori sendiri oleh Majlis Pelajar dan Pembimbing Rakan Remaja bahagian hal ehwal keagamaan. Ia bertujuan sebagai santapan rohani, pengajaran dan motivasi buat jemaah-jemaah PTEM khususnya. Adapun program ini, alhamdulillah, mendapat sambutan yang amat bagus dikalangan penuntut-penuntut sendiri. Selain daripada mendengarkan kisah-kisah yang ringkas dan padat, para jemaah juga dapat sama-sama menjinakkan hati agar sentiasa duduk dalam majlis ilmu. Di bawah ini, gambar bagi program 'Sirah'.
Suasana ketika program 'Sirah' dijalankan - jemaah Muslimin.
Inilah di antara aktiviti -aktiviti ataupun pengisian yang seringkali dijalankan setiap hari di surau kampus tersebut. Bermula dari jam 12 tengahari sehingga jam 1 petang, surau ini akan dipenuhi dengan penuntut-penuntutnya. Saya rasa, inilah yang membuatkan PTEM sebagai sebuah kampus yang unik daripada kampus yang lain. Jika sekiranya saya disuruh untuk menggambarkan suasana agama di PTEM dengan hanya menggunakan tiga patah perkataan, jawapan saya ialah Ukhuwah, Tarbiyah dan Soleh.
Apabila menyentuh berkenaan keadaan suraunya yang, alhamdulillah, sangat aktif, ia jelas menggambarkan bahawa agama itu hidup di kampus tersebut. Saya teringat dengan mutiara hikmah yang sering kedengaran di telinga kami, "Ingat, surau ini seperti hati bagi seseorang. Tanpa hati, seseorang itu akan mati atau binasa. Maka, begitulah PTEM, jika suraunya tidak 'hidup' yakni mati, maka hancur binasalah kesemuanya.."
. Begitulah gambaran yang dilafazkan berkenaan suasana suraunya. Adapun, surau hakikatnya merupakan hati bagi sesebuah kampus. Maka, seharusnya keadaan surau itu sentiasa dijaga dan dihidupkan oleh penuntut-penuntut dan guru-gurunya. Semoga apa yang ada di kampus ini, dapat di contohi oleh kampus-kampus atau sekolah-sekolah yang lain.
Alhamdulillah, kita sudah bercakap tentang keadaan suraunya yang sangat aktif. Sekarang, izinkan saya untuk berkongsi dengan anda semua berkenaan pergerakan dakwah di PTEM. Sebelum itu, apa itu dakwah? Dakwah bermaksud menyeru manusia untuk membuat kebaikan dan mencegah manusia daripada membuat kemungkaran. Aneh sungguh, kampus yang dikatakan 'sosial' dan bergaul bebas ini, pun ada pergerakan dakwah di dalamnya? Apakah benar kenyataan ini? Teruskan membaca artikel ini.
Muslim Youth Action Group (MYAG) - 2015
Apabila menyentuh tentang pergerakan dakwah di kampus ini, saya ingin memulakan dengan memperkenalkan kepada anda dengan sebuah kelab CCA yang bernama 'Muslim Youth Action Group' (MYAG) .Kelab ini mula ditubuhkan pada hujung tahun 2014 yang dianggotai seramai 33 orang penuntut dan dibimbing oleh dua orang guru selaku mentor. Kelab ini secara umumnya dijadikan sebagai sebuah medium bagi penuntut-penuntut untuk sama-sama berkhidmat dalam kerja-kerja amal dan juga kerja-kerja dakwah.
Adapun, antara program yang dianjurkan oleh kelab ini adalah program 'Tazkirah Belia Islami'. Program Tazkirah Belia Islami merupakan sebuah program yang sangat popular dan menjadi ikutan buat penuntut-penuntut PTEM khasnya. Ia merupakan sebuah majlis ilmu di mana para penuntut tampil ke hadapan untuk berdakwah dengan cara memberi tazkirah. Apa yang menjadi keistimewaan bagi kelab ini adalah penyampai-penyampainya yang terdiri dikalangan penuntut sendiri, yang berkemahuan untuk menyampaikan sebuah topik untuk dibentangkan di hadapan warga PTEM yang lain. Sekalipun begitu, setiap penyampai akan dibimbing oleh mentor agar memastikan bahawa segala ilmu-ilmu yang dikongsikan adalah bertepatan dengan syariat Islam. Alhamdulillah, sambutan penuntut amatlah menggalakkan. Adapun, topik-topik yang dibentangkan adalah selari dengan citarasa golongan muda pada zaman ini. Sebagai contoh, 'Selfie Remaja Islam', 'Kesihatan Dalam Islam', 'Menggapai Redha ALLAH' dan bermacam-macam topik lagi. Program yang berbentuk Islamik ini diadakan setiap minggu dan kebiasaannya mengambil tempat di Dewan Kuliah, surau ataupun Dewan Serbaguna. Di bawah ini merupakan gambar-gambar bagi program Tazkirah Belia Islami.
Begitulah sedikit sebanyak gambaran mengenai pergerakan dakwah yang dikelolakan oleh MYAG. Sekarang, saya akan menyentuh pula tentang satu lagi pergerakan dakwah yang cukup unik di kampus ini sendiri, iaitu Kelab Badan Dakwah.
Kelab Badan Dakwah adalah sebuah medium yang dipelopori oleh pensyarah-pensyarah PTEM sendiri, di mana ia bergerak sebagai satu tempat untuk berhimpun dan istilahnya bagi penuntut-penuntut adalah tempat untuk 'recharge our Imaan'. Adapun, kelab ini sering mengadakan sesi tazkirah setiap minggu yang disampaikan sendiri oleh pensyarah-pensyarah PTEM, tidak hanya mengkhususkan kepada guru-guru yang berlatarbelakang subjek agama, akan tetapi berlatarbelakang subjek-subjek yang lain juga. Perbincangan topik seringkali mengkaitkan soal aqidah dan syariah kehidupan seharian kita, yang mana dipercayai sangat berguna untuk penuntut-penuntut agar menjadi bekalan dalam menuntut ilmu. Kelab ini turut mendedahkan penuntut-penuntut PTEM untuk terlibat dalam aktiviti keagamaan seperti Qiamulail, pengurusan jenazah dan menghaluskan solat. Tidak dinafikan lagi, bahawa kelab ini sangat aktif dalam menganjurkan aktiviti dan program yang berbentuk keagamaan di sekitar kampus sama ada secara rasmi atau tidak rasmi. Di samping gerakan dakwah yang dipelopori oleh penuntut-penuntut sendiri, kelab ini membuktikan bahawa guru-guru juga turut mengambil peranan dalam menyebarkan syiar Islam dalam pelbagai bentuk dan pendekatan yang bersesuaian dengan citarasa golongan belia. Disebabkan gerakan dakwah inilah, kampus ini hidup dengan suasana yang begitu indah dan tarbiyah. Semoga usaha kecil ini dapat menjadi contoh bagi sekolah-sekolah yang lain. In shaa Allah.
In shaa Allah, sehingga itu sahaja perkongsian yang ingin saya sampaikan. Justeru, masih terlalu banyak rahsia-rahsia yang terdapat dalam kampus ini. Namun, saya hanya akan mengongsikan sebahagian sahaja. Jika anda ingin tahu apa lagi rahsia-rahsia yang ada dalam kampus ini, anda perlu lihat sendiri. Di sini, dapatlah saya simpulkan bahawa agama itu hendaklah dikekalkan hidup sampai bila-bila dan di mana jua kita berada. Ini kerana agama adalah akar bagi sebuah organisasi untuk hidup. Jika sebuah kampung memerlukan air dan elektrik untuk hidup, maka kita memerlukan agama untuk hidup. Apa yang terhidang di kampus ini, bukanlah wajah Islam yang terbaik, namun kami menuju ke arah itu. Untuk menjadi yang terbaik di sisi Allah.
Sepanjang masa dua tahun yang diluangkan untuk menadah ilmu di kampus ini, mata ini sendiri menyaksikan kebangkitan agama Islam secara sedikit demi sedikit. Persoalannya, siapakah yang memulakan perjuangan dakwah di kampus ini? Itu kekal menjadi tanda tanya. Siapakah insan bertuah yang cukup berani hendak memulakan semua ini? Semoga mereka kekal dilindungi Tuhan. Sebagai penerus legasi, hendaklah suasana agama yang ada di kampus ini terus diperjuangkan. Tidak ada istilah menunggu orang-orang soleh untuk datang ke kampus tersebut, tapi 'buatlah' sendiri orang-orang soleh itu. Perjuangkanlah apa yang sudah disediakan oleh legasi yang lampau, agar Islam kembali memuncak gemilang seperti semula.
Walau bagaimanapun, saya bersyukur kerana diberi kesempatan untuk menuntut ilmu di kampus ini. Ya, sebuah kampus yang dikatakan bersifat 'social' dan bergaul bebas. Tidaklah segala usaha yang dilakukan untuk menghidupkan agama di kampus ini, melainkan semata-mata untuk mencapai redha Allah dan Rasul-Nya. Sesungguhnya, Islam itu bersifat indah dan suci. Maka, begitulah hendaknya yang terpampang di kampus ini. Wajah Islam yang suci dan indah, dengan caranya yang tersendiri. Ya, terpencil dari sudut kota, namun hampir di sudut jiwa. Ada hari, akan kau lihat sekumpulan muslimah bertudung labuh akan berjalan bersama-sama untuk pergi ke kantin. Ada hari, kau lihat sang pendakwah melontar kata menyahut seruan Illahi. Ada hari, kau lihat sekumpulan anak muda yang sedang duduk dalam satu bulatan yang besar dan saling nasihat-menasihati. Ada hari, akan kau dengar bunyi gendang Darbuk dimainkan oleh pelajarnya di lobi pada petang hari. Ada hari, akan kau dengar alunan zikir dan selawat yang dialunkan oleh pelajarnya sendiri di pagi hari saat kau langkahkan kaki masuk berjalan di lobi. Terdengar alunan zikir itu, sayu sepi, mengubati hati. Begitulah suasana pagi kami. Ada hari pula, akan kau lihat berduyun-duyun penuntut dan pensyarah yang berjalan menuju ke surau pada waktu tengahari dan duduk beramai-ramai untuk membasahi lidah dengan zikir sebelum menghadap Illahi. Di kampus ini, semuanya terabadi dalam hati. Hanya tinggal menadah harapan pada Ilahi, agar tetap memelihara mereka yang menjadi penerus legasi, agar terus memperjuangkan agamaNya hinggalah sampai dunia ini mati. Dakwah itu tidak semestinya dengan kata-kata atau bait bicara, namun dengan gerak dan laku, itulah yang berbicara dengan lebih jelas dan nyata. Dakwah, sampai bila-bila. Jangan putus asa. Mudah-mudahan, kampus ini kekal diberkati oleh Allah dan mampu melahirkan ejen-ejen Muslim yang hebat dan berilmu dalam menaburkan bunga-bunga dakwah apabila keluar dari kampus ini. Semoga kampus ini juga turut melahirkan pemuda-pemudi yang cinta kepada agama. Hanya dengan cinta, semuanya akan bergerak. Begitulah hebat kuasa cinta.
Maafkanlah segala kekurangan dalam perkongsian yang tidak seberapa ini. Semoga bermanfaat. Salam jumpa lagi. Terima kasih...
#AllahwaRasul
sungguh .. sungguh.. sungguh menyentuh hati apa bila terfikir balik sekolah ini yang mana banyak sejarah berlaku dalam 2 tahun. Disinilah bermulanya satu penghijrahan.
BalasPadamma shaa Allah,
BalasPadamjika setiap sekolah di tanah air kita tercinta Brunei Darussalam pelajar mengamalkan aktiviti ugama sebagaimana yang diamalkan di Ptem sungguh negara kita sebuah negara zikir..
melalui institusi ini, ia akan membina shabab yang beriman berilmu dan beramal..
moga tanah air kita tercinta dirahmati Allah begitu juga bagi shabab shabab kita moga menjadi daie yang istiqomah mengharapkan redho Allah..
Assalamualaik. Nice one! Couldn't have guessed that something huge is going on inside PTEM until I read your post. There's so many lessons to be learn. Keep up the good work in seeking His redha! May Allah Subhanahu wa Taala keep us steadfast in the right path amiin.
BalasPadamMasha Allah. I always envy the atmosphere happening in Ptem. Even before this post was written, I always knew that the religious event had been going for quite sometime. It's really amazing how the youth really care about the 'deen' kudos. Hope this thing will go on and on and other sixth form institution will be inspired. Speaking of surau, definitely PTEM has the vibe compared to mine.. touché seeing the jemaah gathered around for a halaqah and whatnot definitely overwhelms me. SubhanAllah 😢 i d k what to say anymore. Hope ptem will be an inspiration to other school and institutions. Insha Allah
BalasPadamMasha الله. I was crying by missing this surau. Tempat cure the 'iman painess'. Before was named Kelab Badan Dakwah. Now MYAG. Joined the club.. Where my hijrah starts. Alhamdulillah..
BalasPadamAnd back then was named One Ummah at PTEB. superb! may Allah blesses your effort and 47:7
BalasPadamMasya Allah...
BalasPadam