Nilai Iman :)
Iman adalah sesuatu yang terletak dalam hati kita. Ia merupakan keistimewaan yang Allah Ta'ala beri khususnya kepada umat manusia yang mengaku bahawa Tiada Tuhan yang berhak di sembah melainkan Allah, dan Nabi Muhammad sebagai pesuruh Allah. Dengan adanya iman, kita akan mampu menjalani hidup dengan lebih tenang dan bererti. Segala yang kita lakukan terasa lebih bermakna dengan adanya iman dalam hati kita. Kita juga merasakan bahawa dengan iman sahaja lah kita mampu merasa dekat dengan Allah Ta'ala dan kita juga menjadikan iman sebagai sesuatu yang menggerakkan diri kita untuk tetap beribadah dan beramal kepada Allah Ta'ala.
Seperti yang selalu kita dengar, Iman itu 'yazid wa yanqus' , iaitu iman itu ada turun dan naiknya. Ini menunjukkan bahawa keadaan jiwa atau rohani kita itu tidak akan pernah stabil sepanjang masa. Adakalanya, iman kita itu akan melonjak naik, namun ada juga masanya iman kita akan rendah dan lemah. Ini sudah tentu menjejaskan kuantiti dan kualiti ibadah kita. Kita seolah-olah merasakan bahawa solat kita tidak ada kesannya pada diri kita, kita juga merasakan bahawa setiap ujian yang Allah Ta'ala beri itu sangat berat dan menyeksakan dan bermacam-macam lagi hal yang tidak kena dengan diri kita.
Persoalannya, apakah yang kita perlu lakukan seandainya kita merasakan bahawa nilai keimanan kita semakin menurun dan lemah? Di sini ada beberapa langkah yang hendak saya kongsikan tentang cara mengatasi hal tersebut :
Langkah pertama,
Perbaharuilah niat kita dalam apa jua perkara yang kita lakukan. Niatkan semua yang kita lakukan adalah tidak lain dan tidak bukan, kerana Allah Ta'ala. Contohnya, aku solat kerana Allah, aku berjalan kerana Allah, aku menuntut ilmu kerana Allah, aku makan dan minum kerana Allah, dan sebagainya.
Dengan cara ini, kita tahu dan yakin bahawa hanya dengan mengingat Allah setiap masa lah tahap keimanan kita itu akan semakin naik dan kuat. Justeru, ini akan melahirkan rasa keikhlasan dalam jiwa kita ketika beribadah sekaligus akan memantapkan keimanan kita dalam melayari kehidupan seharian kita yang penuh dengan cabaran dan pancaroba.
Surah Al-Baqarah, ayat 214, tafsirnya, "Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu?..." .
Langkah Kedua,
Carilah sahabat yang sentiasa mengingatkan kita kepada Allah. Dengan adanya sahabat, kita lebih terdorong untuk melakukan kebajikan. Dengan adanya sahabat, kita akan lebih bersemangat untuk berhijrah ke jalan Allah. Ini kerana sahabat yang sentiasa mengingatkan kita pada Allah, di umpamakan sebagai 'booster' untuk iman kita agar lebih kuat dan cekal.
Dengan adanya sahabat juga, kita akan lebih mudah istiqomah beribadah kerana adanya konsep berjemaah. Ini berdasarkan hadith Rasulullah S.A.W yang menyatakan bahawa jika hanya ada seekor kambing biri-biri, ia akan mudah di terkam oleh sekumpulan serigala, akan tetapi jika jumlah kambing biri-biri itu lebih dari seekor, maka amat susahlah bagi sekumpulan serigala itu untuk menerkamnya.
Begitulah juga dengan kita sebagai manusia, kita hanya akan lebih kuat jika kita sentiasa berjemaah, saling menyokong antara satu sama lain, saling bantu-membantu dan sebagainya. Manakala apabila kita sentiasa berseorangan, maka kita akan mudah di hasut oleh syaitan laknatullah. Ini lah yang menyebabkan iman kita semakin menurun dan lemah.
Langkah Ketiga,
Mohonlah doa kepada Allah agar memperkuatkan keimanan hati kita. Dengan cara ini, kita menaruhkan segala harapan kita kepada Allah Ta'ala agar memberikan kita nikmat iman dan sekaligus merasakan kemanisan iman itu sendiri. Ini kerana hanya Allah Ta'ala sahaja yang Maha Berkuasa memberikan kita nikmat iman itu.
Oleh yang demikian, mohonlah doa kepada Allah. Minta pada Allah agar kita di kurniakan iman yang cekal dan tetap utuh. Bukankah Allah sendiri yang menciptakan iman? Maka, berdoalah. Mintalah. Sesungguhnya, Allah sentiasa memakbulkan permohonan hamba-hambaNya.
Ini terbukti dalam Surah Al-Ghafir, ayat 60, tafsirnya, "Berdoalah kamu kepadaKu, nescaya Aku perkenankan" .
Langkah Ke-empat,
Banyakkan refleksi diri. Cuba cari kelemahan dan kesilapan yang kita buat selama ini. Ini kerana boleh sahaja turunnya iman kita itu atas kecuaian kita sendiri. Mungkin kita ada melakukan sesuatu yang bertentangan dengan perintah Allah Ta'ala.
Dengan memperbanyakkan refleksi diri, kita akan lebih tahu kedudukan kita di sisi Allah, kita akan tahu bahawa sebabnya Allah berikan ujian itu untuk menyedarkan kita atas kesilapan yang kita lakukan. Bak kata orang, sekiranya kita bercita-cita ingin menjadi pohon yang tinggi, maka bersedialah untuk di goncang oleh ribut yang dahsyat. Maksudnya di sini, seandainya kita menginginkan nilai keimanan kita itu tinggi dan utuh, makan bersedialah dengan ujian dan cabaran yang bakal menimpa diri kita.
Konklusi?
Oleh yang demikian, bersegeralah kita kembali pada Allah Ta'ala seandainya kita merasa bahawa tahap keimanan kita semakin menurun dan lemah. Usah di tangguh lagi, cepat-cepat kembali pada Allah.
Ini kerana kecepatan kita kembali pada Allah, menjadi kayu pengukur kepada tahap keimanan kita di sisi Allah. Seandainya kita bersegera kembali kepadaNya selepas melakukan kesalahan atau dosa, mungkin iman kita lebih kuat dan mantap daripada mereka yang suka menangguh-nangguh. Namun, jika kita menangguhkan masa untuk kembali kepada Allah, mungkin begitulah juga tahap keimanan kita di sisi Allah. Kejarlah syurga yang nikmatnya tiada terbatas. Raihlah redha Allah, sebelum meraih redha manusia. Ya, hendak meningkatkan nilai iman itu memang pahit, ini kerana syurga itu manis. Jom! kita mantapkan iman. -HS
Ulasan
Catat Ulasan