Penghayatan Peristiwa Isra' Mikraj
Pada tahun ke-11 kerasulan Baginda Nabi SAW, Baginda dijemput oleh Allah Ta'ala naik merentasi tujuh petala langit dalam masa satu malam sahaja. Ya, peristiwa itu dikenali sebagai Isra' Mi'raj. Jika kita hayati, peristiwa ini hakikatnya satu titik penting dalam perjalanan hidup Baginda dan membawa kepada pengajaran hebat sesuai untuk dihayati sepanjang zaman.
Pada saat penganugerahan ibadah solat, Baginda dimuliakan dengan berinteraksi, berjumpa dan berkomunikasi dengan Allah Ta'ala hanya pada kadar dua busar anak panah sahaja. Jika kita amati, babak tersebut sangat berkait rapat dengan ibadah solat fardhu kita. Ini kerana hakikatnya apabila kita sedang solat, kita pun sebenarnya sedang 'berinteraksi', 'berkomunikasi' dan 'berjumpa' dengan Allah Ta'ala. Dalam erti kata yang lain, hati kita juga turut di'isra mikraj'kan kepada Allah Ta'ala ketika solat. Setiap gerak tubuh kita seperti sujud, ruku' dan berdiri tegak hakikatnya merupakan interaksi kita dengan Allah. Malah, setiap lantunan ayat-ayat suci Al-Quran hakikatnya perbicaraan kita dengan Allah. Namun, masih ada yang tidak mahu mendirikan solat lantaran kewajiban kita bagi melaksanakannya. Kalau iblis tidak mahu sujud pada Nabi Adam yang merupakan ciptaan Allah, kita pula tidak mahu sujud pada Pencipta Nabi Adam. Sekarang tanya diri kita, siapakah yang lebih iblis?
Dalam Surah Al-Isra' ayat pertama, yang menceritakan tentang peristiwa hebat ini, Allah Ta'ala telah memanggil Baginda dengan panggilan 'hamba-Nya'. Jika kita fikirkan, kenapa agaknya Allah tidak memanggil Baginda dengan panggilan 'Rasul-Nya'? Malah, Allah Ta'ala juga memilih peristiwa ini untuk berlaku pada waktu malam. Persoalan ini hakikatnya satu lagi pengajaran buat kita. Pada awal tadi, saya ada menyebut bahawa solat kita merupakan 'Isra Mi'raj' jiwa kita kepada Allah. Jika kita hayati, hanya hamba Allah yang benar-benar bersih hatinya yang bangun malam untuk 'berjumpa', 'berinteraksi' dan 'berkomunikasi' dengan Allah iaitu dengan mendirikan solat. Namun, dek kurangnya penghayatan terhadap peristiwa ini ditambah pula dengan kejahilan kita, menjadikan amat susah bagi kita untuk bangun malam mengerjakan solat walaupun kita mengaku sebagai hamba-Nya.
Dalam kita menghayati perjalanan Isra' Mi'raj ini, kita dapati bahawa ibadah solat merupakan penyelamat kita. Bertepatan dengan tema sambutan Isra Mi'raj pada tahun ini, 'Solat penyelamat Kita', yang sebenarnya satu refleksi bahawa solat merupakan kunci bagi segala-galanya. Pengajaran yang terdapat dalam peristiwa ini akan terus kekal relevan sampai bila-bila selagimana ia dihayati dengan hati, bukan setakat akal sahaja.
Ulasan
Catat Ulasan