Aku menunggu penuh ta'at akan tibanya bulan mulia itu. Bulan yang dikatakan penuh barokah wa rohmah. Ya, Ramadhan. Di saat itulah qalbu berehat daripada segala kesibukan dunia. Di saat itulah seorang hamba cuba melatih akar nafsunya yang tidak pernah kunjung puas. Susah. Mujahadah. Namun, di gagahi jua. Ya, ibadah bertambah. Iman bertambah. Rezeki bertambah. Semuanya bertambah. Itulah Ramadhan di mata hati-ku. Ramadhan itu menguatkan, bukan melemahkan.
Bangun malam. Sahur. Hanya bertemankan sebiji buah Tamar yang penuh rahsia. Tersenyum. Cuba merakit ampunan daripada Allah Ta'ala. Lantas, selangit harapan dibentangkan apabila bersujud kepada-Nya. Harapan agar diampunkan segala dosa-dosa. "Manisnya buah Tamar". Ah, manis lagi rasanya ketika bersujud pada-Nya! Begitulah hati hamba-Nya di bulan itu. Ya, itulah Ramadhan bagiku. Ramadhan bulan keampunan.
Bibirku kering. Leherku dahaga. Namun, hati-ku basah. Basah oleh air cinta yang membanjiri hati kerana ayat-ayat Al-Quran yang dibaca. Cuba untuk meraih pahala yang terhidang. Tinggal hanya perlu disuapkan kepada hati yang sudah lapar dan dahaga akan cinta-Nya. Ya, itulah Ramadhan bagiku. Bukan setakat perut yang lapar. Leher yang dahaga. Namun, hati juga 'lapar'. Hati juga 'dahaga'. 'Lapar' dan 'dahaga' akan kasih-Nya.
Sayu. Sunyi. Namun, tenang. Ya, begitulah keadaannya. Malam itu penuh rahsia. Hanya mampu dirasa dengan hati yang benar-benar 'haus' akan cinta-Nya. Aku menangis. Entah kenapa saat itu hati-ku lembut umpama lembutnya sutera China. Apabila mengalunkan tasbih dan tahmid, sekali lagi terasa diriku begitu kecil dan hina. Ah, sebak. Tiada kata yang mampu melakarkan indahnya malam itu. Namun, itulah Ramadhan di mata-ku. Mencari malam itu ibarat mencari sebutir mutiara di dasar lautan yang amat dalam. Susah. Namun, tidak mustahil.
Berdiri dalam saf yang rata. Menghadap tubuh untuk sujud pada Yang Satu. Ya, 20 raka'at. Adakalanya, 8 raka'at. Bergema-lah ayat-ayat suci Al-Quran. Cuba untuk memujuk setiap keping-keping hati sang hamba supaya merasai kehadiran-Nya. Bersatu. Berjema'ah. "Allahu Akbar". Semua ruku'. Semua sujud. Ya, serentak. Umpama ombak pantai yang bergerak seiringan mencapai dasar laut. Begitulah Terawih dimataku. Setiap pergerakan ketika solat Terawih, umpama lautan manusia yang bergerak seiringan mencapai dasar lautan cinta-Nya. Itulah Ramadhan dimata-ku. Ramadhan itu cinta.
"Ramadhan, aku merayu, jangan pergi laju. Biarlah Syawal menunggu-mu seketika. Ya, hati siapa yang tidak rindu. Bersua denganmu, hanya setahun sekali. Ah, sabarlah wahai qalbu. Semoga tahun hadapan, kekal bertemu denganmu.
- 16/06/2015, HS.
Ulasan
Catat Ulasan