Di Jabal Nur itu, tempat turunnya cahaya pertama. Turunnya juga kepada insan yang bercahaya. "Iqra". Bacalah. Ya, begitulah perintahNya. Maka, aku akan terus membaca kehidupan ini. Dari satu bab ke satu bab yang lain. Banyak yang aku pelajari dalam buku kehidupan ini. Entah bila noktahnya. Satu yang pasti, penghujungnya aku pasti tidak bernafas lagi. Pada kalimah syahadah itu, airmataku akan mengalir lembut. Lafaz cinta yang terakhir bakalku ucapkan, untuk permulaan hidup yang abadi. Ya, mati. Sejujurnya, apabila menela'ah buku kehidupan ini, aku melihat banyak keindahan. Ya, pada Islam(kehidupan) itu sendiri. Bahawa Islam bukanlah setakat pada tudung dan kopiah. Bukan hanya setakat memberi salam. Namun, Islam itu kehidupan. Ya, di pertengahan saat aku membaca buku kehidupan ini, aku tutup semula buku tersebut. Saat itu, aku baru tahu bahawa buku kehidupan yang selama ini aku baca berjudul 'Islam'. Ya, Islam itu bukan agama, tapi kehidupan. Maka, cahaya ini akan terus bersinar. Sampai akhir nanti, hanya Islam yang berdiri tegak. Semuanya bermula daripada 'Iqra'. Maka, bacalah semua yang ada pada kehidupan ini. Baca cara hidupmu. Baca segala perkataanmu. Baca hatimu. Baca fikiranmu. Baca akhlakmu. Semuanya. Adakah semua sudah benar-benar Islam? Sudahkah dibaca semua itu? Setelah dibaca, maka amalkanlah secara Kaffah. Mudah-mudahan kita tidak menjadi seorang 'buta huruf', yang tidak tahu membaca kehidupan. Iqra bil Qalbi!
Ulasan
Catat Ulasan