Adakalanya, dalam hidup ini, kita rasa seperti
kitalah manusia yang paling
berat masalahnya. Kita rasa bahawa kitalah yang
paling kerap kali disakiti
dan sering merasa kecewa dalam melayari
kehidupan. Walhal, di sebalik semua
itu, terdapat lagi insan yang lebih berat
masalahnya. Ya, manusia jenis
sebegini ada simptom-simptomnya yang
istimewa, untuk kita mengenali mereka.
Pertama, mereka ini suka menggembirakan orang
sekelilingnya. Kedua, mereka
suka tersenyum. Ketiga, mereka suka tolong
orang. Saya cukup kagum dengan
orang sebegini. Dalam hati yang penuh lara dan
duka, mereka masih mampu menggembirakan
orang lain, tersenyum dan menolong orang.
Kadang, kita lihat orang
sebegini, diamnya seperti berbicara. Malah,
adakalanya bicaranya pula
seperti diam. Kadang, kita lihat mereka inilah
yang paling gembira, walhal
kegembiraannya itulah wajah kesedihan yang
kedua baginya. Semua itu
mencerminkan pemilik hatinya. Kuat. Lemah.
Sederhana. Benar, merekalah
insan-insan hebat dalam hidup kita.
Mereka tidak punya penyakit, tapi saya diagnosis
mereka ini dengan satu
'penyakit'. 'Penyakit' yang dalam masa yang sama,
menjadi ubat bagi mereka.
Apakah 'penyakit' itu? Cancer? Diabetes? AIDS?
Tidak. Bukan itu yang saya
maksudkan. "Apakah nama 'penyakit' itu?".
Namanya, menipu. Ya, menipu.
Mereka menipu diri mereka sendiri dan orang
sekeliling mereka. Mereka berlakon.
Pura-pura tersenyum ketika dihambat badai
kehidupan. Namun, pelik bukan?
Sekalipun saya diagnosis mereka ini ber'penyakit',
tapi 'penyakit' inilah
juga ubat bagi mereka. Apakah nama ubat mereka
ini? Paracetamol?
Antibiotik? Panadol? Tidak. Silap. Bukan itu
maksud saya. "Jadi, apakah
nama ubat itu?". Namanya, kekuatan. Ya, kekuatan
untuk hidup. Kekuatan
untuk bangkit semula ketika rebah tersungkur
berkali-kali. Kekuatan untuk
memapah diri sendiri tatkala hati pecah dihentak
kecewa dan hiba. Kekuatan untuk
mengesat airmata yang mengalir tatkala batinnya
menjerit kesakitan.
Inilah kisah mereka. Nanti kalau jumpa orang
sebegini, katakanlah kepada
mereka, "Bagilah aku sedikit kekuatanmu itu..".
Sekali lagi, mereka akan
pura-pura tersenyum kepada kita. Percayalah.
Sekalipun mereka ini 'penipu',
tapi mereka ini tidak tamak. Mereka pasti beri
kekuatan itu. Sekian,
diagnosis yang tidak rasmi daripada aku.
Ulasan
Catat Ulasan