Harga Sekeping Roti...

Harga sekeping roti pada zaman ini boleh dikatakan mahal. Ya, mahal bagi kanak-kanak di Palestin. Di sebalik tanah berdarah yang sudah semakin tandus. Di balik dinding yang sudah retak pecah akibat bom dan roket. Maka, di situlah terabadinya kisah roti tersebut. Ya, pada seorang aktivis kemanusiaan. Pada hayunan tangannya yang membawa sekantung plastik dipenuhi roti. Ah, aku sebak melihat seorang aktivis kemanusiaan yang dikerumuni kanak-kanak kecil hanya semata-mata untuk menikmati secubit roti. Tidak sampai disuapkan ke arah mulut mereka, sudah direbut dari tangan si pejuang. Malah, dalam suasana yang sibuk itu, jika terdapat secebis roit yang jatuh ke tanah, itupun juga direbuti oleh kanak-kanak tersebut. Tidak kiralah kotor atau tidak, yang penting makan. Aku faham. Mereka lapar. Mereka dahaga. Kasihan mereka. Lantaran itu, babak ini membuatkan aku berfikir panjang. Di sebelah sini, sekeping roti amat murah dan mudah untuk didapatkan. Namun, masih kurang tahap syukur kita. Masih kurang tahap muhasabah kita. Sekurang-kurangnya, kita hidup selamat. Berkat. Bagaimana pula dengan mereka di sana? Anda perlu ketahui sendiri. Kasihan mereka. Tidak, aku tidak meminta kamu untuk pergi ke sana dengan roti-roti, tapi aku meminta agar titipkanlah mereka dalam doa kita. Sekurang-kurangnya, kita menyumbangkan sesuatu kepada mereka. Sudah, aku kasihan melihat wajah kanak-kanak yang mengkerumuni sang pejuang itu. Hanya diam menunggu disuapkan. Namun, diamnya itu seolah-olah berbicara. Wajah sedihnya sahaja seolah-olah menggambarkan isi hatinya. Betapa malangnya diri ini. Seakan inginku belai halus dan kucium kepalamu hai anak kecil. Agar kau rasakan sedikit limpahan kasih dari dunia ini. Agar hatimu kembali jernih. Agar kau tahu bahawa masih ada orang yang mengambil berat tentang dirimu. Sudahlah, kau akan sentiasa berada di gerbang pintu syurga. Aku pula masih belum pasti. Syurga. Neraka. Jikalau pun kau dahulu yang pergi dari dunia ini berbanding aku, hai anak kecil, doakanlah aku agar mengikuti jejak langkahmu. Perjuanganmu. Ya, mungkin perjuangan kita tidak sama bentuk dan sifatnya. Engkau berhadapan dengan bom dan roket. Aku pula berhadapan dengan nafsu dan hawa. Namun, aku mendamba kematian seperti anak bangsamu yang lain. Yang sudah dijanjikan syurga. Maka, kuharap doa kita akan terus bersatu. Aku doakan kau. Kau pula doakan aku. In shaa ALLAH, sama ada menang atau syahid...

Ulasan

Catatan Popular