Home.... :)

Aku rindu dengan suasana kampung. Rindu untuk duduk melihat bukit-bukau yang teguh berdiri. Melihat akan luasnya langit biru yang terbentang di hadapan mata. Segarnya angin yang menghembus sayu di waktu pagi tatkala duduk bertafakur di pantaran seusai solat Subuh. Rindu untuk berjalan-jalan keliling kampung, cuba menghayati setiap karya- karya yang dicipta oleh Yang Maha Esa. Aku juga rindu untuk menatap sawah padi yang sudah matang kekuningan. Melihat orang yang tidak muda membanting tulang dengan tenaga yang masih tersisa. Pada kesabaran air sungai yang mengalir lembut dan juga kesyahduan danau yang menyimpan 1001 ceritera manusia dalamnya. Ya, juga pada nyanyian burung, yang sering berkicauan pada waktu petang. Mendendang senandung kasih buat hati yang mencari ketenangan. Aku rindu semua itu. Ah, agaknya bila lagi aku dapat menikmati saat begitu. Ya, adakalanya aku letih dengan kesibukan dunia ini. Hendak menyendiri. Hendak pergi jauh. Cuba untuk membina ruang tersendiri untuk bersama Tuhanku, ALLAH. Benarlah, memandang hidup ini dengan mata hati, akan jelas memaparkan wajah dunia yang sebenar. Jelas terpampang antara yang 'hitam' dan 'putih'. Maka, terserahlah. Untuk memilih cara untuk melihat kehidupan ini. Satu yang pasti, hatimu pasti lebih tunduk, lebih takzim dan lebih tenang, seandainya kau rasakan kebesaranNya. KeagunganNya. KerajaanNya. CintaNya. Bahawa Dia sememangnya sentiasa hampir denganmu. Tidak pernah jauh. Ya, kita yang menjauh. Ah, kuharap rasa ini akan terus ada. Rasa rindu pada kampung halaman yang abadi.

Ulasan

Catatan Popular