Kisah Si Tukang Gunting Rambut

Mahukah kau jika aku ceritakan satu kisah biasa yang luar biasa? Ini tentang kunjunganku ke sebuah kedai gunting di kampungku. Ya, sebuah kedai yang sederhana besarnya. Aku masih ingat malam itu cuaca hujan. Ya, sejuk menggigil suasana malam itu. Apabila aku sampai di situ, aku terus duduk di kerusi yang disediakan. Sepanjang tempoh rambutku dipendekkan, aku berbual-bual dengan tukang gunting tersebut. Dari perbualan yang biasa sehinggalah menyentuh soal kehidupan ini. Dia menyatakan suara hatinya mengenai kesusahan berbahasa Melayu dan mengadaptasi dirinya dengan suasana negara ini saat mula-mula berhijrah ke sini. Aku masih ingat, katanya "Susah hendak hidup di negara orang kalau tidak pandai bawa diri..". Betul katanya. Kemudian, dia terus menceritakan perihal keinginannya yang ingin hidup senang. Ya, beristeri, berharta, bekerja tetap dan ada rumah sendiri. Aku hanya diam taat mendengar suara hatinya menyatakan impiannya. Hanya tersenyum sambil melihat jarinya rancak menggunting rambutku. Sampailah satu detik itu, aku tidak lagi tersenyum. Kenapa? Katanya begini, "Tapi, semua itu hanya dunia sahaja. Isteri. Duit. Kerja. Kalau sudah mati, tidak boleh buat apa lagi. Kosong. Tidak ada apa-apa. Cuma iman saja bawa. Iman saja bawa..". Di situ aku tergamam membisu. Merenung dalam-dalam apa yang selama ini aku kejar. Aku tahu dan yakin bahawa teguran itu datang daripada ALLAH melalui tukang gunting tersebut. Ah, betul ujarnya. Sering saja yang dikejar itu dunia. Tanpa menyedari bahawa semua itu tidak akan dibawa mati. Itu semua cuma duniawi. Ya, terima kasih saudara tukang gunting. Aku menghargai perbualan yang sifatnya juga sementara itu. Bak kata kau malam itu sebelum aku keluar dari kedaimu, "Terima kasih". Silap. Seharusnya aku yang berterima kasih padamu. Aku tidak kira siapa kau, darimana kau datang atau apa warna kulitmu. Kau juga saudara seagamaku. Ya, zahirnya engkau nampak biasa, tapi bagiku, engkau luar biasa! Terima kasih sekali lagi, hai tukang gunting...

Ulasan

Catatan Popular