Satu Pinjaman Yang Tidak Terjaga

Maafkanlah wahai hati. Aku tidak pernah menjagamu dengan baik. Seringkali kau kuserahkan pada si nafsu itu. Maaflah, aku manusia, yang kadang terlalai dengan dunia. Itulah sebabnya ada saatnya aku tidak sedar bahawa aku membiarkanmu ternoda dengan si dosa itu. Wahai hati, beginilah, aku kenal pada seorang yang boleh buat kau kembali bergaul dengan 'bahagia' dan 'tenang'. Namanya, iman. Ya, dia sentiasa wujud di mana-mana. In shaa Allah, aku akan cuba sedaya-upaya untuk mempersaudarakan dia denganmu. Agar kau tidak lagi dinodai dengan tiga makhluk itu; nafsu, dosa dan dunia. Maafkanlah aku wahai hati, aku sedar bahawa kau bukan milikku. Engkau milik ALLAH. ALLAH yang meminjamkan kau untuk aku. Namun, maafkanlah, di sepanjang tempoh pinjaman ini, aku tidak menjagamu dengan baik. Masakan tidak, aku cuma manusia yang tidak boleh harap langsung untuk menjagamu. Hanya ALLAH yang selayaknya menjagamu. Dengarlah bicaraku ini wahai hati, aku tahu bahawa sifatmu suka berkata-kata. Maka, maafkanlah juga aku sekiranya terlalu tuli untuk mendengar bicaramu. Maafkan aku jika tidak menjadi pendengar setiamu. Aku tahu, kau pasti merindui bergaul dengan 'bahagia' dan 'tenang'. Sudikah kau menerima kata maafku ini? Sudikah? Ah, kenapa sekarang kau diam tanpa bicara wahai hati? Atau, apa aku yang masih tuli untuk mendengar bicaramu?

Ulasan

Catatan Popular