Semuanya baik-baik belaka...

Dalam hidup ini, ramai yang tidak sedar bahawa segala kedukaan, kehilangan atau kesedihan yang kita alami hakikatnya satu tarbiyah daripada ALLAH. Kita berduka tatkala keputusan peperiksaan yang tidak memuaskan. Kita meratap pilu tatkala kehilangan orang yang kita sayangi. Kita bersedih tatkala tidak mendapatkan apa yang selama ini kita idam-idamkan. Ironinya, jika kita selak disebalik tirai tersebut, ada hikmah yang terkandung. Hakikat bahawa semua yang kita alami dalam kehidupan ini, semuanya baik-baik belaka. Tidak ada yang tidak baik. Kenapa? Mustahil, bagi ALLAH Yang Maha Pengasih, Lagi Maha Mengasihani, untuk memberikan yang tidak baik. Ya, semuanya baik. Maka, segala kedukaan, kehilangan, kesedihan atau yang sebanding dengannya, hakikatnya baik. Namun, kita sebagai manusia tidak nampak kebaikan itu. Ya, mungkin sebab terlalu fokus kepada keburukan yang terzahir sehingga terlupa pada kebaikan yang terselindung. Maka, pesanku, singkaplah sedikit tirai ujian itu, agar nampak apa yang selama ini tidak nampak. Itu semua sebagai satu tarbiyah buat dirimu dan diriku. Adakalanya, kita membuat kesilapan hari ini, untuk kita belajar, agar tidak membuat kesilapan yang besar pada hari kemudian. Sentiasalah bersangka baik pada ALLAH Yang Maha Baik. In shaa ALLAH, kehidupan akan lebih positif dan sihat, walau dihambat 'ujian'.

Ulasan

Catatan Popular