Deraian tangisku kering dengan tiupan angin itu. Aku duduk memandang alam yang dibentangkan oleh Allah. Memandang laut kebiruan yang dicerminkan dengan langit yang juga kebiruan. Lalu, menitislah air mata itu kemudian jatuh pecah ke bumi. Terkenang air dosa yang dibancuh dalam hati. Bagaimana hati ini? Asyik dicemari dan dinodai. Bagaimana jiwa ini? Asyik bermesra dengan nafsu. Kalau beginilah citra hati, maka aku hanya menunggu hati ini mati. "Hey! Dengar sini. Kenapa kau mahu mengalah? Ampunan Allah itu luas!" entah dari mana suara itu datang. Yah! Mungkin hati itu sendiri yang berkata sedemikian. "Kau lihat laut di hadapanmu itu. Luas bukan? Begitulah ampunan Allah malah lebih luas lagi dari itu.." kata suara itu lagi. Aku yang awalnya menangis, kini sudah mampu tersenyum. Bersyukur. Gembira. Ya, kerana ampunanNya yang lebih luas daripada murkaNya. Engkau Maha Hebat Ya Rabb. Engkau Maha Pengampun Ya Rabb.
Ulasan
Catat Ulasan