Hidden Gems!

Aku telah menyaksikan banyak permata sedang bertaburan di bumi الله ini. Sebahagian darinya ada yang berkilat jelas tanpa dicacati sedikitpun. Ada pula sebahagiannya yang bersembunyi di balik kain sutera. Hanya menunjukkan kilauannya apabila disingkap sedikit. Ada juga yang direbuti oleh ribuan manusia, namun tetap tidak jumpa-jumpa. Sebahagiannya juga ada yang nampak biasa sahaja dari luaran namun sangat berkilau bila dihayati dan dipegang. Ada pula sebahagian dari permata itu, tersenyum bila dipandang. Ada pula yang nampak rosak dan pecah permata itu, namun tatkala dikumpul semula dengan permata yang lain, ia akan kembali bersinar semula. Indahnya kalian wahai permata. Tiada siapa yang mengenalimu. Tiada siapa yang mengingati jasa dan khidmatmu. Kalian, sungguh telah menambat hatiku. Kalian, 1 dalam 1000. Kalian, merupakan idola dikalangan penduduk langit. Nuansa fikir kalian menggamit jiwa. Susunan bait kata kalian melontar jiwa. Hikmah kata kalian laksana mutiara yang mencurah tidak henti-henti. Adakalanya, kata-kata nasihatmu terus mencucuk hatiku. Yang membuatkan aku terus tunduk malu. Sedar betapa jahil dan berdosanya diriku. Kalian, telah dimuliakan dengan dibuka mata hati. Mata hatiku pula masih tertimbus dengan tanah-tanah dosa yang hitam pekat tidak terkira. Indahnya kalian, hai permata. Kalian, hidup mengikut permata segala permata. Mutiara segala mutiara. Indah segala indah. Itulah dia. Insan yang terkenal dengan 'Khuluqin 'Azdhim' . Berakhlaq mulia. Itulah kalian, hai permata. Itulah kalian, kekasih-kekasih الله . Insan-insan yang berjalan di jalan الله dan رسول الله .Mungkin kalian yang disebutkan sebagai wali-wali الله . Entah, aku tidak tahu. Semoga cahayamu kekal bersinar. Tidak sirna. Menabur mutiara ilmu tatkala ummah binasa. Lantas, kukucup tanganmu sebagai tanda penghormatan. Bersulam kasih dan juga harapan. Harapan agar bertemu lagi dengan kalian. Kalian, permata-permata Islam!

Ulasan

Catatan Popular