Terokailah dunia yang serba luas ini, nescaya akan kita jumpai segudang
harta yang bernilai. Ketahuilah, harta itu adalah ilmu dan pengalaman. Ya,
ilmu dan pengalaman. Tidak semua orang berilmu itu memiliki pengalaman. Begitu juga sebaliknya. Kata orang, jauh mengembara, luas pandangan. Benarlah, semakin jauh kita pergi, semakin banyak perkara baru yang kita pelajari. Adakalanya, kita hanya perlu berjalan tanpa tahu arah tujuan, tapi mempunyai tujuan iaitu untuk mengembara mencari ilmu. Di mana sahaja kaki membawa diri, di situlah ilmu akan didapati.
Ya, mudah saja. Pada si nelayan yang sibuk menjala ikan di sungai, kita
pelajari erti kesabaran. Pada si pengutip tin minuman kosong, kita
pelajari erti kegigihan. Pada si pembersih sekolah, kita pelajari erti
pengorbanan. Nah, ini semua orang
biasa. Tapi, apa yang mereka lakukan adalah luar biasa. Kita yang terlalu
buta untuk melihat keluarbiasaan mereka. Malah, kita yang hidup serba cukup ini, amat susah untuk berjumpa dengan 'kegigihan' , 'kesabaran' dan 'pengorbanan'.
Oleh itu, kembaralah dunia ini, nescaya akan kita jumpa pelbagai ragam dan bentuk manusia, yang kadang nampak biasa tapi
sangat luar biasa!
Ulasan
Catat Ulasan