Derasnya ombak pantai itu terus pecah tatkala sampai ke persisiran batu,
Maka, begitulah hendaknya lagak seorang pencinta,
Para pencinta ALLAH...
Hati mereka akan dipecahkan dahulu sebelum sampai pada muara cintaNya..
Ya, pecah dan remuk hati mereka..
Kau tidak akan menemui mereka dalam laut kesenangan..
Kau tidak akan melihat mereka duduk bertenang dalam kapal layaran mereka..
Tapi..
Mereka ini berlayar pada lautan samudera yang kencang,
Pada cuaca angin ribut yang entah bila kesudahannya..
Lantas, semuanya itu menggegar kapal layaran mereka..
Air laut itu memenuhi kapal layaran mereka..
Maka, kau lihat mereka tangkas mengeluarkan air itu dari kapal layaran mereka..
Sambil lidah mereka tidak berhenti berzikir kepadaNya..
Mereka tidak rebah..
Namun, sebahagiannya ada yang terkorban..
Hilang entah ke mana..
Ada pula, mereka yang bertaut pada tiang-tiang yang dipasakkan dalam kapal mereka..
Kekal bertahan walau derita..
Engkau sama sekali tidak akan faham kenapa mereka memilih jalan ini,
Walhal di sebelah sana, ada perairan laut yang lebih tenang untuk disusuri..
Tidak, mereka tidak mahu begitu..
Biar 'pajal' ujian menimpa diri,
Biar 'sadau' terdiam menempuh sendiri,
Biar 'mamar' hati dihambat berkali-kali..
Sungguh, mujahadah itu mahar untuk sampai padaNya..
Maka, tiadalah kesenangan itu mereka 'tepakai'..
Laksana sang nakhoda yang memandang di kejauhan,
Berdiri segak di hujung kapal,
Menanti terus menanti..
Bila saat muara itu jelas kelihatan,
Nah, di situ hati menangis kesyahduan,
Sebuah penantian yang dirindukan..
Tiada kesedihan..
Tiada kegembiraan..
"Entah, apakah namanya ini.."
Tidak terungkap nan perkataan kerana terlalu indah..
Terlalu nyaman..
Maka, berlabuhlah hati itu pada muara cintaNya,
Tersadai di sana tidak ingin pulang..
Maka, diurak oleh mereka bendera kemenangan..
Terpampang jelas kalimah syahadah warna hijau kehitaman..
Tatkala semakin hampir, dilabuhkan sauh iman agar tiada kapal itu berlayar pergi..
Maka, turunlah mereka berdayung perahu tidak kesabaran..
Mahu menatap wajahNya..
Masing-masing mendayung penuh saksama..
Ada 'nur' di wajah mereka..
Maka, kalimat itu diulang sentiasa,
La ilaha illallah..
Muhammad Rasulullah..
Sehingga tersingkap hijab langit,
Tiada 'tepampan' oleh debu mahupun sutera..
Sudah, sekarang sudah,
Nikmat Akbar sudah jelas di hadapan mata..
Allah..Allah..
Nur 'Alaa Nur..
Cahaya atas cahaya,
Allahu Akbar!
Bagaimana tak terkata,
Hanya 'melangui' tidak bicara,
Suka..Bahagia..
Menatap wajahNya,
Ah, Syurga!
Maka, tersenyumlah mereka..
Senyuman yang tidak kau jumpa ketika mereka di dunia..
Senyuman ahli-ahli Syurga..
Melakar seni indahnya bertemu Rabbnya..
Mereka tersenyum sambil mata tertutup,
Sambil disingkap sedikit sahaja..
Malu-malu kucing..
Ya, malu melihat Rabbnya..
Indahnya Pencipta keindahan..
Indahnya ALLAH..
Allah, Rabbul Jamil..
Allah, Rabbul Jalil..
Allah, Rabbul Haq..
Tiada lagi senyuman yang paling indah melainkan senyuman mereka pada hari itu..
Tiada lagi kebahagiaan paling bahagia melainkan kebahagiaan mereka pada hari itu..
Hari di mana sang pencinta bertemu Kekasihnya..
Hari di mana sang pencinta memandang wajah Kekasihnya..
Maka, nikmat manakah yang lebih besar dari itu?
Entah bagi hamba yang berdosa ini..
Dipajal sudah jiwa..
Diterajang sudah dosa..
Namun kekal lupa..
Kekal kufur..
"Maka, nikmat Rabb yang manakah kamu dustakan?"
Isnin, 14 Disember 2015 , 3.41pm
Ulasan
Catat Ulasan