Permintaan Kecilku

Bila melihat gambar-gambar yang dimuat naik dalam laman sosial berkenaan isu di Gaza, sangat menyentuh perasaan dan hati kita. Ada gambar yang menayangkan sekujur tubuh anak kecil yang menjadi mangsa pengeboman oleh musuh yang durjana itu. Dunia hakikatnya tergamam melihat nasib penduduk Gaza yang tidak berkesudahan. Ya, kita yang hidup aman damai ini juga turut merasa tempiasnya. Kata orang, dicubit paha kanan, paha kiri turut merasa sakitnya. Agaknya sampai bila dunia terus meratapi keganasan ini? Melihat satu per satu nyawa si anak kecil dan si ibu melayang. Ya, umpama melihat seseorang yang tanpa sengaja terpijak semut. Dilihat saja semut itu tanpa dihiraukan. Apakah kita sudah tidak sayang kepada agama ALLAH? Manakah doa kita? Manakah usaha kita? Sudahkah ada sumbangan kita pada mereka? Cukuplah. Cukuplah penderitaan ini. Kita sakit melihat si anak kecil tidak lagi tersenyum gembira. Kita sakit melihat si ibu yang hanya bersandar pada dinding sambil memeluk anaknya, kerana takut anaknya menjadi mangsa. Saya tidak minta anda pergi ke sana. Tapi, saya minta untuk kita semua berdoa kepada ALLAH, agar mereka dikurniakan ketabahan dan kekuatan untuk menghadapi liku-liku hari mereka yang tersisa. ALLAH pasti bersama kita!

Ulasan

Catatan Popular