Salam Rindu...

Kesyahduan hari kerinduan semakin tiba. Bersiap sedia melangkah ke bulan Rabi'ul Awwal, bulan kemuliaan. Hatiku deras menangis kerinduan. Tidak tahu hendak bagaimana meluahkan rindu ini. Tidak tahu hendak bagaimana mahu ditumpahkan cinta ini. Pada coretan Qirtas juga tidak bisa dilukiskan akan keindahan pekertinya. Pada tumpahan kata jua tidak mampu terungkai nan seloka. Maka, hanya mampu mencurahkan cintaku dan rinduku, dengan untaian selawat. Berulangkali. Tidak berhenti. Wahai insan yang berwajah indah, aku masih ingat, saat kau suapkan Yahudi buta itu, dengan penuh kasih sayang. Betapa luhurnya jiwamu. Entah kenapa, hatiku seakan ingin melompat keluar ingin bertemu denganmu. Nun jauh di hujung kota, pada padang pasir yang tandus, dalam rumahmu, aku masih ingat, saat kedengaran sayup sepi tangisanmu mendoakan aku dan yang lain. Aku juga masih ingat, saat engkau berkata, "Aku rindu pada ikhwanku!" , bahawa ucapanmu itu membuatkan hatiku sangat gembira dan berbangga menjadi ikhwanmu. Betapa derai tangismu yang syahdu, membuatkan hati ini semakin rindu ingin ketemu. Wahai sebaik-baik insan, telah kusandarkan sepenuh jiwaku ini untukmu. Telah ku orak langkah di jalan kehidupanmu kerna hanya jalanmu sebagai jalan keredhaan. Ingin kukatakan padamu bahawa sungguh derai tangis dan basah peluhku, hanya kerana ingin bersamamu nanti. Dan segala apa khidmatku, hanya kerana ingin mengikuti perjuanganmu, untuk sampai pada Rabbul Jalil. Sungguh, bilaku mendengar namamu disebut, maka hatiku ini akan mengecut. Tunduk malu. Benar, hanya dengan mendengar namamu sahaja boleh membuatkanku malu denganmu. Salam rindu Ya Habibi..Salam rindu Ya Thobibi..Semoga aku bertemu denganmu dengan penuh kesempurnaan. #AllahwaRasul #HeIsMuhammad #SalamJumaat

Ulasan

Catatan Popular