Selamat Jalan Ruh!

Aku hanya mampu melihat mereka masuk ke dalam terminal perlepasan. Kedua sepupu kecilku yang sungguh comel telah berangkat pindah ke United Kingdom bersama ayahanda dan ibundanya. Ah, aku pasti merindui mereka. Ucapan selamat tinggal dari mereka pasti akan aku kenang buat ubati rindu dalam hati. Hai adikku, kamu pergi belayar meninggalkan tanah air ini dengan waktu dan tarikh yang sudah ditetapkan. Maka, adegan ini, membuatkan abangmu ini berfikir panjang. Sungguh, bahawasanya kematian kita juga ada waktu dan tarikh yang ditetapkan oleh الله . Pada saat detik itu muncul tiba, maka Ruh ini akan belayar singgah ke negeri Barzakh sebelum mendarat di negeri Akhirat. Mungkin kamu hanya akan duduk selama 17 jam dalam kapal terbang untuk sampai ke ibukota London. Namun, bagaimana pula halnya dengan tempoh pelayaran Ruh? Berapa lama transit di Barzakh? Lama atau sementara? Berapa lama lagi tempoh hendak mendarat ke Akhirat? Jauh lagi atau sudah dekat? Sungguh, aqal dan hati mati memikirkannya. Kamu sekeluarga bila hendak berangkat, masih sempat mengucapkan kata perpisahan seperti selamat tinggal. Bagaimana pula halnya bila hendak mati? Sempat atau tidak kita ucapkan selamat tinggal? Belum pasti. Kerana sudah tersurat sejak azali, bahawa maut itu sifatnya tiba-tiba. Benarlah, Ruh ini pasti akan kembali pada Al-Khaliq. Wahai jasadku, janganlah kau meronta kesakitan nan kepedihan, bilamana Ruh berpisah daripadamu. Apa yang diidamkan adalah Husnul Khotimah. Kesudahan yang baik. Maka, sebelum Ruh itu berlepas ke negeri Akhirat, biarlah ia berlepas dengan menyebut nama tuhan, الله . Cukuplah bagiku الله , sebagai Penolong bagiku tatkala menghadapi kematian. Wahai Ruh yang ada dalam diriku, semoga kau selamat mendarat ke destinasi. Kuharap kau tidak akan terhempas oleh kerana beratnya dosaku. Ah, maaf, aku silap. Oleh kerana beratnya DOSA-DOSAKU. Itu yang sebetulnya.. Sayonara! Selamat tinggal...Selamat berangkat... #AllahwaRasul #Allahughoyatuna #DeklamasiHati #LifeGoesOn

Ulasan

Catatan Popular