Mengembara itu sebahagian daripada kehidupan. Ada dikalangan kita yang memilih untuk mengelilingi satu dunia. Ada juga yang memilih untuk menerokai bumi Eropah seperti Turkey, Perancis dan Itali. Bagi sesetengah dari mereka, pengembaraan itu mengajar mereka nilai kehidupan, bahawa tidak kira apapun bangsa dan agama yang dianuti, selagi ada kemanusiaan dalam diri mereka, pasti ada yang baik untuk dicontohi. Aku pula berbeza daripada si pengembara yang hidup menela'ah bumi الله yang luas ini. Aku hanya pemuda kampung biasa yang punya cita-cita bodoh. Ya, aku hidup sambil menela'ah kehidupan itu sendiri. Jika si pengembara menemui erti kemegahan pada menara Eiffel, aku pula menemuinya pada laungan Azan Subuh di masjid kampungku. Jika si pengembara menemui erti kasih sayang di perairan Venice, aku pula menemuinya pada larian anak kecil ketika hujan menuju ke rumahnya, seusai pulang membelikan ubat untuk ibundanya yang sakit. Jika si pengembara menemui makna kesungguhan dan keutuhan pada The Great Wall Of China, aku pula menemuinya pada seorang tua yang menjual sayur di kampungku. Jika si pengembara menemui nilai pengorbanan pada Masjid Aya Sofea di Istanbul, aku pula menemuinya pada ibu yang menjaga anaknya yang lumpuh. Inilah kisah-kisah biasa, yang bagiku cukup indah untuk diceritakan. Sungguh, bahawa الله sangat sayang pada hamba-hambaNya. Allah sentiasa memberikan sama-rata pada hamba-hambaNya. Walaupun kita tidak mengembara, tapi kita juga dapat apa yang mereka dapat. Bukankah الله Maha Adil? Ya, Allah Maha Adil. Oleh itu, carilah erti kebahagiaan di lorong-lorong kehidupan. Di situ kau temukan manusia-manusia yang nampak biasa, namun mengajar engkau makna untuk hidup. Teruskan menela'ah kehidupan..
Ulasan
Catat Ulasan