Aku Bangga Menjadi Tahanan!

Ke hadapan saudara-saudaraku di luar sana, bacalah baik-baik suratku ini.

Aku terperangkap dalam penjara yang aku bangunkan sendiri. Aku terkurung di dalam ruangan yang sempit ini. Dindingnya telah diperbuat daripada dosa-dosaku yang banyak. Lantai dan silingnya pula diperbuat daripada keinginan hawa nafsu yang tidak pernah puas.

Entahlah..Aku tidak tahu bagaimana aku boleh masuk ke dalam 'penjara' ini. Semuanya atas ketentuanNya. Aku lahir sebagai Muslim. Maka, aku dihantar ke dunia untuk menjadi sebahagian daripada orang Mukmin, iaitu orang yang sentiasa menurut perintah Allah dan menjauhi laranganNya.

Aku tidak boleh menuruti hawa nafsuku. Aku tidak boleh sering berbuat dosa. Ini kerana aku lahir untuk menjadi Mukmin. Ya, Mukmin!

Orang yang beriman itu hidup dalam 'penjara' yang tidak nampak dengan mata kasar. Yah! Bukanlah jasad mereka yang terkurung, namun hati mereka. Bagi orang Mukmin, dunia ini penjara buat mereka. Tidak boleh baginya menganggap dunia ini bak syurga atau tempat berhibur ria.

Sungguh, bagi orang Mukmin, dunia ini bukanlah matlamat, tetapi alat untuk sampai kepada matlamat mereka, iaitu masuk ke syurga.

Melihat wajah Kekasih mereka! Allah Rabbul 'Izzati.

Sebahagian daripada saudaraku, sudah bebas dari 'penjara' ini. Mereka sudah menjadikan dunia ini matlamat hidup. Bertuhankan dunia, yang bagi mereka syurga. Mereka hidup tanpa menghiraukan apa yang diperintahkan Tuhan.

Apakah ini derhaka namanya? Aku tidak tahu.

Mujurlah Allah itu Maha Pengampun, Maha Pengasih.

Aku harap aku kekal dalam 'penjara' ini. Aku tidak mahu keluar daripadanya. Biarlah aku berlegar-legar dalam 'penjara' ini. Biarlah perit hati menanggung siksa berhadapan dengan dinding dosa dan langit nafsu, asalkan bila aku bebas daripada dunia atau 'penjara' ini, aku masuk ke dalam syurgaNya dan aku tidak akan mahu keluar dari sana. Tidak sama sekali.

Maka, sepanjang keberadaanku dalam 'penjara' ini, tiada yang kuharapkan untuk menjamin aku keluar, kecuali Allah-ku.

Hanya Dia yang memiliki hak untuk membebaskan aku.

Sungguh, Dia Yang Maha Kuasa.

Tatkala aku dibebaskan olehNya, maka kutinggalkanlah 'penjara' yang selama ini tempat persinggahanku.

Saat itu, aku kembali kepadaNya.

Berpisahlah tubuh dan roh. Yang satu tertimbus dan yang satu kembali kepada Pencipta, iaitu ALLAH.
Aku mempunyai impian. Iaitu apabila aku dibebaskan dan masuk ke dalam syurgaNya, aku ingin bercerita kisahku sepanjang berada dalam 'tahanan'.

Aku ingin mengkhabarkan kepada Rasulullah akan pengorbananku itu!

Bahawa aku tidak menyesal hidup dalam 'penjara' yang pernah dimasuki oleh Baginda sendiri. Malah, aku berbangga memasuki 'penjara' itu dengan rela hati semenjak aku dilahirkan. Ya, aku lahir sebagai umatnya.

Aku Muslim!

Aku ingin Baginda bangga dengan diriku nanti.

Pada saat itu, aku akan bercerita dengan penuh tenang. Tidak ada ketakutan dan tidak pula ada kesedihan.

Masing-masing sedang duduk berdepanan di atas dipan-dipan, tersenyum gembira mengenang segala keperitan dan kesusahan ketika berada dalam 'penjara' itu.

Aku takut jika aku lari dari penjara ini kerana tidak mampu bertahan. Namun, biarlah aku di dalamnya sehingga ALLAH membebaskanku.

Mujurlah, aku dijaga oleh 'pengawal-pengawal' yang bernama iman . Biarlah 'pengawal' itu menjadikan aku seorang yang lebih baik dalam melalui hari-hariku.

Lebih sabar,
Lebih redha,
Lebih syukur..

Kuharap mereka yang lain membaca suratku ini. Mereka yang seagama denganku.

Surat ini aku tulis dengan hatiku. Maka, bacalah dengan baik-baik surat yang aku nukilkan saat masih berada dalam 'penjara' ini.

Aneh. Pada biasanya, orang yang dipenjara akan mencari jalan untuk keluar. Tapi tidak bagi aku dan saudaraku yang lain. Kami mencari jalan masuk ke dalam 'penjara'.

Begitulah hebat orang Mukmin.

Simpanlah surat ini baik-baik. Jika satu hari nanti kau terlepas dari 'penjaramu', mohon baca kembali suratku ini.

Baca kembali suratku ini..
Baca kembali suratku ini..
Baca kembali suratku ini...

Semua itu agar kau lebih mengerti hakikat sebuah pengorbanan untuk KEBEBASAN yang hakiki.

"Penjaralah hatimu, Ya Mu'miniin!"

Salam ikhlas daripada,
saudaramu yang dalam 'tahanan'.

--
Rasulullah (ﷺ) said: “The world is a prison for a believer and Paradise for a non-believer.” [Muslim]

Ulasan

Catatan Popular