Cinta 360° ...
Sesetengah dari kenalan saya, ada yang keliru apabila saya mengatakan, "Saya akan berbicara tentang cinta". Majoriti dari mereka menyangka ruang lingkup bicara saya adalah berkenaan isu 'couple', kahwin muda dan yang satu spesies dengannya. Hakikatnya, apa yang saya maksudkan bukanlah setakat isu-isu yang saya sebutkan tadi, tetapi maksudnya adalah saya ingin berbicara tentang CINTA itu sendiri. Cinta adalah kuasa yang paling berkuasa dalam kehidupan ini. Setiap sesuatu yang wujud itu disalurkan cinta ke dalamnya. Pasti ada yang tertanya-tanya, apakah sebenarnya yang cuba saya sampaikan kali ini. Teruskan membaca.
Cinta merupakan makhluk yang sangat unik. Dengan cinta, kita mampu bergerak. Dengan cinta, kita mampu tersenyum simpul. Kerana cinta, kita berani berkorban. Kerana cinta, kita tidak kenal putus asa. Demi cinta, kita gadaikan harta. Demi cinta, kita serahkan jiwa dan raga. Ya, bermacam-macam lagi ragam kehidupan yang bersendikan cinta. Kita lihat sahaja pada sang ibu yang sanggup melakukan apa sahaja demi kebahagian suami dan anaknya. Begitulah hebat kuasa cinta. Dengan cinta, yang lemah jadi kuat. Umpamanya si tua yang mengukir sampan tanpa mengenal lelah. Jika ditanya, alasannya adalah "Aku cinta kerjaku ini...". Maka, cinta ini, saudara-saudari sekalian, sudah tercemar namanya. Percaya atau tidak, masa kini, terdapat manusia yang sudah berani menconteng arang kepada wajah cinta. Masakan tidak. Cinta kerap kali dibahasakan dengan definisi yang salah. Sebagai contoh, cinta itu 'couple', memberi bunga pada kekasih(belum kahwin), menyambut Valentine Day(sekalipun Islam) dan menonton wayang bersama-sama(tanpa Muhrim). Kerap kali cinta itu diwajahkan sebegini rupa. Ah, kita silap. Jika begini lah wajah cinta yang dibahasakan manusia zaman ini, maka kita semakin mundur. Lantas, cinta itu akan menjadi lemah. Tidak lagi menguatkan. Bak kata Hamka, cinta itu menguatkan, bukan melemahkan. Maka, jika manusia hanya memandang cinta pada sisi romantis dengan pasangan mereka, itu sama saja seperti kita menyempitkan skop cinta yang hakikatnya luas. Menjawab persoalan itu, apakah sebenarnya cinta ini? Bagaimana mahu menggunakan cinta? Apakah tujuan cinta diwujudkan? Pelbagai soalan yang perlu kita jawap. Seperti yang dicakapkan awal tadi, cinta merupakan resepi utama dalam kehidupan kita. Maka, semua yang ada pada diri kita dan sekeliling kita perlu disalurkan dengan rasa cinta. Bagaimanakah caranya? Antaranya, melihat dengan pandangan kasih. Menyentuh dengan kasih. Senyum dengan kasih kepada kawan dan orang yang kita terserempak. Membantu seorang tua yang hendak melintas jalan raya atas dasar kasih. Mengusap kepala budak kecil dengan halus. Ah, banyak lagi. Saya tidak dapat sebutkan semuanya. Apa yang penting, cinta itu ada di mana-mana. Cinta itu akan sentiasa hadir. Hatta, kita menghadap ke kanan, cinta ada di sana. Ke kiri, cinta ada di sana. Semuanya. Hakikatnya, cuma kita yang kadang tidak nampak cinta itu. Sekarang, ayuh buka mata hati kita. Lihatlah cinta itu dengan cinta. Jangan cari lagi di mana cinta itu. Sungguh, cinta ada di depan mata. Kenapa? Sebab semua yang kau lihat, rasa, hidu dan sentuh itu, berasal dari satu sumber yang sama, iaitu dari Yang Maha Mencintai, ALLAH Ta'ala. Bukankah setiap kewujudan yang ada itu diciptakan olehNya? Baju kita yang kita pakai saat ini, benangnya bukan berasal dari kilang baju. Buktinya apa? Segala barangan yang mereka gunakan untuk membuat baju itu adalah dari sumber alam semula jadi. Alam semula jadi siapa yang wujudkan? Ya, ALLAH yang wujudkan. 360 darjah bumi ini, semuanya dicipta oleh ALLAH. Tiada campur tangan makhkuk. Maka, cinta itu segala-gala dalam hidup ini. Begitulah caraku memandang makhluk bernama cinta ini. Entahlah. Di mana pun aku berjalan dan berada, aku nampak cinta. Dari timur ke barat, semuanya dipenuhi dengan cinta. Lantaran itu; aku bertanya diriku sendiri. Jika hidup ini Allah ciptakan penuh dengan CINTA, kenapa masih ada ruang untuk kebencian timbul dalam diri manusia? Jawapan murahku adalah kerana manusia tidak mencintai ALLAH.
Ulasan
Catat Ulasan