Tatkala Alam Bercerita...

Di puncak ini, aku duduk berfikir, sambil terus menanti sinar mentari hilang dari pandanganku. Matahari itu..menenangkan qalbu-ku. Seolah-olah saja dia melambai penuh kasih. "Jumpa lagi.." kataku seakan berbisik. Sinarnya yang indah menggamit jiwaku, sekaligus mengukir senyuman di bibirku. Aku terus memandang halus kepulan awan-awan putih yang menutupi gunung-gunung kecil itu. Awan yang menambahkan rencah rindu dalam hatiku terhadap si Pemilik Awan. Tatkala malam menyinsing, hadir pula bulan purnama yang seolah-olah bercerita denganku di puncak ini. Cahayanya benar, sungguh mempesonakan. Sekali lagi, aku tersenyum memandangnya. Rasanya..seperti dipeluk mesra oleh si Pemilik Bulan. Tenang. Lalu, hadir pula angin malam yang bertiup sayu dari segenap penjuru, membuatkan kayu api yang kuhidupkan seolah menari-nari. Aku masih diam memikirkan hidup ini. Lalu, kupejamkan mataku. Dalam mindaku pula, terbayang sekumpulan kanak-kanak yang berlari bebas sambil melayangkan kikik mereka di tepi sawah hijau yang luas terbentang. Wajah mereka yang gembira, seolah-olah seperti tidak ada masalah yang menimpa diri mereka. Babak itu aku perlahankan dalam mindaku. Budak berbaju hijau itu tersenyum lebar memandang sahabatnya. Aku tersenyum lagi. "Sungguh, indahnya..." bisik hatiku. Entah kenapa mereka yang kubayangkan. Di situ, hatiku berlabuh padaNya. Di gunung itu juga, satu persoalan timbul dalam mindaku. "Adakah ketenangan itu di cari atau di cipta sendiri?" . Entahlah..soalan itu aku tinggalkan di puncak gunung itu. Kini, aku turun membawa semangat baru. Hati yang baru. Sungguh, alam akan terus bercerita. Terserah buat hati ini hendak mendengar atau tidak. Dengarkanlah mereka bercerita. Mereka bercerita bukan dengan bahasa manusia atau bahasa binatang. Tapi, melalui bahasa alam iaitu 'keindahan' . Ya, mereka berbicara melalui keindahan. Hanya yang mengenal Pencipta Keindahan, akan memahami bait bicara alam ini. Wahai alam, jadikanlah aku pendengar setiamu, agar aku sentiasa ingat padaNya. Lalu, tenang damailah hatiku...

Ulasan

Catatan Popular