"I'm Tired....But,"

Hati ini meronta tidak tahan. Seolah-olah saja ingin berputus asa untuk meneruskan hidup ini. Kurasakan tiada harapan lagi untuk meneruskan hidup. Kurasakan berat bahuku memikul segala tanggungjawab yang diberi. Malah, kurasakan kesibukan yang dialami, sebagai satu beban buat diriku. Namun, di situ aku menyedari, bahawa semua itu adalah sebagai satu ujian terhadap diriku. ALLAH hendak menguji sejauhmana kesabaranku menghadapinya. Masakan tidak, hati ini ingin menuju kepadaNya, maka mustahil tidak berjumpa dengan ujian atau cubaan. Itu satu kepastian dalam jalan ini. Maka, aku terus berkata kepada diri ini, agar tidak mudah mengalah. Biarlah bisikan syaitan itu terus menghantuiku untuk berputus asa, namun ALLAH tetap menjadi tujuanku. Benar, aku tidak boleh mengalah. Aku boleh buat. Aku masih kuat tempuh segala ujian. Aku masih mampu bangkit berdiri dan berjalan menuju ALLAH. Ini kerana "Tidaklah Allah menguji hambaNya di luar batasan kemampuan mereka". Wajah hatiku ini; jika dizahirkan pasti nampak hancur berkecai. Remuk. Pecah. Berparut. Semua itu adalah sebagai bukti perjuanganku menuju kepadaNya. Jalan ini..tidak mudah. Malah, lelah. Perit. Seksa. Namun, itulah definisi perjuangan. Pasti susah dan lelah. Benarlah kata sebahagian orang, "Dunia tempat berpenat lelah, akhirat pula tempat berehat". Aku setuju dengan prinsip itu. Justeru, aku mula teringat pesanan seorang ahli hikmah, katanya "This Dunya were made to crush our heart" . Maka, selagi aku masih hidup di dunia ini, hatiku akan terus dihancurkan. Kenapa? Kerana ALLAH hendak mengajar bahawa jangan bergantung harap pada dunia, tapi bergantung harap padaNya selalu. Orang bila hendak gantung baju, dia akan gantung pada almari, bukan atas 'icebox'. Begitulah hendaknya. Maka, di sini, aku sedar, biarlah aku lelah melakukan segalanya, asalkan bila masuk syurgaNya nanti aku dapat berehat sepuasnya. Maka, aku harus fokus terhadap matlamatku; untuk sampai pada ALLAH. Sungguh, orang yang benar beriman tidak kenal erti lelah. Sabar wahai hati, ujian ini seketika. Allah bersamamu!

Ulasan

  1. Semuanya sama..
    Hitam atau putih,
    Kita sama manusia,
    Kita sama hambaNya,
    Mengapa rumit untuk memahamiNya?
    Mengapa buta untuk melihatNya?

    Sekalipun awan itu berarak,
    Dari Timur ke Barat,
    Sama sekali tidak merubah siapa aku..
    Sekalipun hembusan angin,
    Membelai halus pipi dan leherku,
    Sama sekali tidak merubah siapa Kau..

    Engkau tetap Kau..
    aku tetap aku..

    Kau kubawa dalam hatiku,
    Lalu...
    Biarlah kugenggam aksara itu,
    Meraung di puncak cinta,
    Bersandar tidak bicara,
    Aku kian lemas,
    Tidak bernafas,
    Lemas dalam rahmatNya..
    Kupinta,
    Kumohon,
    Jangan selamatkan aku,
    Biarlah aku mati dalam cintaNya..

    Engkau..
    Sama sekali tidak akan faham,
    Bahasa seorang Pencinta,
    Pencinta cinta..
    Lagaknya seperti Jalaluddin Ar-Rumi..
    Yang pakar berbahasa cinta,
    Yang tembus ke 'sana',
    Terjun menjunam ke lautan hakikat,
    Menuju cahayaNya,
    Menggapai syurgaNya,
    Lalu dia masygul,
    Bercinta dengan CINTA...
    Persis si Majnun,
    Perindu yang termenung,
    Di persisiran rahmatNya..

    Di 'sana'...
    Akan kau jumpa Ar-Rahman,
    Akan kau pandang Ar-Rahman,
    Akan kau renung Ar-Rahman,
    Ar-Rahman yang kau idamkan,
    Betapa hebatnya Dia...
    Betapa agungnya Dia..

    "Nur 'alaa nur"

    "Salaam wahai yang kucinta" kataNya,
    Ketahuilah wahai diri,
    Tatkala itu,
    Engkau telah berjaya,
    Selamat datang ke puncak CINTA....

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan Popular