Pentas Kehidupan...

Aku seolah-olah menari-nari seorang diri di atas pentas kehidupan ini. Malah, aku juga berdialog dengan bermacam ragam watak manusia yang memberikan pelajaran yang tersendiri. Ada yang memegang watak baik dan watak jahat. Namun, keduanya sama sahaja bagiku, iaitu mereka hadir ke dalam sketsa kehidupanku adalah untuk mewarnai lagi skrip kehidupanku. Di pentas kehidupan ini, aku dan teman-temanku tidak pernah berjumpa dengan Tuan Direktor. Kami tidak pernah melihat wajahNya. Apa yang kami lakukan adalah hanya menerima arahan daripadaNya, yang disampaikan melalui orang-orang pilihanNya untuk memastikan kami melaksanakan dengan baik dan rapi. Jika di suruh buat ini, maka kami buat. Jika Dia mencegah kami daripada melakukan itu, maka kami menjauhi. Namun, biasalah, sudah menjadi adat dalam pementasan, pasti ada yang tidak mahu mendengar cakap Tuan Direktor. Di mana-mana pun, pasti ada yang mendurhaka pada ketua. Maka, aku terus berkarya dalam 'pentas' ini. Tiada tepukan gemuruh. Tiada penonton. Tiada jualan tiket. Yang ada, hanya kami sebagai pemain watak dan Tuan Direktor. Itu saja. Pementasan yang tidak ada penontonnya. Lantas, kami terus bersandiwara dalam setiap babak-babak kehidupan yang disusun rapi oleh Tuan Direktor. Sepanjang pementasan yang tidak diketahui bila kesudahannya ini, aku dan teman-teman yang lain yakin, bahawa Tuan Direktor sedang melihat kami menjalankan pementasan ini. Sungguh, hanya Dia yang kami percayai untuk menulis skrip kehidupan kami. Tiada lain. Sampailah tirai merah berlabuh sebagai tanda 'pementasan' sudah habis. Saat itu, hanya tinggal Tuan Direktor sahaja. Semua watak-watak yang lain, termasuk aku, akan 'dimatikan'. Hanya Tuan Direktor..Hanya Tuan Direktor sahaja...

Ulasan

Catatan Popular