Semua orang menyukai ketenangan. Orang tidak suka tertekan, marah, pening dan sebagainya. Kalau boleh, kita mahu bahagia dan ceria selalu. Alhamdulillah, baru-baru ini saya berkesempatan untuk meluangkan masa bersama dua orang sahabat yang sudah lama tidak berjumpa. Kami memilih pantai sebagai tempat bersembang.
Di situ, kami berbual panjang. Dari perbincangan yang santai hinggalah menyentuh soal kehidupan ini. Salah seorang dari sahabat saya berkata, bahawa dia pernah berjumpa dengan seorang kenalan yang tidak percaya pada cinta. Saya terkejut mendengar kenyataan tersebut. Jika cinta dia tidak percaya, lalu apa yang dia percaya? Saya dan sahabat saya yang seorang lagi, kurang setuju dengan kenyataan tersebut. Bagi kami berdua, sesiapa yang tidak percaya pada cinta itu, seolah-olah mati. Saya ingin memetik kata-kata Jalaluddin Ar-Rumi, seorang pencinta, katanya...
Jika kita fahami petikan kata ini, setiap detik yang berlalu tanpa cinta, ia akan muncul dengan wajah yang memalukan di hadapan Tuhan. Maka, sesiapa yang hidupnya tidak mempercayai kuasa cinta ataupun hidup tanpa ada rasa cinta, sama saja seperti hidupnya itu kosong. Umpama mencipta gelas tanpa kewujudan air. Lalu, apa fungsi dan manfaat gelas jika tiada air? Begitulah hidup tanpa cinta. Semuanya akan berlalu begitu saja tanpa ada makna.
Jika kita imbas dan amati sejarah kehidupan Sayyidina Rasulullah Shollallahu 'Alaihi Wassalam, dari awal kelahiran, peringkat remaja, dilantik menjadi Rasul sampailah kewafatan Baginda Rasulullah pada usia 63 tahun, setiap detik kehidupan Baginda telah disalut dengan makhluk bernama cinta. Malah, kerana sifat rahmatalil 'aalamiin yang ada pada Baginda Rasulullah, seluruh alam semesta ini, termasuklah bulan, bintang, pepohonan, binatang apatah lagi manusia, turut merasa kehangatan sentuhan cinta Sayyidina Rasulullah. Ini kerana Baginda tahu nilai mahabbah itu sangat tinggi di sisi Allah. Dek rasa cinta yang menggunung tinggi dalam hati Baginda, kita tidak pernah mendengar satu pun kisah yang mengkhabarkan ketidaksabaran, kemarahan atau rungutan Baginda. Semua sirah yang kita dengarkan selama ini sering menggambarkan bahasa cinta Rasulullah iaitu, bersabar, tawadhu', redha, ikhlas, kasihan dan jujur. Inilah bahasa cinta Baginda Rasulullah. Namun, ummat zaman ini, termasuk saya sendiri, lebih cepat belajar bahasa cinta yang dituturkan oleh dunia berbanding belajar bahasa cinta yang 'dituturkan' oleh Baginda Rasulullah.
Sebagai konklusi bagi entri kali ini, ingin saya dendangkan secara ringkas gelora dan sentuhan cinta yang membuatkan beberapa manusia melihat hidup sebagai hidup. Pertama, tingginya cinta Bilal bin Rabah kepada Rasulullah, sehingga tidak sanggup melaungkan Azan selepas kewafatan Baginda Rasulullah. Tinggi pula cinta Rabi'atul Adawiyyah kepada Allah, sehingga jiwanya sempit dan penuh dengan cinta Allah sehingga tiada ruang untuk cinta lain bersemi dalam hatinya. Tinggi pula cinta Umar Al-Khattab pada Rasulullah, sehingga sanggup memancung kepala mereka yang mengisytiharkan bahawa Baginda Rasulullah telah meninggal dunia. Dan, ajaib sungguh cinta Abu Bakar As-Siddiq pada Islam, yang sanggup mengorbankan seluruh harta dan raganya untuk kebaikan umat Islam. Inilah manusia yang hidupnya dipenuhi rasa cinta. Cintalah yang menggerakkan hati mereka untuk berbuat demikian. Cinta bukan sebarang cinta, namun cinta pada Al-Haq. Cinta di atas Cinta. Maka, hiduplah dengan penuh rasa cinta. Pandang budak yang tidak berkaki itu dengan cinta, bukan setakat dengan mata. Usap kepala anak yatim piatu itu dengan cinta, bukan setakat dengan tanganmu. Nah, bacalah juga entri ini dengan cinta. Jangan biarkan waktumu yang kau luangkan pada entri ini berlalu tanpa cinta. Sungguh, tiada yang lebih benar cintanya melainkan cinta itu sendiri. Sudah, panjang sungguh bicaraku tentang cinta. Nanti aku dikatakan angau hendak bercinta. Tidak, bukan angau. Tapi, terjatuh cinta dengan cinta itu sendiri. Sekian, cintailah hidupmu!
Ulasan
Catat Ulasan