My Moment #1

Apabila kedua kelopak mata terbuka; saat itu bermulalah perjalanan hidup kita sekali lagi. Sungguh, hanya Dia yang menggerakkan ke mana kaki kita melangkah pergi dan hanya Dia juga yang menggerakkan rezeki kita dari arah yang tidak disangka-sangka.

Perjalanan hidupku pada hari ini; telah membawa aku ke sebuah tempat perhentian iaitu masjid/musolla. Di sana aku singgah untuk berdiri, ruku' dan sujud padaNya.

Saat memasuki pintu ruang solat utama, aku lihat di hujung sudut masjid itu, dua orang budak kecil sedang duduk berdepanan antara satu dan lain. Suara mereka mengalunkan Al-Quran memenuhi ruang solat pada waktu senja itu. Aku tergamam. Ya, satu gambaran yang cukup luarbiasa. Hakikatnya, babak itu sudah cukup untuk mengajarku agar muhasabah diri.

"Adakah aku sudah membaca ayat-ayatNya hari ni?" .

Kemudian, tatkala beriktikaf di dalam Musolla itu, tiba-tiba aku dijumpakan dengan seorang pekerja asing. Tangannya yang berjasa itu mencapai tasbih emas yang terletak di sisiku. Aku senyum kepadanya. Lalu, aku memberi salam. Dia duduk di sisiku dan aku mengajaknya berbual. Ketika ditanya pendapatan gajinya, hanya $30 sehari. Nilai yang sedikit dari sudut keduniaan. Namun, kehadirannya di Musolla itu untuk berjemaah, sudah cukup untuk mengajar diriku tentang syukur.

Aku mula sedar, betapa hidup ini, penuh dengan rahsia cintaNya. Dari segenap penjuru, cintaNya itu telah memenuhi ruang hidupku sehingga di manapun kuhadap wajahku dan kulangkahkan kakiku, aku nampak cinta Yang Maha Esa.

Ulasan

Catatan Popular