Children Of Hope : Part 2

--

Tingkap kayu itu terbuka tertutup disebabkan hembusan angin yang meniup sayu. Terdengar pula pusingan kipas yang terletak di tengah-tengah siling bilik darjah itu.

Dindingnya yang sedikit hancur dan berlubang itu membuatkan sinar matahari memancar masuk dicelah-celahnya.

Terdengar pula geseran kapur yang digunakan oleh seorang wanita berkerudung yang tidak mengharapkan sebarang bayaran pun untuk perkhidmatannya.

Bunyi kipas angin yang sudah nyawa-nyawa ikan itu pula, ditingkah dengan suara sekumpulan kanak-kanak kecil yang belajar ABC dengan penuh semangat. Suara mereka menyebut satu per satu huruf itu dengan penuh serentak begitu mendamaikan hati.

"Alhamdulillah, semua murid-murid menunjukkan minat belajar yang sangat tinggi.." kata Ustazah Fatma kepada Asma selepas selesai mengajar.

"Alhamdulillah. terima kasih ustazah kerana menerima saya dan anak saya untuk tinggal di sekolah ini.." balas Asma dengan penuh kerendahan. Hakikatnya, dia merasa bersyukur. Ternyata masih ada lagi manusia di dunia ini yang berhati mulia.

"Janganlah berterima kasih pada saya. Bukankah sudah menjadi kewajipan kita sesama muslim untuk menolong antara satu sama lain?" kata Ustazah Fatma menunjukkan ketulusannya.

Asma hanya mampu tersenyum bahagia.

Sekali-sekala, matanya memandang Khalil yang sedang berbual bersama anak-anak Syria yang lain. Pandangannya itu seakan-akan menunjukkan segunung harapan yang disebaliknya ada kebahagiaan yang sedang menanti.

Hari berlalu seiring bertukarnya matahari dan bulan.

Asma sudah mula dapat mengadaptasi dirinya dengan kehidupan di sekolah tersebut. Malah, Asma sudah mula memegang peranan sebagai guru mengaji al-Quran.

Khalil pula sudah mula melupakan sejarah hitam yang pernah berlaku ke atasnya. Dia mula mengerti bahawa kebahagiaan yang hakiki itu ada bersama teman-teman seperjuangannya.

Sekalipun hidup di sekolah itu tidak begitu selesa, akan tetapi hanya itulah saja secebis harapan untuk mereka semua meneruskan hidup. Mujurlah masih ada segelintir manusia yang berhati perut untuk membantu mereka.

Sekolah yang didirikan melalui kutipan dana itu, sering mendapat bantuan dari pelajar-pelajar luar yang bermukim di sana. Ini termasuklah bekalan makanan dan minuman.

"Kawan-kawan! Tengok, Abang Luqman sampai!" jerit Khalil dengan penuh teruja dengan kedatangan abang kesayangan mereka itu.

Khalil dan kanak-kanak yang lain berlari menuju Luqman dengan penuh keriangan. Luqman pula menyambut mereka dengan satu pelukan besar.

"Apa khabar adik-adik kesayangan Allah?" soal Luqman dengan penuh mesra.

Masing-masing menjawab soalan itu dengan penuh semangat.

"Abang, Rumaisya rindu dengan abang.." kata Rumaisya, seorang budak kecil yang sungguh comel. Luqman hanya mampu tersenyum mendengar pengakuan itu. Namun, dalam hatinya, dia sedikit tersentuh.

Lalu, mereka pun dibawa masuk ke dalam sekolah bersama Luqman.

Luqman merupakan salah seorang pemuda yang sangat aktif dalam misi kemanusian di Syria. Anak kelahiran Brunei itu sanggup merentasi berpuluh kilometer semata-mata untuk membuatkan anak-anak Syria itu tersenyum kembali.

Setiap kali Luqman menziarah mereka, Luqman akan membawa beberapa ekor layang-layang untuk dimain bersama anak-anak kecil di sekolah tersebut. Bagi Luqman, dengan sedemikian sedikit sebanyak mampu menghiburkan hati adik-adik kesayangannya itu.

Pada petang itu, Khalil dan sahabatnya sedang berkumpul dibelakang sekolah bersama Luqman. Tatkala sedang duduk beramai-ramai sambil melihat layang-layang mereka yang masih di angkasa, Luqman yang duduk ditengah-tengah mereka pun berpesan,

"Adik-adik semua mesti jadi seperti layang-layang itu..." ujar Luqman dengan bersahaja.

Rumaisya yang dalam pelukannya, mula bertanya, "Maksud abang apa?" .

"Adik-adik semua tengoklah layang-layang itu, ia melayang tinggi di angkasa..".

Khalil dan yang lain masih tidak faham.

"Adik-adik semua perlu jadi macam layang-layang itu. Adik-adik abang semua mestilah menjadi seorang yang bersemangat dan mempunyai harapan yang tinggi.." lanjut Luqman dengan penuh syahdu. Suasana petang yang menenangkan itu membuatkan suasana lebih hidup.

"Layang-layang itu tidak akan mampu terapung diangkasa kalau tidak ada tiupan angin. Maka, begitulah kita semua. Kita perlu ada semangat dan harapan, kemudian barulah kita akan melayang tinggi di angkasa.." Luqman meneruskan lagi.

Khalil dan yang lain-lain cuma mengangguk-angguk kepala mereka. Entah faham atau tidak. Namun, pesanan itu Khalil simpan baik-baik. Dia sedar pasti ada sesuatu disebalik pesanan yang tersirat itu.

--

Satu hari, Khalil dan Abdurrahman sedang bermain-main di lereng bukit tidak jauh dari sekolah mereka. Mereka cuba mengutip sisa-sisa peluru yang bertaburan di atas tanah tersebut. Lalu, mereka akan mengira jumlah peluru yang dikumpul. Siapa yang paling banyak, dialah yang menang.

Sedang mereka sibuk mengutip peluru-peluru yang ada, tiba-tiba Khalil menjerit.

"Abdurrahman! Abdurrahman! Jangan pergi ke sana. Bahaya!" Khalil melarang Abdurrahman supaya tidak memasuki kawasan larangan itu.

Namun, Abdurrahman tidak menghiraukan kata-kata Khalil. Dia tetap terus masuk ke tanah lapang itu.

"Abdurrahman! Jangan pergi jauh! Nanti Ustazah marah.." Khalil cuba melarang lagi.

Seorang tentera yang berkawal di situ mengangkat senjatanya dan mengacukan pada Abdurrahman. Jarinya sudah bersedia untuk melepaskan peluru kepada budak kecil yang mengutip peluru itu.

Abdurrahman memandang wajah tentera itu seketika sambil beredar dari situ dengan tenang.

Tentera itu meletakkan semula senjatanya.

Setibanya Khalil dan Abdurrahman di sekolah, kelihatan Ustazah Fatma, Asma dan Luqman sedang berbicara di sebuah ruang bilik. Disebabkan pintu yang sedikit terbuka, Khalil dan Abdurrahman dapat mencuri-curi dengar isi perbualan mereka.

"Saya minta maaf banyak-banyak Ustazah. Saya sudah cuba bantu sedaya yang mampu, namun segala bekalan makanan sudah mula disekat oleh pihak musuh.." kata Luqman dengan penuh emosi.

Khalil terus mengintip dari balik pintu. Kelihatan wajah Ustazah Fatma dan Asma yang muram.

"Apakah ada cara lain yang boleh kita lakukan lagi?" soal Ustazah Fatma dengan penuh sopan walaupun hakikatnya, dia nampak terdesak.

"Maaflah ustazah. Setakat ini, kami masih mencari jalan lain untuk membawa bekalan masuk. Saya harap ustazah dapat bersabar sedikit dengan dugaan ni.." Jawab Luqman dengan jujur.

Wajah Ustazah Fatma kembali menunduk. Lantas, Asma pun mengusap bahu Ustazah Fatma cuba untuk menenangkannya.

"Sabarlah. Inshaa Allah, pasti ada hikmahnya.." kata Asma memujuk.

Khalil yang mendengar perbualan mereka terus beredar secara senyap dari situ. Abdurrahman pula mengikutinya dari belakang.

Pada malam itu, mereka semua berkumpul di dalam sebuah dewan kecil.

Ustazah Fatma, Asma, ibu-bapa dan anak-anak Syria yang lain-lain, semuanya berkumpul dalam dewan tersebut.

Semuanya menanti penjelasan dari wanita bertudung hitam itu.

"Dengarkanlah baik-baik wahai saudaraku semua.." kata Ustazah Fatma memulakan bicaranya.

Semua diam penuh taat memandang wanita yang mula mengalirkan air mata itu.

"Ada yang ingin aku sampaikan pada kalian semua.." katanya lagi dengan lantang. Senyuman yang diukirnya nampak palsu. Asma pula hanya mampu berdiri diam di sebelahnya.

Ustazah Fatma terus memandang setiap wajah anak-anak kecil yang duduk bersama ibu-bapa mereka. Turut dipandang juga mereka yang tidak lagi mempunyai ibu-bapa. Betapa semakin berat mulutnya hendak menyampaikan berita tersebut setelah melihat wajah insan-insan yang tidak berdosa itu.

"Alhamdulillah, pagi tadi, saya mendapat khabar, yang saya masih tidak tahu sama ada bersifat baik atau buruk buat kita.." Lanjutnya lagi beremosi. Bicaranya seakan perlahan.

"Katakanlah kepada kami Ya Ustazah!" kata Jabir yang duduk dibelakang sekali. Jabir adalah pemuda yang paling tua sekali dikalangan anak-anak Syria iaitu 18 tahun.

"Saya mendapat khabar yang dibawa oleh saudara Luqman, bahawa bekalan makanan dan minuman untuk sekolah kita telah diputuskan.." kata Ustazah Fatma sambil mengusap airmatanya.

"Maka, dukacita saya maklumkan bahawa kita hanya akan cuba bertahan dengan segala bekalan makanan yang masih ada. Saya harap kalian faham akan dugaan ini dan terus bersabar.." lanjutnya lagi.

Sedetik; suasana dewan kecil itu menjadi riuh sedikit. Masing-masing berpandangan antara satu sama lain. Ada yang sudah mula bertanya hendak makan apa. Anak-anak kecil pula tidak mengerti apa yang dibicarakan.

"Oleh itu, saya meminta agar kita semua memperbanyakkan solat hajat dan mohonlah doa pada Allah agar diberi bantuan. Percayalah, hanya Dia yang mampu menolong kita semua.." kata Ustazah Fatma cuba menenangkan keadaan. Suasana dewan yang riuh sebentar, kembali suram.

Kini, jelaslah apa yang dikatakan oleh Ustazah Fatma. Ya, mereka tidak akan mendapat bekalan lagi. Namun, apa yang penting, mereka mesti mengharunginya sama-sama. Tidak kira apa yang akan berlaku selepas ini, mereka perlu membantu antara satu dengan yang lain.

--
Bersambung

Ulasan

Catatan Popular