Once A Beggar, Always A Beggar
Setiap rintihan dan keluhan seorang hamba itu didengar oleh ALLAH Yang Maha Mendengar. Pada setiap saat hidup ini, suara rintihan itu sering berkumandang dari segenap penjuru bumi ini, memenuhi ruangan langit untuk naik kepada Tuhan Yang Maha Mengasihani. Aku telah melihat seorang pelajar yang mengadu masalahnya yang terlalu sibuk dengan 'assignment' sehingga tidak sempat hendak solat. Aku juga melihat seorang cikgu yang merungut berkenaan jadual kelasnya yang terlalu banyak sehingga membuatkan beliau pening kepala hendak menguruskan. Selain itu, aku juga melihat keluhan seorang sahabat yang kelelahan dalam membuat kerja dakwah sehingga putus asa di tengah jalan. Ya, aku telah menyaksikan semua itu. Di sini aku mempelajari bahawa setiap rintihan dan keluhan itu merupakan salah satu bukti akan KELEMAHAN kita. Sungguh, setiap keluhan itu merupakan gambaran bahawa kita tidak akan mampu dan tidak akan kuat, melainkan dengan izin ALLAH. Malah, babak ini juga mengajar aku untuk muhasabah diri, iaitu supaya tidak sombong atau ego. Kenapa pula EGO? Sebab, seorang hamba yang tidak meminta kepada Tuhannya, adalah dikira sebagai ego. Hanya hamba yang merasakan dirinya sudah cukup bagus dan hebat yang tidak memerlukan ALLAH, sedangkan hambaNya yang merasakan dirinya hina dan lemah pula, adalah mereka yang sentiasa meminta kepada ALLAH dalam apa jua hal. Bayangkan, seorang pengemis jalanan yang duduk di tepian jalan. Menunggu setiap orang yang lalu lalang untuk memberikan dia sedikit wang. Saat dia bangun dari tempat tidurnya yang beralaskan kotak buruk, dia sangat berharap agar pada hari tersebut, akan ada beberapa orang yang memberikan dia wang/makanan/minuman. Kenapa si pengemis berbuat sedemikian? Kerana dia sedar, dirinya tidak punya apa. Tidak ada duit, rumah mahupun kereta. Sedar bahawa dia cuma pengemis jalanan! Maka, begitulah kita dalam kehidupan ini. Kita hakikatnya seorang pengemis kepada ALLAH. Hanya kepadaNya selayaknya tempat kita meminta apa sahaja yang diinginkan. Setiap keluhan dan rintihan itu, hakikatnya merupakan peringatan dari ALLAH agar kita kembali menjadi hambaNya yang menyedari kekurangan dan kelemahan. Bukanlah hambaNya yang sombong dan ego, yang tidak inginkan pertolongan daripada ALLAH. Dipersilakan untuk muhasabah diri sedikit... Ingatlah, di dunia ini, kita ibarat pengemis jalanan. Pengemis tetap akan menjadi pengemis. Bilakah kita akan jadi kaya? Jawapannya, bila masuk ke syurga nanti di akhirat. Saat itu, barulah kita menjadi seorang kaya, hasil dari pengemisan kita di dunia ini. Bukankah Rasulullah juga sering meminta kepada ALLAH? Dek kemaksuman Baginda sebagai pesuruh ALLAH, namun Baginda tetap meminta kepada ALLAH. Kenapa? Sebab Baginda sedar Baginda siapa. Baginda juga manusia seperti kita. Lantaran sifat kasihan Baginda kepada umatnya, Baginda mengajarkan kita untuk BERDOA agar kita mampu merendahkan hati yang kadang tanpa kita sedari, telah sombong kepada ALLAH. Namun, apa yang hebat adalah, Baginda tidak pernah sama sekali berkeluh kesah tentang apa yang Baginda lakukan dalam kehidupan Baginda. Ini kerana sifat sabar yang begitu tinggi telah menghiasi hati Baginda. Inilah yang telah membuatkan Baginda Rasulullah seorang yang sangat luar biasa. Kita pula bagaimana? Jauh berbeza. Contoh mudah, apabila kita gagal hendak memasukkan benang ke dalam lubang jarum,akhirnya kita mengeluh. Bahkan, ada yang putus asa! Tidak jadi menjahit. Itu baru perkara kecil, apalagi perkara besar. Inilah ragam manusia. Tidak sabar. Suka berkeluh kesah. Sombong pada Tuhan. Lupa diri siapa. Kita tidak sedar bahawa kita sebenarnya tidak punya apa-apa. Kosong. Namun, masih juga kita angkuh tidak mahu meminta. Sudahlah susah, ditambah lagi susah. Astaghfirullah. Banyak sungguh dosa kita. Inilah kita. Ya, kita perlu terima hakikat ini. Nasihatku,
mengemislah kepada ALLAH sahaja. Jangan sesekali mengemis pada selain ALLAH. Banyakkan istighfar pada ALLAH dan banyakkan berdoa pada ALLAH. Kita perlu lebih hati-hati kerana adakalanya kita tidak sedar bahawa kita sudah sombong pada ALLAH. Sedarlah,
Sedarlah,
Sedarlah... Mudah-mudahan kalian faham bicaraku ini. Maafkan aku...
Ulasan
Catat Ulasan