Artikel Istimewa - Kebangkitan! : The Biggest Reveal
--
Petang itu, aku duduk santai sambil menikmati secawan teh panas. Duduk sambil memandang kejauhan lautan yang luas terbentang di hadapan mata. Terdengar desiran ombak menghempas daratan berulang kali. Bunyi itu membuatkan jiwaku tenteram. Tiba-tiba, satu persoalan timbul dalam minda seiring dengan bertiupnya angin dari arah pantai itu.
"Apakah ketenangan itu dicipta sendiri atau perlu dicari?". Demikianlah soalan itu.
Aku tenggelam memikirkannya. Dahiku mula berkerut. Jika sekiranya ketenangan itu dicipta sendiri; maka mengapa ada manusia yang mencari-cari ketenangan di merata tempat? Atau, jika sekiranya ketenangan itu perlu dicari, mengapa pula ada manusia yang hatinya sentiasa ketenangan sekalipun tidak keluar-keluar dari rumahnya?
Bagaimana pula jika keduanya sekali? Bagaimana sekiranya ketenangan itu dicipta dan juga dicari? Ah, semakin rumit persoalan ini.
Ketenangan merupakan rencah yang paling penting dalam emosi manusia. Manusia sentiasa menginginkan ketenangan. Manusia tidak mahu hidupnya sentiasa diselubungi dengan pelbagai masalah ataupun kekecohan. Jika boleh; manusia mahu semuanya dalam keadaan baik. Manusia mahukan semuanya dalam keadaan sempurna. Inilah hati manusia, yang sentiasa menuntut kesempurnaan daripada sesama manusia ataupun persekelilingannya. Manusia itu memburu kesempurnaan.
Contoh mudah yang kita boleh kaitkan adalah, kita mesti dapat apa yang inginkan. Jika kita tidak mampu memiliki apa yang kita idam-idamkan selama ini, maka kita akan merasa kecewa, pedih dan sesal. Inilah manusia. Terkadang, kita tidak sedar bahawa, kita tidak akan pernah dapat kesemuanya. Kita tidak akan pernah menguasi dunia ini. Bahkan, hati orang lain. Kita tidak akan pernah menguasai hati orang lain.
Sungguh ironinya, kita kadang terlalu demanding dengan orang-orang di sekeliling kita. Kita mahukan agar mereka menyukai kita, sentiasa bersama kita dan lain-lain lagi. Walhal; kita tidak ada kuasa langsung untuk mengawal hati mereka. Hakikatnya, kita terlalu mendesak agar orang lain memuaskan kemahuan hati kita. Ternyata, inilah salah satu punca kita merasakan kesedihan, kekecewaan dan sebagainya. Punah hati, pecah dalam tangisan, dan lain-lain lagi keperitan, hakikatnya berpunca dari diri kita sendiri.
Kita terlalu berharap pada makhluk, sehingga lupa pada ALLAH.
Bayangkanlah, umpama menaruh gelas kaca di atas sehelai benang. Sudah pasti gelas kaca itu akan gugur dan pecah. Hal ini persis dengan hati kita. Seringkali, kita meletakkan hati kita pada tempat yang salah. Malah, kita amat gemar untuk meletakkan hati kita pada tempat yang tidak selamat, sehingga apabila ia 'gugur' dan 'pecah', kita merasakan kesakitan, kekecewaan dan sesalan. Secara mudahnya, kita selalu meletakkan harapan kita kepada makhluk, yang hakikatnya tidak memberi apa-apa jaminan kepada kita.
"Ah, apakah sebenarnya masalah hatiku ini?" Kita mula mempersoalkan lagi.
Hati ini selayaknya diletakkan pada tempat yang betul, agar ia tidak merasakan kesakitan atau agar ia tidak dikecewakan. Sudah semestinya, tempat itu adalah pada ALLAH Ta'ala.
Hanya pada ALLAH tempat selayaknya bergantung harap. Satu soalan untuk kita sama-sama berfikir. Selama ini, pernah atau tidak terjumpa seseorang yang menggantung jam dinding menggunakan gam cecair? Jawapannya, sudah semesti tidak pernah. Kebiasaannya, orang akan menggunakan paku untuk menggantung jam dinding kerana ia kukuh dan kuat berbanding hanya menggunakan gam cecair.
Begitulah juga dengan harapan kita. Pergantungan yang paling kukuh hanyalah ada pada ALLAH. Apa sahaja benda selain daripada ALLAH, pasti akan membuatkan hati kita pecah dan 'mamar'.
Kita sering tersilap, bilamana kita menghadapi kesedihan akibat sesuatu masalah, kita sering menyalahkan orang sekeliling kita ataupun menyalahkan takdir. Walhal, kesedihan itu datang daripada diri kita sendiri. Kita sendirilah yang mencipta kesedihan itu! Ini kerana kitalah yang silap menggantung harapan. Kitalah yang terlalu sangat berharap pada makhluk.
Kita selalu berharap bahawa hanya sahabat kita yang mampu membuatkan kita tersenyum gembira. Ternyata; sahabat yang kita agung-agungkan itu pun, boleh sahaja menyakitkan hati kita.
Di lain hal, kita sering kecewa bilamana tidak mampu memiliki apa yang kita inginkan. Maka; kita pun merasa tidak puas hati. Kita rasa seolah-olah dunia ini tidak berlaku adil kepada kita. Malah, kita merasa seolah-olah, kitalah orang yang paling bermasalah dalam hidup ini.
Sedarlah wahai hati yang haus akan zikrullah; sesungguhnya, semua yang ada di dunia ini, milik ALLAH Ta'ala. ALLAH sendiri yang mengawal semua aturan kehidupan kita. ALLAH yang menetapkan apa yang kita akan dapat dan apa yang kita tidak dapat. Ingatlah, rasa untuk memiliki semua kesenangan dunia itu adalah tipu daya belaka. Maka, nasihatku, jangan tertipu.
Bukalah mata hati kalian seluas-luasnya. Fikirkan dalam-dalam tentang apa yang kau idam-idamkan. Adakah ia berbentuk duniawi atau sebaliknya? Jika ia masih bersifat duniawi, maka ia tipu daya. Kau harus menjadi orang yang cerdas memikirkan hal ini. Jangan biarkan dirimu ditelan habis-habisan oleh keduniaan. Sungguh, percayalah, telah aku jumpai orang-orang yang pernah melalui kesemua itu. Mereka mengatakan bahawa, secebis sahaja kau mengambil pada dunia ini, nescaya ia akan memperbodohkanmu. Malah, lambat-laun, ia akan menjadi besar dan kau pun mula terjerumus ke dalamnya. Lihatlah betapa bahayanya dunia.
"Lalu, apa yang perlu aku buat agar tidak tertipu?" kita mula mencari jawapan.
Nah, jadikanlah dunia itu lintasan di hatimu sahaja.
Jangan sesekali kau cuba-cuba untuk membiarkan dunia itu duduk bersimpuh atau berbaring atau beristirehat dalam hatimu. Jika dia cuba untuk berbuat demikian, usir dia jauh-jauh. Jangan biarkan dia berbuat demikian.
Dunia itu sentiasa mencari tempat untuk menghinap. Justeru, dia sendiri tidak mempunyai rumah sebagai tempat tinggal. Oleh itu, apa yang dia tahu adalah untuk sentiasa menumpang di setiap hati-hati manusia. Dia akan terus mencari 'rumah-rumah'(hati manusia) untuk menghinap.
Ketahuilah, bahawa makhluk yang bernama dunia ini sifatnya tidak menentu. Dia sering membuatkan rumahmu(hati) 'bersepah' dan 'berantakan'. Malah, apa yang lebih teruk ialah, dia sangat suka mengganggu ketenteraman tuan rumah(pemilik hati). Dia akan membuat bising! Dia akan membuat kekecohan! Dia akan membuat tuan rumah tidak kenal dengan kebahagiaan.
Ya, inilah dia. Inilah dia! Pencerobohan paling besar!
Ketahuilah wahai diri, makhluk yang bernama DUNIA inilah punca hatimu tidak tenang! Selama ini, dialah yang membuatkan kau lemah dan sayu. Dialah yang melatih dirimu untuk mencintai dirinya.
Dunia sering berkata, "Cintailah aku! Cintailah aku!" .
Lalu, kau dan aku pun tertipu. Kita pun mencintainya. Kita mula terpedaya dengan magic show-nya! Tahniah buat kau dan aku, kita sudah tertipu. Tepukan gemuruh buat aku dan kau yang telah kalah oleh si dunia.
Sekarang, kita sudah pun mengakui kekalahan ini. Namun, persoalannya, adakah kau hanya mahu mengalah begitu sahaja? Apa kau tidak mahu bangkit dan berjuang kembali?
Nah, tulisan ini tanda bahawa aku telah menghulurkan tanganku, untuk membuatmu bangkit berdiri semula dalam hidup ini. Sekarang, aku perintahkan kau untuk 'bangun'. Mari berjuang lagi dalam hidup ini. Ayuh, kita hadapi si dunia yang penuh tipu daya itu.
Kali ini, bila si dunia mengetuk pintu rumah(hati) kita; tolong jangan sesekali dibuka. Malah, jangan sesekali cuba-cuba untuk mengintip dari tingkap hatta sedetik. Tolong, jangan buat begitu. Aku takut bila si dunia itu berhias dengan 'kecantikan', maka kita akan tertipu lagi lalu membiarkan dia masuk ke dalam rumah kita lagi.
Selain itu, agar si dunia tidak cuba-cuba untuk memasuki rumah kita secara senyap-senyap, ayuh pagari rumah kita dengan pagar 'Iman'. Pagar ini tidak akan kau dapati di kedai-kedai besi yang berhampiran. Pagar ini malah tidak dijual oleh tukang-tukang besi. Sangat menakjubkan, kerana pagar 'Iman' ini boleh kau dapati secara percuma! Ya, secara gratis atau free of charge!
Ketahuilah, bahawa pagar ini boleh kau dapati di mana-mana. Pagar ini boleh kau dapati bilamana rumahmu(hatimu) kau bacakan dengan Al-Qur'an. Pagar ini boleh kau dapati bilamana kau hiasi rumahmu(hatimu) dengan cahaya selawat. Malah, pagar ini adakalanya boleh kau dapati secara 'online', iaitu dengan menghubungi terus kepada ALLAH(berzikir dan berdoa pada ALLAH). Nah, nasihatku, pagarilah rumahmu(hatimu) dengan Iman.
Wahai kedua mata yang membaca tulisan ini; sekali lagi, pagarilah hatimu dengan keimanan. Masuk dan tuntunlah keimanan itu ke dalam hatimu. Biarlah dia yang menetap dalam hatimu, bukan si dunia yang menipu daya itu. Biarlah keimanan yang memenuhi setiap ruangan hatimu sehingga suaranya dapat kau dengari berbisik di segenap penjuru hatimu. Inilah dia 'rumah-rumah' orang beriman. Sentiasa dipenuhi dengan kegembiraan, ketenangan dan keceriaan. Ini kerana hatinya sentiasa bergantung harap pada ALLAH. Hatinya sentiasa bermanja dengan keimanan. Hatinya sentiasa menerima apa jua yang ditentukan oleh ALLAH Ta'ala.
Beginilah redhanya hati orang-orang yang berjuang dalam kehidupan demi mencapai redhaNya. Mereka melontarkan senyuman palsu, hatta hati mereka dipecahkan oleh dunia. Mereka sentiasa mencari ketenangan di sisi ALLAH, bukan di sisi makhluk. Mereka sentiasa rindu untuk 'duduk' bersama ALLAH. Mereka sentiasa mencari masa untuk bersandar diam dan berfikir tentang akhirat.
Sungguh, hati mereka bukan terikat pada keduniaan ini. Hati mereka terbang jauh di akhirat. Hati mereka sentiasa merindukan SYURGA. Hati mereka sentiasa rindu untuk bertemu dengan ALLAH! Mereka sedar bahawa kesempurnaan hidup itu hanya akan didapati saat masuk ke syurgaNya. Di situ, tiada rasa takut dan mereka tidak pula bersedih hati.
Terakhir; cipta dan carilah ketenangan itu. Dengannya, hatta seberat mana sekalipun dunia membebanimu, engkau akan sentiasa bersamaNya.
Wahai jiwa yang tenang!
Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha dan diredhai olehNya,
Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hambaKu,
dan masuklah ke dalam syurgaKu.
Surah Al-Fajr : 27-30
#Bangkit
#AllahwaRasul
Ulasan
Catat Ulasan