Kompilasi : #InspirasiKu

Bismillahirrahmanirrahim




Alhamdulillah, syukur pada ALLAH Ta'ala yang masih mengizinkan jari-jemari ini untuk masih menulis. Setelah sekian lama saya mengasingkan diri, alhamdulillah, kini saya kembali dengan satu karya istimewa. 

'Kompilasi : #InspirasiKu' adalah merupakan sebuah karya yang mengumpulkan kata-kata hikmah/motivasi, yang disusun khas untuk tatapan para pembaca di luar sana. Ia merupakan hasil daripada nukilan ataupun catatan yang saya kumpul dari hari demi hari. 

Kebanyakan inspirasi dan idea yang diketengahkan, adalah hasil daripada pengalaman realiti yang saya sendiri alami. Kemudian, saya tumpahkan dalam bentuk kata-kata yang ringkas dan padat.

InshaaAllah, tidak ada yang sangat istimewa dalam karya ini, melainkan jika anda membacanya dengan cara yang istimewa. Sungguh, keistimewaan sesuatu itu bergantung dengan cara kita melihat ataupun merasa. Maka; bacalah baik-baik dan hayati setiap lenggok bahasa dan tumpahan idea yang saya cuba hidangkan untuk anda. 

Semoga ia menjadi sesuatu yang bermanfaat buat kita, terutama yang masih berusaha mencari erti KEHIDUPAN!

-

1-    Lontar batu ke tingkap hatiku, agar ia pecah remuk tiada bentuk. Di situ, kau belajar makna hakikat keikhlasan.
 

2-    Naik ke atas unta merahmu; dan berjalanlah menuju redhaNya. Hanya sedikit yang akan sampai…
 

3-    Tatkala kekosongan diganti dengan ketiadaan. Saat itu baru kau mengerti makna hakikat kehambaan.
 

4-    Jangan biarkan kebencian menakhluki jiwamu. Kerana jiwamu adalah taman kecintaan dan lorong ketuhanan.
 

5-    Teruskan mengetuk. Sampai satu saat nanti, Dia akan membukakan pintuNya untukmu.
 
 
6-    Lautan hakikat itu tidak memerlukan kau untuk berenang padanya; tetapi ia memerlukan dirimu untuk menyelam ke dalamnya.
 

7-    Sekiranya cinta itu mendatangimu dari arah belakang; maka biarkanlah ia memelukmu dengan kuat sehingga kau lemas!
 

8-    Jangan jadi seperti bangkai bernyawa; yang hidup dan matinya sama sahaja. Tiada manfaat langsung pada persekitaran.
 

9-    Keluarlah dari zon keselesaan dirimu agar kau mampu ‘masuk’ ke dalam dirimu yang hakikatnya sering gundah gulana.
 

10-                       Aku ibarat gelas putih yang terisi dengan nikmatnya air cinta. Namun, kembali kosong apabila diminum oleh nafsu serakah.
 

11-                       Cinta itu kerap kali memerlukan dirimu untuk terjun ke lembah kesyahduan. Di situ, akan kau jumpa ‘pintu-pintu’ untuk melihatNya.
 

12-                       Jikalau cinta itu kacukan ekstasi dan kemuliaan; maka biarlah aku terus mabuk dalam cintaNya.
 

13-                       Manfaatkan masa lapangmu. Jangan biarkan masa lapangmu itu dicuri oleh kelalaian.
 

14-   Jangan takut hendak gagal. Seringkali orang yang gagal itu bangkit lebih kuat laksana singa!
 

15-   Terajang ego yang ada dalam hatimu jauh-jauh. Jangan biar ia mendekatimu kerana bila itu terjadi, kau akan lupa siapa dirimu.
 

16-                       Hatiku telah dibudak-budakkan dengan kegembiraan yang menari-nari dan meloncat-loncat.
 

17-                       Tidakkah ALLAH itu sentiasa menginginkan yang terbaik buat kau? Lalu, mengapa mempersoalkan?
 

18-                       Wahai kau yang bermata dua; aku sedang berlari menuju kepadaNya. Jika kau seorang yang berani, kejarlah aku. Kita lihat siapa yang dulu sampai kepadaNya.
 

19-                       Sungguh, Allah tidak pernah beri sedikit. Allah sentiasa beri banyak.
 

20-                       Semua orang menginginkan kejayaan tanpa gagal. Namun, cuma sedikit yang faham bahawa, kau perlu gagal dahulu sebelum menang dan berjaya.
 

21-                       Jangan hairan kalau kau solat Dhuha. Tapi, kau rasa macam Allah tidak beri rezeki. Saat itu, periksa balik. Kerana wang atau ALLAH?
 

22-                       Tatkala kau berzikir, hanya ada kau dan Dia. Hanya Allah bersamamu. Rasakan…
 

23-                       Hati yang sakit selayaknya dibentangkan di hadapan ALLAH. Mengapa pada dunia pula kau persembahkan?
 

24-                       Boleh jadi sahabat yang kau sanjung tinggi, mensia-siakan kau begitu saja.
 

25-                       Aku terhenti di jalan ini. Tolong tolak aku ke hadapan. Kalau pun tidak, Tarik dan heret aku ke hadapan…
 

26-                       Sungguh, Allah hanya akan tengok hati kita. Lalu, bagaimana kau hendak sembunyikan dosa kau?


27-                       Betapa ramai yang mendamba syurga, namun dalam tidak sedar, berjuang untuk neraka.
 

28-                       Mana sahabat yang kau agung-agungkan dahulu? Mana mereka? Sedarlah, sebahagian mereka telah pergi dari hidupmu.
 

29-                       Hina sungguh diriku. Berlumuran dosa. Malah, suka terjun ke lembah kemaksiatan. Berdosanya aku….
 

30-                       Aku hanya ada ALLAH…Kau pula?
 

31-                       Sebelum jatuh cinta pada seseorang, kita jatuh cinta kepada cinta itu terlebih dahulu. Begitu juga bila jatuh cinta kepada ALLAH. Kita jatuh cinta pada Rasulullah terlebih dahulu.
 

32-                       Manusia tidak pernah dapat kesemuanya. Maka, banyakkan bersyukur dengan apa yang ada. Inshaa Allah, bahagia.
 

33-                       Jika dosa itu sifatnya berbau, tiada yang mahu mendekatiku…
 

34-                       Rasailah kehambaanmu dihadapanNya. Rasakan sekarang. Betapa hinanya engkau dan juga aku. Berlumuran dosa…
 

35-                       Hati ini…perlu disalut dengan cinta. Saat itu, hati akan mampu memandang hidup ini dari dimensi yang berbeza.


36-                       Maut itu umpama pertukaran. Engkau mati, mati pula yang ‘hidup’.
 

37-                       Kesungguhan dalam belajar itu terbit dari cita-cita yang besar…
 

38-                       Orang yang takut mati itu hakikatnya sudah ‘mati’ terlebih dahulu.
 

39-                       Aku adalah cermin bagi dirimu. Begitu juga sebaliknya.
 

40-                       Rezeki itu datang dari arah yang kau tidak sangka-sangka dia datang. Nasihatku, apabila dia datang, ucapkanlah kata syukur.
 

41-                       Kita tahu bahawa dalam hidup ini ada yang mendambakan solat Subuh, namun dia tidak pernah berjuang untuk bangun.
 

42-                       Kita hidup dalam zaman di mana wanita tidak kenal siapa Fatimah Az-Zahra.
 

43-                       Sudahlah merungut kerana kekurangan yang ada. Sekarang bangkit dan perbaiki yang rosak/kurang.
 

44-                       Sifat itu sifatnya menyifatkan yang lain.


45-                       Kotak hatiku ingin terus berbicara. Siapakah yang membukanya? Pulangkan semula kunci hatiku.
 

46-                       Aku suka jalan tepi pantai sambil memikirkan hidup ini. Rasanya..dari ombak itu, ALLAH berbicara denganku.
 

47-                       Teruslah memandang dari kacamata keindahan. Lantaran itu, kau akan rasa hidup ini lebih luas dan syahdu…
 

48-                       Teruskan mencuba. Tapi, jangan cuba-cuba hendak menyerah kalah. Kau kena kuat…
 

49-                       Sayang itu hanya bias terbukti dengan aksi. Tidak hanya cukup dibibir. Tunjukkan sayangmu!
 

50-                       Kita hidup dalam zaman di mana orang tidak tahu membezakan antara malas dan letih. Katanya letih, walhal malas.
 

51-                       Akan tiba masa bila seseorang itu hilang mengejut dari kehidupan kita. Saat itu, rasa rindu akan menari-nari dalam hati.
 

52-                       Amat ganjil bila ada yang melarang kita, namun dia pula yang buat perkara tersebut. Rumit manusia sebegini.
 

53-                       Kau rasa hidup di luar sana lebih seronok. Walhal, kebahagian itu boleh saja kau dapati di rumahmu. Pada ayah dan ibumu…
 

54-                       Hargailah detik yang akan berlalu ini. Boleh jadi apa yang kau ada sekarang, nanti akan dicabut oleh Tuhan.
 

55-                       Kejayaan itu bukan soal bila hendak dapat. Tetapi, soal bagaimana mahu mendapatkannya.
 

56-                       Apakah aku yang terhenti atau masa yang terlalu laju berjalan?
 

57-                       Pencarianmu telah lama berakhir. Iaitu di tempat engkau bermula.


58-                       Dengarkanlah hatiku mendendangkan rindu. Umpama bunyian piano yang hening bermelodi syahdu.
 
 
59-                       Lontar impianmu ke bintang. Biar ia tersangkut jauh di atas sana.
 

60-                       Kelelahan itu hanya fantasi bagi orang yang benar-benar beriman pada ALLAH.
 

61-                       Aku berdosa. Kau pula?
 
 
62-                       Jangan kau dunia-duniakan akhiratmu.
 

63-                       Kadangkala, satu masalah itu datang akibat daripada terlalu memikirkan, walhal ia satu perkara yang mudah.
 

64-                       Kelemahan itu tidak wujud dalam duniamu, jika kau selalu ingat untuk bersama ALLAH.




 #AllahwaRasul


-Tamat -

Ulasan

Catatan Popular