The Pursuit Of Happiness - #AllahwaRasul

Setiap hembusan nafasku adalah bukti CINTA ALLAH kepada diriku,

Setiap hayunan tanganku adalah bukti CINTA ALLAH kepada diriku,

Sungguh, jika setiap hembusan dan hayunan itu dituntut bayaran,

Nescaya aku tidak akan sanggup melangsaikannya..


Hidup merupakan anugerah terindah dari ALLAH. Setiap manusia layak untuk melalui kehidupan mereka dengan penuh kegembiraan dan keindahan. Kesemua benda itu dapat kita perolehi pada tempat-tempat yang berbeza; bersama keluarga, bersama teman hatta tatkala berseorangan. Hari demi hari yang kita lalui, adakalanya banyak dihabiskan dengan menyalahkan takdir dan bersedih pilu. Walhal, kegembiraan itu boleh sahaja diperolehi di mana-mana. 

Hari ini adalah ladang bagimu untuk memetik buah kegembiraan!

Pengembaraan hidup ini tidak memerlukan kau untuk membawa beg bekal yang setakat terisi dengan minuman ataupun makanan. Akan tetapi, pengembaraan ini memerlukan kau untuk membawa KEKUATAN, KESABARAN dan KETABAHAN. Ini kerana hidup ini medan perjuangan. Kau bertarung dengan diri sendiri. Kau bergelut di atas lumpur dengan diri sendiri. Ketahuilah wahai manusia berkaki dua; ujian hidup itulah yang membuatkan kau lebih KUAT, SABAR dan TABAH. 

Apa yang sering terjadi adalah, manusia sering lupa untuk mensyukuri segala nikmat dalam kehidupan ini. ALLAH telah memberikan kita segala apa yang kita perlukan dan inginkan. Namun, amat sedikit balasan kita terhadapnya. Memang, kita tahu bahawa ALLAH tidak berkehendak terhadap hamba-hambaNya. Maha Suci ALLAH, dari memerlukan sesuatu dari hambaNya. Namun, kitalah yang sebenarnya berkehendak pada ALLAH. Kita perlukan ALLAH dalam melalui hari-hari kita yang memenatkan dan menyibukkan. Kita memerlukan ALLAH untuk memudahkan segala urusan kita. Kita memerlukan ALLAH untuk sentiasa bersama kita. Hasbunallahu wani'mal wakeel!

Sungguh...
Manusia lupa untuk mensyukuri nikmat hidup.
Manusia lupa untuk memandang hidup sebagai hidup.
Manusia lupa untuk hidup dengan betul.
Manusia lupa untuk melihat hidup dari kacamata indah.
Manusia lupa untuk berjuang dalam hidup.
Manusia lupa untuk melihat bahawa hidup adalah anugerah.
Manusia lupa untuk memikirkan bahawa hidup...hanya untuk ALLAH.

Lupa,
Lupa, 
Dan terus lupa...

Inilah manusia. Lalai dan lupa. Apabila mata anak Adam terbuka dari tidurnya; maka yang dikejar habis-habisan adalah dunia semata-mata. Di manakah ALLAH dalam hati kita? Di manakah Al-Quran dalam hidup kita? Setiap saat dan minit yang kita lalui, banyak dihabiskan dalam mengejar duit, populariti, perkara lagha dan macam-macam lagi.

Sudahlah mengejar apa yang tidak pasti. Apakah kau tidak letih mengejar 'kekosongan'? Sekarang, bawalah ALLAH dalam hatimu. Bawalah ALLAH di mana jua engkau berada. Ingat ALLAH dalam apa jua hal yang kau lakukan. 

ALLAH itu sentiasa ADA untuk hamba-hambaNya. HambaNya pula...? Ah, sedarlah sendiri akan jawapannya.

Maka; jadikanlah hari ini, peluang untuk lebih menghargai dan mensyukuri kehidupan. Jadikanlah setiap hembusan nafasmu berbaloi. Bernafaslah kerana ALLAH. Langkahkan kakimu kerana ALLAH. Hayunkan tanganmu demi ALLAH. Niatkanlah setiap celikan matamu adalah kerana ALLAH. 

Inilah lorong menuju kebahagiaan! Inilah rahsia yang tidak diamalkan. Sesungguhnya, barangsiapa yang ada ALLAH dan Rasulullah dihatinya; maka kebahagiaan akan memeluk dirinya dari segenap penjuru kehidupan. 

Berbahagialah hai manusia..
Moga harimu lebih indah..
Lebih berkah..
Senyumkanlah bibir dan hatimu,
InshaaALLAH, semuanya akan nampak indah..

Selamat meneruskan kehidupan!


Ulasan

Catat Ulasan

Catatan Popular