#AllahwaRasul : Senyum Si Pencari Hikmah
--
Keindahan hidup hanya akan kita dapati bilamana kita sentiasa redha dengan apa jua aturanNya. Orang yang rajin menyingkap hikmah yang terselindung dalam setiap kejadian, pasti akan merasakan ketenangan yang sangat berbeza. Dari ketenangan itulah; dia akan bersyukur dan bersabar dalam menempuhi apa jua ujian yang melanda. Ini kerana bagi dirinya, setiap kejadian itu, tidak lain tidak bukan, adalah semata-mata untuk mengajar dirinya agar sentiasa mengingati Allah.
Dalam
hidup ini; satu perkara yang kita perlukan adalah sifat redha. Redha dengan
segala ketentuan yang Allah sudah susun buat kita. Ketajaman mata hati melihat
hikmah dalam setiap ujian itu merupakan kunci utama dalam melahirkan sifat
redha. Hati yang mampu melihat mutiara yang terselindung disebalik cengkerang
yang buruk, adalah hati yang menang di sisi Allah. Walhal, hati yang tumpul
dalam melihat hikmah dalam setiap kejadian, adalah hati yang rugi di sisi
Allah.
Bilamana
seseorang itu tidak mampu melihat hikmah di sebalik ujian yang dihadapi, maka
hati akan cepat bersangka buruk pada ketentuan Allah. Apa yang dilihat cuma
keburukan dan kesalahan dalam ujian yang diberikan. Lantaran itu, mulalah hati
tidak redha dengan segala ketentuanNya. Mula menyalahkan takdir. Mula
mempersoalkan aturan Allah. Demikian, hati yang tidak tajam melihat aturanNya.
Manakala,
hati yang sibuk mencari-cari dan meneliti hikmah di sebalik apa yang terjadi,
mereka akan sentiasa menunggu pelangi muncul selepas ribut yang melanda. Bagi
mereka, kesusahan dan masalah yang dihadapi, tidak lain tidak bukan, hanya
sekadar singgah untuk seketika dalam hidup mereka. Mereka ini percaya bahawa
setiap ujian dari Allah adalah satu didikan langsung daripada Allah supaya
menjadikan mereka seorang hamba yang lebih baik dalam melalui kehidupan yang sementara
ini. Demikian pula hati si pencari hikmah.
Keupayaan
untuk redha dengan segala ketentuanNya itu tidak datang begitu saja. Namun, ia
timbul daripada hati yang dekat dengan Allah Ta’ala. Hati mereka telah
tersambung dengan Allah. Mereka ini telah dibukakan oleh Allah untuk masuk ke
dalam wilayahNya. Memahami dan melalui hakikat hidup. Maka, barangsiapa ingin
memahami hakikat hidup ini yang sebenar-benar, ikatlah hatimu pada ALLAH.
Jangan sekali-kali mengikat ia pada dunia.
Salah satu cara untuk redha dengan segala ketentuanNya, adalah yakin. Yakin bahawa segala ketentuan hidup ini diaturkan dengan sebaik-baiknya oleh Allah. Walau seperit mana hati, walau setipis mana harapan, yakinlah bahawa Allah akan memenangkan hambaNya yang sentiasa bersangka baik padaNya.
Salah satu cara untuk redha dengan segala ketentuanNya, adalah yakin. Yakin bahawa segala ketentuan hidup ini diaturkan dengan sebaik-baiknya oleh Allah. Walau seperit mana hati, walau setipis mana harapan, yakinlah bahawa Allah akan memenangkan hambaNya yang sentiasa bersangka baik padaNya.
Ramainya
yang bersedih hati dan putus harapan adalah kerana tidak mengikat hati mereka
pada Allah. Lantas, mereka mengikat hati mereka kepada makhluk yang bernama
manusia. Akhirnya, yang didapatkan hanya kekecewaan dan kepiluan. Maka, mulai saat ini, longgarkanlah talimu dengan dunia. Lepaskanlah
ia dan rajutlah hatimu di pergunungan cintaNya.
Wahai
yang bertelinga dua; kau perlu faham bahawa apa yang kita inginkan, belum tentu
ia sesuatu yang Allah inginkan. Dalam dunia ini, kemahuan Allah adalah lebih
tinggi dari kemahuan kita. Oleh itu, layakkah kita untuk mengatur dan
mempersoalkan apa yang sudah diatur oleh Allah? Allah sudah jadikan air itu
sifatnya sedemikian lembut, apakah kita mahu air itu sifatnya keras? Tidak.
Allah juga jadikan hati itu sifatnya sedemikian lembut, apakah kita mahu hati
itu sifatnya keras? Tidak juga.
Maka
kelembutan hati.
Kelembutan hati itulah keredhaan hati. Hati yang lembut akan
sentiasa sabar dengan apa yang menimpa. Hatta dihempap berkali-kali, namun
sabarnya juga berkali-kali. Hatinya laksana rumput-rumput kehijauan, yang tetap tegak sekalipun dipijak-pijak oleh kaki manusia atau roda jentera. Malah, hati yang lembut adalah hati yang bersyukur.
Dia bersyukur kerana diuji sedemikian hebat kerana dia tahu dan faham, bahawa
Allah tidak akan menguji diluar batas kemampuannya. Allah menguji sekadar yang
disanggupi oleh hambaNya.
Sungguh,
ajaib iman orang sebegini. Dia tidak kenal erti sudah. Apatah lagi kalah.
Pandangannya sentiasa meluru ke syurga Allah. Hatinya pula sibuk menela’ah.
“Pasti ada hikmah..Pasti ada hikmah..”. Kalimat itu diulang-ulang tidak lelah. Entahlah, hatinya sudah duduk di sisi Allah. Hatinya sudah mula menunduk pada kemahuan Allah, bukan lagi kemahuan dirinya. "Terserah padamu Ya Allah. Apa yang kumampu lakukan adalah sentiasa membuat yang terbaik dalam apa jua keadaan..". Begitu ragam hatinya dalam menjalani hidup. Dia sentiasa melakukan yang terbaik sebelum bertawakkal pada Allah. Sungguh; dia tidak mementingkan keputusan akhir samada menang atau kalah, dapat atau tidak. Ini kerana bagi dirinya, menang atau kalah, dapat atau tidak, itu sama sahaja kedua-duanya. Keduanya sama-sama baik di sisi Allah.
#AllahwaRasul
#AllahwaRasul
Ulasan
Catat Ulasan