#AllahwaRasul: Puisi 12
Isnin, 19/12/2016
--
Wahai cahaya yang hidup dalam jiwaku,
Selawat dan salam kupersembahkan buatmu,
Dengan penuh taslim dan takzim,
Yang bilamana demikian,
Ruhmu dikembalikan ke jasadmu,
Semata-mata untuk menjawab salamku..
Wahai cahaya yang hidup dalam jiwaku,
Hati ini merenung jauh ke tempat persemadianmu,
Menanti akan tibanya masa berjumpa - bersua,
Entah kenapa, Oh Cinta!
Malam ini,
Hati ini terlalu rindu denganmu,
Pelik kurasa cinta kita ini,
Bertemu tidak,
Berbual tidak,
Namun saling rindu-merindui..
Wahai cahaya yang hidup dalam jiwaku,
Jemputlah aku menjadi tamu di masjidmu,
Akankah kita berbicara di balik pagar emas itu?
Sungguh akan kulantunkan qasidah buatmu,
Biar kupuji segala kesempurnaan dan kemuliaanmu,
DemiNya,
Biar teresak-esak tangisku mengenangmu,
Biarlah aku pengsan di masjidmu,
Lalu kau kujumpa,
Mata bertemu mata
Kau peluk penuh cinta..
Wahai cahaya yang hidup dalam jiwaku,
Sungguh nyata benar,
Lebih 1400 tahun lalu kau menyatakan rindu,
"Ikhwanku.." katamu dengan tangisan airmata,
Sepi ini menyelubungi hatiku,
Kini benar aku rasakan rindumu itu,
Sekalipun sedikit,
Telah dirasakan olehNya rindumu itu,
Benar Ya Rasulullah,
Indah sungguh rasa ini,
Benar Ya Rasulullah,
Hati ini telah tumpah,
Pada kasih cintamu..
Wahai cahaya yang hidup dalam jiwaku,
Di sini kuhulurkan tangan,
Bilamana mataku terpejam,
Kuharap kau yang pertama di pandangan,
Sambutlah salam ini Ya Rasulullah,
Menjadi bukti bagi hati yang rindu cinta..
Wahai cahaya yang hidup dalam jiwaku,
Selama ini;
Tidak terzahir sepenuhnya cintaku padamu,
Masih hati cintakan dunia,
Masih lidah buruk mengata,
Masih sedikit usaha tuk mencinta,
Lewat kekurangan itu,
Kuharapkan kasihan saja,
Moga syafa'atmu kuterima,
Pabila matahari sejengkal dari kepala..
Wahai cahaya yang hidup dalam jiwaku,
Allah dan malaikatNya berselawat padamu,
Inikan pula aku?
Entah kenapa aku sering lupa,
Walhal aku umatmu,
Umat yang kau harap-harapkan,
Menyambung usaha da'wah nan mulia,
Tapi aku leka,
'Goyang kaki' sahaja..
Wahai cahaya yang hidup dalam jiwaku,
Kutertanya apa akan kau lakukan jika masih hidup?
Wanita dan kanak-kanak kita telah menanggung siksa,
Sungguh masih terngiang kisahmu mempertahankan mereka,
Oh celakalah kami!
Jika tidak terasa beratnya kesusahan mereka,
Sepertimana kau merasakannya..
Wahai cahaya yang hidup dalam jiwaku,
Rangkap sembilan menyusun kata,
Harapanku,
Bersiar-siar denganmu di syurga,
Di tepi taman bunga pesona mata,
Tiada ketakutan pada hari itu,
Tiada kesedihan pada hari itu,
Yang ada hanya cinta,
Dan kau pun mengatakan dengan cinta,
"Aku bangga kau menjadi umatku.."
Lalu kita tersenyum berdua,
Hidup bersama abadi selamanya..
Wahai cahaya yang hidup dalam jiwaku,
Puisi ini tidak aku tulis,
Melainkan cuba menumpahkan rasa;
Meskipun sempurna tiada sususan kata,
Namun cukup sebagai pengubat rindu bersama,
Sollu 'ala Sayyidil Mustofa..
Wahai cahaya yang hidup dalam jiwaku,
Izinkan kututup rangkap ini,
Sungguh; moga Dia terus memberi nikmat ini,
Nikmat dicintai dan mencintaimu,
Nikmat berselawat padamu,
Tanpa rahmatNya (rahmata lil 'alamiin);
Nescaya aku berjalan dalam gelap,
Tanpa kelahiranmu pula,
Jiwaku ini tidak akan bercahaya,
Tiada cahaya Islam,
Maka jangan ia terpadam,
Benarlah, Oh cinta!
Engkau tetap 'hidup' dalam hati kami,
Engkau akan tetap ada bersama kami,
Tinggal hanya kami,
Membuktikan dengan MENGIKUTIMU,
"Fattabi'uuni.." katamu,
Di situlah terzahir,
Cinta pada Yang Maha Satu,
Cinta padamu,
Cahaya yang hidup dalam jiwaku..
#AllahwaRasul
#Puisi12
#fattabiuni
#CintaDiRabiulAwwal
#HayyunFiQulubina
Ulasan
Catat Ulasan