#AllahwaRasul : Bernafas Pada Tahun 2017



--


Alhamdulillah, syukur pada Allah Ta’ala kerana dengan izinNya jua, blog ini masih boleh digunakan untuk berkongsi ilmu yang bermanfaat. Sekarang, sudah masuk setahun lebih usia blog ini dan saya mula terfikir hendak berkongsi dengan anda semua tentang perjalanan dan manfaat yang saya perolehi sepanjang mengendalikan blog ini.

Tidak terlambat juga agaknya untuk saya mengucapkan selamat tahun baru. Pasakkanlah azam anda dan bertindaklah mulai dari sekarang untuk merealisasikannya.


Bagaimana Aku Mula?

Pertama, ingin saya mulakan dengan berkongsi kepada anda semua tentang asbab kenapa blog ini saya tubuhkan.

Saya mula mengendalikan blog ini pada bulan Mac 2015. Saya masih ingat, waktu itu saya masih di peringkat baru berjinak-jinak dalam bidang penulisan. Masa itu, entah kenapa, telah menjadi seakan rutin harian saya untuk berkongsi nukilan pendek di ruang ‘caption’ melalui akaun Instagram saya. Di situ, saya berkongsi perjalanan hidup seharian saya dengan ulasan yang ringkas dan padat.

Setelah aktif menulis di Instagram, saya rasa tidak puas untuk berkarya secara bebas dan terbuka. Oleh itu, saya pun mencari jalan untuk memuaskan semangat menulis saya. Akhirnya, saya pun memutuskan untuk membuat blog sendiri sebagai platform/medium saya berkarya secara bebas.

Secara jujurnya, pada awalnya, saya memang tidak pandai mengendalikan blog. Terdapat banyak kelemahan dan kekurangan yang saya alami pada peringkat awalnya. Namun, setelah beberapa ketika, saya mula memahami dunia ‘blogging’ dan cuba memaksimalkan potensi menulis saya melaluinya. Maka, nasihat saya buat yang mahu berkarya namun tidak ada medium untuk menulis, saya anjurkan untuk memulakan dengan membuat blog sendiri.

Alhamdulillah, setelah mula mengendalikan blog ini, ianya mendapat sambutan yang baik sekalipun hanya sekadar dikongsikan kepada rakan-rakan lewat media sosial seperti WhatsApp, Facebook, Instagram dan sebagainya. Malah, terdapat juga rakan-rakan saya yang turut membuka blog mereka tersendiri untuk berkarya. Saya turut bergembira atas usaha mereka.

Begitulah sedikit sebanyak cerita bagaimana saya mula mengendalikan blog ini.



Kisah Di Sebalik Slogan ‘Tarbiyyah. Da’wah. Muhasabah’ 

Ketika mula-mula mereka logo rasmi, saya berfikir slogan apakah yang sesuai untuk menjadi asas bagi blog ini. Setelah berfikir berhari-hari dan membaca semula semua hasil tulisan saya,  akhrinya saya dapat tiga perkataan iaitu tarbiyyah, da’wah dan muhasabah.

Tarbiyyah yang membawa maksud didikan. Saya berharap dengan adanya istilah ini akan menjadikan segala tulisan saya agar mendidik diri saya terlebih dahulu, berbanding orang lain.

Da’wah bermaksud menyeru. Saya juga berharap istilah da’wah ini akan menjadi setiap perkataan yang saya tulis, agar menyeru diri saya terlebih dahulu, berbanding orang lain. Ini kerana telinga orang yang bercakap, terlebih dahulu menerima mesej, daripada telinga orang yang mendengar.

Muhasabah pula membawa maksud melihat diri sendiri. Ini merupakan intipati yang ada dalam Tarbiyyah dan Da’wah. Sebelum mendidik orang lain dan sebelum menyeru orang lain, lihatlah dahulu diri kita sendiri. Hati yang sakit itu adalah bilamana ia sibuk mencari kesilapan orang lain, sehingga lupa untuk melihat apa yang ada dalam dirinya.



Kenapa Aku Menulis?




Sekarang, ingin saya kongsikan dengan anda semua tentang perjalanan saya sebagai seorang penulis.

Semuanya bermula dengan satu persoalan yang cukup ‘simple’, iaitu:-

Apa yang dapat aku lakukan untuk membangkitkan umat Islam kembali?

Demikian persoalan yang memaksa aku untuk menulis.

Jika melihat kepada gaya penulisan saya; ianya lebih cenderung kepada penulisan yang bernafas Inspiratif-Islami. Sepertimana penulis-penulis yang lain juga, setiap penulis ada ruang lingkup atau genre yang menjadi fokus utama mereka. Malah, anda sendiri juga mempunyai keunikan tersendiri. Maka, kekuatan saya adalah pada penulisan yang bersifat sedemikian.

Alhamdulillah, bagi saya sendiri, untuk membuat perubahan itu, tidak semestinya dimulakan dengan melakukan benda yang besar atau istilahnya ‘meletop’. Bagi saya sendiri, pada sesetengah tempat, benda kecil yang kita lakukan dengan jiwa yang besar, boleh saja menjadi permulaan kepada perubahan yang sangat besar.

Menulis bererti kita cuba membangun masyarakat dengan pena dan kata-kata.


Mungkin, ada dikalangan anda yang tertanya-tanya, kenapa saya begitu bersemangat dalam bidang penulisan. Berikut saya kongsikan alasan-alasan , kenapa saya menulis :-

1- Cuba menyambung ‘lidah’ Rasulullah dalam menyebarkan da’wah.

Sedari awal lagi, saya sudah menetapkan dalam hati, “Jangan menulis kalau tidak ada cinta dan semangat da’wah dalam hatimu!” . Begitulah saya menggertak diri saya sendiri supaya tetap menulis.

Bagi saya, tugas da’wah adalah satu seni yang mulia dan terpuji. Tambahan pula, kita berusaha untuk menyambung usaha da’wah Rasulullah SAW dengan mengajak manusia kepada kebaikan dan mencegah manusia dari kemungkaran. Tidak kisahlah dengan apa cara sekalipun, selagimana tidak bertentangan dengan syara’, maka buatlah ia demi berda’wah.

Ini termasuklah menulis. Melalui penulisan yang kita buat dan kongsikan, siapa tahu ada dikalangan pembaca yang tersentuh hati dan teringin untuk kembali merapat dengan Allah. Ketika menjalani satu program di Bandung, Indonesia, saya mendapatkan satu kalimat yang berjaya membangkitkan semangat menulis saya. Kalimatnya pendek tapi sangat padu.

Words can change the world.

Betapa kata-kata mampu mengubah pendirian manusia. Dalam konteks ini; sudah tentu yang saya maksudkan adalah kata-kata yang positif dan membangun.

Bayangkanlah, jika kita menulis kalimat yang positif, agaknya berapa ramai yang akan bangkit merubah dunia? Jika yang kita tulis adalah kalimat yang mengingatkan manusia pada Allah dan RasulNya, agaknya berapa ramai pula yang kembali bertaubat kepada Allah? Semuanya bermula dengan satu kalimat yang ringkas, padu dan berkesan. Tidak perlu keras, yang penting mengalir ke dalam jiwa manusia.

Dengan perubahan positif pada diri seseorang itulah; dunia akan bergegar oleh tangannya. 

Saya juga yakin dan percaya, bahawa setiap daripada kita mempunyai potensi diri masing-masing. Dari potensi itulah, seharusnya kita tuangkan dan manfaatkan agar dapat disumbangkan dalam dunia Islam.

Antara perkara yang memotivasikan saya juga adalah bilamana memandang sisi hidup ‘ulama-‘ulama terdahulu yang tidak mewariskan harta, tetapi mewariskan ilmu. Mereka menulis kitab-kitab muktabar yang sampai sekarang menjadi sumber rujukan umat dalam menjalani kehidupan dengan sempurna. Lihatlah Imam Al-ghazali dengan kitab ihya ‘Ulumuddin, Syeikh Imam An-Nawawi dengan kitab Al-Adzkar, Jalaluddin Ar-Rumi dengan Kitab Matsnawi dan ramai lagi penulis-penulis yang berjiwa besar.

Hal ini membuatkan saya berfikir, apa yang membuatkan karya-karya tersebut kekal digunakan dan dirujuk sampai ke hari ini? Ya, jawapannya, mereka menulis dengan jiwa!

Ingatlah, kerja da’wah adalah sebuah seni. Seni dalam menyentuh hati dan perasaan manusia.

It’s not just about preaching their heart, but it’s also about reaching their heart.

Maka, dengan bersandarkan pada prinsip tersebut; saya terus menulis, menulis dan menulis. Sepertimana kata-kata yang pernah dilafazkan oleh Syed Qutb, seorang penulis Islam, katanya, satu peluru mampu menembusi satu kepala. Tapi, satu kalimat pula, mampu menembusi berjuta-juta kepala. 

Hal ini membuatkan saya menulis sebuah puisi…

Aku bukanlah seperti Umar Al-Khattab yang bekas laluannya digeruni oleh syaitan..
Aku bukanlah seperti Khalid Al-Walid yang menghayunkan pedangnya demi menegakkan kebenaran..
Malah..Aku bukanlah seperti sahabat Julaibib yang mampu membuat Baginda tersenyum menawan..
Namun, aku cuma insan biasa..
Pagi petangnya cuma mengikat kasih sayang pada manusia..
Diam terpaku..Itu sudah biasa..
Berfikir dan terus berfikir..
Bagaimana mahu membangkitkan ummah?
Nah! Pena diheret di atas Qirtas,
Menguntai kata merakit semangat...


2- Menyebarkan inspirasi.

Allah telah menciptakan kita dengan satu akal dan satu hati. Kedua-duanya saling bekerjasama dalam fungsi badan manusia. Apa yang saya rasa sangat menakjubkan adalah, kita hidup ini bukan hanya sekadar untuk diri kita sendiri. Akan tetapi, kita hidup untuk melengkapkan hidup orang lain. Maka, dengan akal dan hatilah, kita menjalani hidup bersama orang sekeliling kita.

Apa yang saya cuba sampaikan di sini adalah, dengan menulis, kita menuangkan segala rasa dan emosi yang berlegar dalam hati kita. Malah, kita juga menumpahkan segala idea dan kreativiti yang ada dalam minda kita. Semua itu kita tuangkan dalam bentuk perkataan yang disusun dengan bahasa yang indah sehingga mampu mengubah hati manusia yang membacanya.

Begitulah apa yang saya rasakan selama bergiat aktif dalam penulisan. Saya suka bila tengok orang lain tersenyum, menangis, tertawa, bahagia, bilamana membaca hasil tulisan saya. Bagi saya, kebahagiaan itu bilamana kita dapat membahagiakan orang lain meskipun kita terluka atau kecewa. Saya rasa terharu bila sebuah tulisan itu dapat dikaitkan dengan masalah atau ujian yang dialami oleh pembaca sendiri.

Dalam misi saya menyebarkan inspirasi, antara satu perkara yang benar-benar memaksa diri saya untuk tetap menulis adalah bila terfikir akan masyarakat di negara kita ini. Saya berpendapat bahawa kerja-kerja penulisan ini belum begitu giat dijalankan secara maksimal terutama golongan muda belia. Ya, mungkin ada pemuda yang menulis tapi belum begitu menonjol di tengah masyarakat. Saya yakin pasti ramai lagi pemuda-pemudi yang sangat berbakat dalam penulisan dan teringin untuk menerbitkan buku sendiri sama seperti saya. Malah, saya yakin, masih ramai lagi yang mampu membangun masyarakat dan berda’wah dengan untaian kata-kata mereka.

Live to inspire!

Oleh yang demikian, dengan harapan itulah, saya meneruskan usaha menyebarkan inspirasi melalui penulisan. Semoga, akan lahir pemuda-pemudi yang turut sama-sama merapatkan barisan dan berjuang memartabatkan Islam dengan tusukan kata, bukan setakat tusukan  senjata. Kita sama-sama merindukan peribadi seperti Sayyidina ‘Ali k.w, Imam Al-Ghazali, Syed Qutb, Ibnu Hazm Al-Andalusy, Hassan Al-Banna dan yang lainnya. Terimalah tawaran saya ini atau tinggalkan saja.

Keluarlah wahai Mujahid! Sudah tiba masanya kita berjuang dengan pena!


3- Menyembuhkan hati.

Sebagai penulis, saya juga tidak lari daripada melakukan kesilapan dan dilanda masalah. Seperti anda juga, saya juga seorang manusia yang sering terlalai dan sibuk dengan kehidupan dunia.

Bagi saya, menulis adalah tempat saya berehat dari segala-galanya. Saya masuk ke dalam dunia yang saya cipta sendiri dan duduk berehat sepuas-puasnya di situ.

Dengan menulis juga, saya membentuk siapa diri saya. Apa yang saya tulis, bukanlah semata-mata hanya untuk anda yang membaca, tetapi sebenarnya untuk diri saya sendiri. Karya yang paling besar pernah saya buat selama bergiat aktif dalam penulisan ini adalah, ‘menulis’ diri saya sendiri.

Bilamana saya menulis tentang kesombongan, bererti sayalah yang sepatutnya tidak sombong. Bilamana saya menulis tentang jangan derhaka pada ibu-bapa, bererti sayalah yang sepatutnya ta’at pada ibu-bapa. Begitulah formulanya. Kita menulis untuk membentuk siapa diri kita.

Percayalah, saya juga mengalami keletihan dalam hidup. Jiwa saya letih berhadapan dengan ujian dan masalah. Jiwa saya letih berhadapan dengan gejolak nafsu yang tidak pernah puas-puas. Saya letih. Maka, saya menulis untuk menyembuhkan hati yang letih dan sakit ini. Hati yang sering terpalit dengan hitamnya dosa. Hati yang lalai dari ingat pada Allah. Semua emosi yang saya rasakan, saya tuangkan ke dalam bentuk tulisan, agar saya ingat kembali bahawa tujuan hidup ini hanya untuk berkhidmat demi agamaNya.

Entahlah, adakalanya, saat menyusun satu kalimat itu, saya terasa benar-benar lemah dan tidak berdaya di hadapanNya. Jika difikirkan secara mendalam, semua idea yang terlintas dalam minda dan hati ini, merupakan hadiah daripada Allah Ta’ala. Dialah yang mengilhamkan kepada kita untuk memikirkan dan merasakan ‘benda’ tersebut.

Lantaran itu, saya tulis, tulis dan tulis semua yang saya rasa dan fikirkan. Ini kerana saya tahu dan sedar, bahawa Allah tidak akan pernah memberikan sesuatu yang sia-sia kepada kita, melainkan untuk kita ambil pelajaran dan ikhtibar dengan sesama manusia. Sampailah saat ini, saya masih cuba untuk menulis keranaNya.

Pesanan saya buat yang hendak mula menulis, mulakanlah sekarang. Jangan tunggu lagi. Jika tidak tahu apa yang hendak ditulis, tuliskanlah ketidaktahuan anda itu. Jika otak buntu tidak ada idea mahupun inspirasi, keluarlah dari rumah anda dan berjalanlah. Jika tidak yakin dengan kebolehan diri sendiri, ingatlah Rasulullah kembali sebagai seorang yang tidak pandai menulis dan membaca, tapi masih mampu menyentuh hati manusia.

Perhatikan diri anda sendiri. Perhatikan sekeliling anda. Perhatikan langit dan bumi. Pertukaran siang dan malam. Perjalanan matahari dan bulan. Perbezaan lautan dan daratan. Pokok-pokok. Semuanya! Semuanya ada iktibar dan rahsia yang tersendiri. Tinggal hanya kita untuk menyingkap, memikir dan menyusunnya dengan kata-kata.

Namun, perlu kita ingat, apa yang kita tulis, tidak akan pernah menandingi kalimat Tuhan iaitu Al-Qur’an. Perkataan Allah akan tetap menang sampai bila-bila. Hatta sampai hari kiamat, Al-Qur’an akan tetap menjadi karya teragung. Maka, menulislah dengan berpantulkan dari cahaya Al-Qur’an, nescaya kita tidak akan sesat dan salah.

Katakanlah (hai Muhammad) : “Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis kalimat-kalimat Tuhan, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis kalimat-kalimat Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan”. – Surah Al-Kahfi; Ayat 109


Hakikatnya, apabila kita menulis semua yang berlaku dalam kehidupan kita ini, itu bermakna kita cuba mengenali Allah melalui kerajaanNya. Dan ketahuilah, barangsiapa yang cuba mengenali Allah, dia akan kenal siapa dirinya sendiri. Menulislah keranaNya..

Begitulah sedikit-sebanyak alasan kenapa saya menulis. Walaupun apa yang saya kongsikan tidak kesemuanya, namun ketiga perkara itulah yang menjadi asas utama saya dalam menulis. Saya yakin dan percaya, anda juga mempunyai alasan yang tersendiri untuk menulis. Apa yang penting adalah agar setiap tulisan kita akan mampu menggerakan hati manusia ke arah perubahan yang baik dan lebih baik.



Bernafas Pada Tahun 2017

Alhamdulillah, selama mengendalikan blog ini, saya sangat bersyukur kepada Allah Ta’ala sebab dengan secara tidaklangsung, saya berkongsi dengan anda semua tentang apa yang saya lalui dalam hidup agar ianya menjadi tatapan kita bersama. Sejujurnya, apa yang tertumpah selama ini, bukanlah ditulis untuk hiburan semata, melainkan untuk sekadar berkongsi rasa.

Ajaibnya menulis sehingga dalam setiap perkataan yang tersusun, mengandungi emosi tertentu. Misal kata saya tulis perkataan ‘menangis’. Perkataan ‘menangis’ itu sendiri sedang menangis. Begitulah perkataan-perkataan lain seperti ‘bahagia’ atau ‘kecewa’. Semuanya ada rahsia tersendiri.

Maka, secara kasarnya, pada saat ini, secara tidaklangsung, saya sedang menyusun emosi saya. Perhatikanlah.

Alhamdulillah, saya masih bernafas pada tahun 2017 ini. Tiada yang saya harapkan melainkan blog ini tetap menjadi perantaraan antara saya dengan anda semua untuk sama-sama memahami kehidupan yang sementara ini.

Satu hari, seorang lelaki bertanya saya, “Apakah yang benar-benar mendorong kau untuk menulis?” . Adapun, saya tersenyum mendengar soalan itu dilontarkan. Apa jawapan saya?

Saya menjawab, “Ingat mati..”.

Ya, mengingati mati. Saya menyedari bahawa saya tidak akan hidup selama-lamanya di dunia ini. Malah, saya juga menyedari akan janji Allah Ta’ala dalam Al-Qur’an bahawa ‘Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati’. Saya, anda dan kita semua, pasti akan mati. Inilah motivasi menulis saya yang paling kuat.

Pepatah Arab ada mengatakan, Barangsiapa yang menulis; maka dia tidak akan mati.

Maksudnya di sini adalah, seorang penulis bila dia mati, hanya saja jasad dan rohnya yang mati, namun tulisannya akan tetap ‘hidup’ merentasi zaman.

Anda mahu buktinya? Lihat lagi ‘ulama-‘ulama kita yang menulis kitab. Mereka sudah lama meninggalkan kita, tetapi tidak kitab tulisan mereka. Tulisan mereka tetap hidup di hati kita sampailah sekarang.

Sebagai seorang penulis muda, saya mengharapkan agar pemuda-pemudi yang sebaya umur dengan saya, agar sama-sama menulis. Menulis untuk mendidik ummah. Menulis untuk merealisasikan gagasan da’wah. Menulis untuk membentuk diri sendiri. Tidak kiralah dengan menggunakan medium apa sekalipun. Sebarkanlah ilmu dan inspirasi. InshaaAllah, bahagia.

Rasulullah SAW bersabda, “Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain”. H.R Ahmad.

Sudah tiba masanya, Brunei Darussalam sendiri melahirkan penulis-penulis yang berkaliber sepertimana negara lain. Tidak kiralah penulis dalam bidang apa sekalipun, yang penting menulis. Ekonomi, perubatan, inspirasi hidup, keusahawanan, pendidikan, religi dan lain-lain lagi.

Saya berimpian agar kita mampu melahirkan generasi yang berjihad dengan pena, sehingga kita semua berkumpul di syurga.

Jangan tanya saya bagaimana mahu menulis. Tetapi, tulislah dari hati anda sendiri. InshaaAllah; ‘rasa’ itu akan menyalur dalam perkataan dan bahasa yang anda susun. Luruskanlah niat keranaNya semata-mata dan mulakanlah dengan menyebut namaNya.

Semoga tulisan saya kali ini, mampu menjentik semangat anda agar menjadi ejen-ejen Islam yang menyebarkan syi’ar agama dengan ikhlas dan tawadhu’.

InshaaAllah, tahun ini, akan ada beberapa pembaharuan dan peningkatan untuk blog saya. Teruskanlah memberi sokongan, kritikan dan cadangan. Doa-doakanlah agar kita semua sentiasa diberikan nikmat untuk saling ingat-memperingati dan nasihat-menasihati. Terima kasih saya ucapkan atas sokongan anda selama ini. Terima kasih juga atas kritikan dan cadangan yang selama ini diberikan. InshaaAllah, perjuangan perlu diteruskan.

Selamat menjalani hidup dengan sisa-sisa nafas yang ada, pada tahun 2017 ini.

Penulis,
HS


Top 10 - 2016

Sempena masuknya tahun baru ini, ingin saya kongsikan dengan anda semua, 10 senarai artikel/puisi yang bagi saya; memberikan kesan yang sangat mendalam terhadap diri saya sebagai penulis sepanjang tahun 2016.
1- Salam Rindu, PTEM!
2- Mengejar Kesempurnaan
3- Aku Bangga Menjadi Tahanan!
4- “I’m Tired….But,”
5- Once A Beggar, Always A Beggar
6- Puisi Rabak #4
7- Kompilasi : #InspirasiKu
8- Artikel Istimewa : Kebangkitan! The Biggest Reveal
9- #AllahwaRasul : Is It Because You love me?
10- #AllahwaRasul : Musim Luruh Di Hatiku

--

“Kedegilan berpunca daripada kedangkalan ilmu. Sebab itu, tinta para ‘ulama setara dengan darah para syuhada’. Malah adakalanya lebih utama ketajaman pena daripada ketajaman pedang..” – Ustaz Pahrol Mohd Juoi

#AllahwaRasul

Ulasan

Catat Ulasan

Catatan Popular