Artikel : Berjalan Di Lorong Cinta
--
“You are not a drop in the ocean. You are the entire ocean in a
drop” – Rumi
Seringkali,
hidup ini memerlukan kita untuk selalu memikirkan tentangnya. Malah, seringkali
juga hidup ini menuntut kita untuk melihat ke dalam diri kita, agar dapat
memikirkan apa yang ada di sekeliling kita. Justeru, mereka yang rajin melihat
ke dalam dirinya, akan mempunyai pandangan yang sangat jauh. Manusia
sedemikian, amat suka merakit hikmah dan amat suka menumpahkan rasa dari ruang
cinta yang paling dalam.
Dunia
ini berlapiskan kehidupan. Manakala, kehidupan pula berlapiskan dengan cinta.
Cinta pula berlapiskan banyak perkara seperti ketidakwarasan, pengorbanan,
fana, ketaatan, kesedihan, kegilaan, nafsu dan macam-macam lagi. Hakikatnya;
cinta itu sentiasa menyelusup masuk dalam apa jua perkara yang dijumpainya.
Jika
cinta mendatangimu dari arah belakang; maka peluklah ia dan sambutlah dengan
penuh cinta..
Cinta
itu sifatnya universal. Ia lebih daripada sekadar perasaan yang berlegar-legar
atau berlari-lari dalam hati manusia. Akan tetapi, cinta adalah kuasa yang
mampu mengubah manusia normal menjadi gila, yang fokus menjadi sering berkhayal
dan yang penakut menjadi seorang yang berani. Ah, banyak lagi yang boleh
berubah dalam sekelip mata hanya kerana asbab makhluk yang bernama cinta.
Namun,
umat manusia sudah mula suka menyempitkan skop cinta. Mereka memandang cinta
hanya pada perkara yang berhubung cintan-cintun (hubungan antara satu sama
lain), kahwin, budaya couple ataupun sebagainya. Hal ini membuatkan saya
berfikir panjang.
“Jika
beginilah kita memandang cinta, maka cinta sudah disalahertikan..” nasihat
seorang kenalan satu masa dahulu.
Oleh
yang demikian, di sini, ingin saya hidangkan beberapa babak cinta yang
dimainkan oleh beberapa orang yang hidupnya dihiasai dengan memahami hakikat
cinta yang sebenar.
--
01 :
Cinta Apakah Ini?
Hari
itu, alam menggambarkan kesedihan di langit Madinah. Terdengar bunyi tangisan
dan rontaan yang sangat menyayat hati dari segenap lorong dan rumah. Justeru,
diceritakan terdapat sang isteri yang menangis sehingga jatuh pengsan. Malah,
diceritakan juga anak-anak kecil yang masih awal usia, turut bersedih dengan
kepergian insan yang mulia itu. Semuanya menangis kesedihan.
Di
tengah ramainya manusia berkumpul di hadapan masjid yang menjadi memori
terindah bersama insan agung itu, lalu terdengar bunyi gertakan seorang lelaki
yang terkenal dengan kerendahan hati dan sifat pengasihannya. Orang ramai
terkejut dan kebingungan melihat tindakan lelaki yang selama ini mereka anggap
sebagai orang yang sangat waras dan bijak. Namun, diceritakan bahawa pada hari
tersebut, keadaan lelaki itu seolah-olah telah hilang pertimbangan akal
sihatnya.
Lantas,
dikeluarkannya pedangnya yang berkilau itu sambil diangkat tinggi-tinggi penuh
kekerasan. Lalu, terdengarlah gertakannya itu lagi. Suaranya yang lantang itu
telah memenuhi ruang hati yang berada di sekelilingnya.
“Siapa
yang berani mengatakan Rasulullah telah wafat, nescaya aku pancung kepalanya!”.
Demikian
bunyi gertakan itu. Gertakan yang lahir dari jiwa yang paling dalam. Gertakan
yang lahir dari rasa jiwa yang penuh rahsia.
Lantas,
semua yang mendengar gertakan itu terdiam. Cuba memikirkan apakah sebenarnya perkara
yang membuatkan lelaki ini bersikap demikian. Bukankah lelaki ini yang paling
rapat dengan Rasulullah? Bukankah lelaki ini yang menjadi kesayangan dan
kebanggaan Rasulullah?
Ketahuilah
wahai yang tertanya-tanya; yang membuatkan lelaki ini bersikap sedemikian,
bukanlah kerana nafsu amarahnya semata-mata. Selain itu, bukan juga disebabkan perasaan
tidak redha dengan kepergian insan yang disayanginya. Malah, bukan juga
disebabkan dendam kesumat yang menyebabkan lelaki ini hilang kewarasan akalnya.
Ah, jauh sekali.
Namun,
ketahuilah, bahawa yang membuatkan lelaki ini bersikap sedemikian keras adalah kerana
cinta.
Cinta
telah menguasai hatinya. Cinta telah menghancurkan kewarasan akalnya. Cinta
telah membuatkan ia jadi memberontak. Ah, cinta apakah ini? Cinta apakah yang
mengambil alih hati lelaki ini?
Ya,
cinta terhadap Rasulullah. Cinta atas cinta.
Cinta
inilah yang membuatkan lelaki ini berani menggertak mereka yang mengisytiharkan
Rasulullah telah wafat. Cinta inilah yang meragut kewarasan dirinya. Bahkan,
cinta inilah juga yang membuatkan satu Madinah pecah dalam tangisan. Cinta
inilah yang membuatkan langit Madinah turut menangis kesedihan. Cinta inilah
yang menyayat hati-hati mereka yang pernah melihat insan agung itu
berjalan-jalan/berkeliaran di setiap lorong kota Madinah.
Sekali
lagi; tanya diri kita. Cinta apakah ini?
Bayangkanlah,
hati mana yang sanggup tatkala terpisah dengan insan yang sangat dicintai dan
disayangi? Jawaplah, hati mana yang sanggup? Hati siapa?
Begitulah
cinta yang berpaksikan kebenaran. Cinta suci yang mengatasi segala keraguan dan
ketidaksempurnaan. Pandangan hatinya sudah tidak lagi memerhatikan lewat batas
akal, tapi bersandarkan pada cahaya yang terpancar ke dalam jiwanya.
Sungguh,
kecintaan lelaki ini terhadap Rasulullah, melebihi ruang realiti mahupun
fantasi. Cinta lelaki ini terhadap Rasulullah melonjak tinggi di luar batas
hakiki. Terabadi pada kesempurnaan iman. Bersemadi dalam dalam Al-Haq dan
Ar-Rahman.
Buktinya,
lelaki ini pernah mengatakan pada Rasulullah sambil tangannya dipegang, “Ya
Rasulullah, sungguh engkau lebih aku cintai lebih daripada segalanya kecuali
diriku”.
Kemudian,
dijawab oleh Rasulullah, “Tidak sempurna iman seseorang, melainkan aku lebih ia
cintai dari segalanya bahkan dirinya sendiri”.
Lalu,
dibalas oleh lelaki itu lagi, “Sesungguhnya, aku dapat merasakan itu sekarang.
Demi Allah, sekarang engkau lebih aku cintai lebih dari segalanya bahkan diriku
sendiri”.
Lantas,
Rasulullah menjawab dengan senyuman yang penuh cinta, “Sekarang hai Umar!”.
Ya,
lelaki itu adalah Umar Al-Khattab. Lelaki yang terkenal dengan gelaran
Al-Farouq.
Sekali
lagi; cinta apakah yang menguasai hati lelaki ini? Cinta apakah ini?
02 :
Rumah Cinta
“Yang tergelap dalam hidup ini adalah rumah kekasih tanpa Kekasih”
- Rumi
Petikan
kata di atas mengandungi makna yang sungguh mendalam buat kita yang berjalan di
lorong cinta.
Benarlah,
bahawa cinta itu juga boleh diertikatakan dengan cahaya yang menerangi setiap
hati kita. Namun, soal bercahaya atau tidak, itu juga bergantung pada jenis
cinta apa yang duduk dalam hati kita. Jika cinta yang duduk dalam hati kita
berpaksikan Allah dan RasulNya; maka rumah(hati) kita akan bersinar. Jika cinta
yang duduk dalam rumah(hati) kita berpaksikan duniawi semata, maka di manakah
agaknya cahaya akan berteduh?
Lantaran
itu; bukalah pintu rumah kita seluas-luasnya. Biarkan cinta yang benar sahaja
yang masuk. Jangan buka pintu jika yang datang itu cinta yang meragukan ataupun
yang melemahkan diri kita ataupun yang menjauhkan kita daripada Allah dan
RasulNya. Sungguh, cinta yang sedemikian hanya akan menghancurkan rumahmu.
Sungguh,
cinta itu memerlukan kita untuk berjuang untuknya. Perjuangan pula sentiasa
menagih fokus dan fokus pula seringkali diganggu oleh sesuatu yang namanya
khayal.
Maka,
perhatikanlah wahai jiwa yang berjuang untuk cinta. Seandainya, cinta yang kita
perjuangkan adalah cinta yang hakiki; maka tetapkanlah pendirian dan fokuslah
kepadaNya. Jika yang diperjuangkan adalah cinta yang disebaliknya, maka
tunggulah sahaja masa hatimu hancur berkecai binasa. Oleh yang demikian, amat
penting untuk kita fokus terhadap memperjuangkan cintaNya, berbanding cintanya.
Sedar
atau tidak, manusia zaman ini, sangat mudah mengalihkan perhatian daripada
cintaNya. Kita mudah hilang fokus bilamana duniawi dibentangkan di hadapan
mata. Kita mula khayal dengan cinta dunia yang hakikatnya tidak sehebat
cintaNya.
Maka,
masuklah semula ke dalam diri kita. Renungkan semula kita hidup untuk siapa.
Hadapkanlah semula perhatian kita kepadaNya yang tidak pernah berpaling dari
kita. Soalkan kembali diri kita, siapa yang patut kita cintai? Siapa menjadi
ikutan kita? Siapa?
Sungguh,
jika ianya dari kalangan orang soleh, nescaya memadai Rabiatul Adawiyyah untuk
kita jadikan ikutan dalam hal ini.
Wanita
ini, adalah antara wanita yang terawal berjalan di atas lorong cinta ini.
Hatinya telah memusat sepenuhnya pada cinta Al-Khaliq.
Satu
hari, Hassan Al-Basri bertanya kepada Rabiatul Adawiyyah, “Kenapa sampai
sekarang engkau tidak mahu hidup berpasangan(kahwin)?”.
Lantas,
Rabiatul Adawiyyah menjawab, “Bagaimana mungkin aku akan hidup bersama
seseorang dan mencintainya, sedangkan hatiku sudah tidak ada ruang kerana penuh
dengan cinta terhadapNya?”.
Demikian
jawapan yang keluar dari bibir si Pencinta.
Lihatlah
babak ini. Perhatikanlah bagaimana rumah(hati) Rabiatul Adawiyyah sudah penuh dengan
cintaNya sehingga tidak ada ruang untuk cinta lain masuk.
Bayangkan
lagi analogi ini, jika rumah kita penuh dengan barang-barang kesukaan kita.
Kemudian, datang seseorang memberikan barang-barang rumah yang sudah buruk dan
rosak, apakah kita akan menerima untuk dijadikan sebagai perhiasan rumah kita?
Sudah tentu tidak. Atau, datang pula seseorang yang memberikan barangan rumah
yang masih baru dan cantik, namun ternyata, benar-benar sudah tidak ada ruang
lagi untuk kita menyimpan barangan tersebut sebagai perhiasan. Apakah kita akan
menerima barangan tersebut atau tidak? Tidak juga.
Begitulah
apabila hati sudah fokus pada memperjuangkan cinta Allah dan RasulNya. Kita
akan menemui jalan pulang ke ‘rumah’ kita.
‘If
light is in your heart, you will find your way home’ - Rumi
Maka,
jangan pula kita mudah berkhayal dengan cinta manusia yang hakikatnya sedikit
berbanding cinta Allah yang lebih agung. Sungguh, cinta manusia hanya akan
benar, bilamana hati mengutamakan hak Allah dan RasulNya. Bilamana Allah dan
RasulNya sudah menjadi keutamaan kita, maka ketahuilah, hati kita bukan lagi
sebuah rumah yang perlu dipancarkan cahaya. Namun, kitalah yang akan
menyebarkan cahaya bagi rumah-rumah yang lain!
03 :
Jejak-Jejak Cinta
Bila
hati sudah dikuasai oleh cinta kepada Allah, maka seseorang yang penakut pun
boleh bertukar menjadi seorang yang berani. Dia berani berhadapan dengan risiko,
berani berhadapan dengan kegagalan dan berani berhadapan dengan cabaran. Bagi
dirinya; lebih baik mati mencuba daripada mati tidak mencuba langsung.
Kerap
kali dalam kehidupan ini, kita berjuang mati-matian untuk mendapatkan sesuatu
yang kita inginkan. Kita sanggup berjaga sampai tengah malam semata-mata untuk
mengulangkaji pelajaran sampai kita jatuh sakit. Semuanya demi meraih kejayaan.
Kita sanggup membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk membeli rumah, kereta dan
sebagainya, hanya semata-mata demi kebahagiaan diri sendiri. Ada juga yang
sanggup berbelanja beratus ringgit untuk mengembara ke seluruh dunia demi
mencapai impian hidup mereka untuk mengelilingi dunia. Ya, macam-macam perkara
lagi yang menuntut diri kita untuk berjuang mati-matian dalam hidup ini.
Namun,
kesemua perkara yang saya sebutkan, hanyalah keinginan ataupun impian yang bersifat
duniawi.
Pernah
atau tidak, kita memikirkan, apakah agaknya keinginan hati Rasulullah yang paling
besar?Atau, pernah atau tidak terlintas dalam minda kita, apakah impian
terbesar Rasulullah?
Impian
terbesar Rasulullah adalah untuk menyaksikan kesemua umatnya melepasi titian
Siraat dan berkumpul bersama-sama dengannya di syurga Firdaus. Ini impian
terbesar Rasulullah. Rasulullah tidak mahu menyaksikan seorang pun dari
kalangan umatnya dimasukkan ke dalam neraka Jahannam.
Maka,
dengan impian itulah, Rasulullah bermati-matian mengajak manusia kepada
kebenaran dan mencegah manusia daripada terjerumus dalam kancah dosa. Malah,
pagi, petang, siang dan malamnya, Rasulullah tidak pernah luput daripada mendoakan
diri kita agar tetap beriman kepada Allah Ta’ala.
Tidak
cukup itu. Tambahan lagi, Rasulullah terpaksa menghadapi pelbagai cabaran dan
rintangan dalam misi merealisasikan impian Baginda untuk menyelamatkan umatnya
dari terus dinodai jahiliyyah. Caci tohmah, batu berdarah, najis kamah.
Kesemuanya telah dilalui Rasulullah dalam mengejar impian terbesarnya.
Sekarang, soal diri kita. Apakah agaknya perkara yang mendorong Rasulullah begitu kuat untuk berani
menghadapi semua cabaran dan rintangan yang ada? Apakah sebenarnya yang
membuatkan Rasulullah begitu teria-ia untuk menyelamatkan kita semua agar tidak
dilemparkan ke dalam neraka? Apa? Kenapa?
Ketahuilah;
perkara yang mendorong Rasulullah untuk melakukan sedemikian, adalah cinta.
Rasulullah sangat-sangat mencintai umatnya. Rasulullah sayang kepada kita dan
rindu kepada kita. Rasulullah tidak mahu kita terpisah dengannya di akhirat
kelak. Rasulullah ingin hidup bersama kita di syurga. Rasulullah ingin
berkumpul bersama kita. Sungguh, terlalu agung cinta yang Rasulullah
persembahkan buat kita ini.
Namun,
kita sudah melupakan pengorbanan dan usaha Rasulullah dalam merealisasikan
impian Baginda. Bahkan, kita mula sanggup untuk menghancurkan impian Rasulullah
untuk berkumpul bersama-sama kita, dengan melakukan apa yang dilarang oleh
Allah. Kerap kali, dengan penuh senghaja kita ingin melemparkan diri kita ke
dalam api neraka sehinggakan kita lupa, 1400 tahun yang lalu, ada lelaki yang
bermati-matian untuk menyelamatkan diri kita dari jurang api neraka.
Ah,
agaknya apa lagi alasan kita untuk tidak mencintai Rasulullah pada akhir zaman ini?
Ibarat cinta bertepuk sebelah tangan.
Kerana
cintakan umatnya; Rasulullah menjadi seorang yang berani berhadapan dengan
risiko, cabaran mahupun ujian. Tidak kiralah betapa besarnya aral yang
melintang di hadapan Rasulullah, Rasulullah tetap kuat dan berani mengatasinya
dengan taqwa dan iman.
Inilah
warisan cinta yang ditinggalkan oleh Rasulullah untuk kita. Rasulullah tidak
meninggalkan harta yang melimpah ruah untuk kita. Akan tetapi, Rasulullah
meninggalkan kita jejak-jejak cinta(Al-Qur’an dan As-Sunnah) yang perlu kita
telusuri dengan sabar. Dengan jejak-jejak itulah, ianya akan membawa kita menuju
ke hadapan pintu syurga dan pada saat itu, kita pun akan masuk ke dalamnya bersama-sama
dengan Rasulullah.
Mulai
saat ini; ikutilah kembali jejak-jejak cinta yang semakin dilupai ini. Jangan
menunggu musim salji tiba, yang akan membuatkan susah untuk kita melihat
jejak-jejak cinta yang ada. Mulailah berjalan merintis jejak-jejaknya.
"Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." - 'Ali Imran:31
"Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." - 'Ali Imran:31
Mohonlah
juga doa kepada Allah Ta’ala, agar memberikan kita kesempatan untuk menjejak
bumi Madinah. Betapa beruntung mereka yang dipilih untuk menjejakkan kaki di
bumi Madinah. Bumi yang menjadi saksi bagi setiap langkah kaki dan hembusan
nafas Rasulullah.
Saya
tutup artikel ini dengan sebuah puisi. Bacalah ia dengan penuh cinta…
‘It’s
your road, and yours alone. Others may walk it with you, but no one can walk it
for you’ – Rumi.
#AllahwaRasul
#BerjalanDiLorongCinta
#AllahwaRasul
#BerjalanDiLorongCinta
Ulasan
Catat Ulasan