Artikel : Hidup Mati, Untuk Allah!



--

01: The Forgotten Truth

Hidup ini ibarat sebuah pengembaraan yang sangat panjang.

Begitulah ayat yang sering diuar-uarkan oleh sesetengah manusia.

Benarlah bahawa hidup ini ibarat menyelusuri satu perjalanan yang penuh dengan cabaran dan rintangan. Di sepanjangnya, akan kita jumpai pelbagai jenis manusia yang mengajarkan kita erti kehidupan yang sebenar. Masing-masing Allah hadirkan untuk membawa sepotong hikmah untuk dikongsi bersama. Ada pula, Allah hadirkan sebagai ujian buat kita. Maka, terpulanglah kepada manusia untuk memikirkan apa rahsia yang sebenar di sebalik kehadiran seseorang itu dalam hidup kita.

Ingatlah, bahawa kehidupan kita ini adalah sebuah ‘manuskrip’ yang ditulis sendiri oleh Allah Ta’ala dan amat mustahil bagi Allah, untuk menyusupkan watak-watak tertentu tanpa ada keistimewaan ataupun hikmah pelajarannya yang tersendiri. Ibarat kata seorang penulis; life is a story!

Maka, perhatikanlah hai manusia, siapa saja yang Allah hadirkan dalam hidupmu bermula dari sejak lahirmu sehinggalah sekarang. Mereka itulah watak-watak yang Allah ciptakan untuk melengkapi jalan cerita hidupmu.

Everyone comes into your life for a reason, some for good or bad, they may shape us, break us, but in the end, they make us who we are” 

Apa yang sangat menarik ialah, Allah menulis jalan cerita hidup kita dengan sebuah pengakhiran yang sama, iaitu semua ‘watak-watak’ pasti akan dimatikan. Apa yang menjadi perbezaan hanyalah cara mati. Manakala, cara matinya pula bergantung pada cara hidupnya. Jika cara hidup baik; inshaaAllah, pengakhiran pun baik. Jika cara hidup buruk; maka pengakhiran pun boleh jadi buruk.

Sesungguhnya; setiap hembusan nafas kita di dunia ini sebenarnya hanya akan membawa kita kepada satu perhentian iaitu kematian. Lihatlah kebelakangan ini, sudah berapa ramaikah insan yang kita kenali atau yang kita sayangi, sudah kembali menghadap Ilahi? Lantas, pemergian mereka membuatkan urat dahi kita kencang berfikir, hati kita berdegup kencang penuh getaran, lidah juga bibir kita kaku membisu tanpa perkataan dan mata kita mula hening syahdu merenungkan.

“Bilakah pula giliran aku?” kita mula mempersoalkan.

Seseorang yang menyedari bahawa dia tidak akan hidup selamanya di dunia ini, pasti akan bijak mengatur kehidupannya. Dia tidak akan membuang masa dengan melakukan perkara yang tidak berfaedah apatah lagi melakukan perkara-perkara yang mengundang kemurkaan Allah Ta’ala. Hatinya sentiasa merasa diperhatikan dengan sebenar-benarnya oleh Allah Ta’ala. Malah, hatinya juga merasa dekat dengan Allah Ta’ala, dalam setiap penjuru kehidupannya.

Ibaratnya seperti seorang murid yang akan menghadapi peperiksaan besar, dia akan menyiapkan persediaan yang sangat rapi dan cukup untuk menghadapi soalan-soalan yang akan dikemukakan. Demikian pula mereka yang beriman dengan Allah Ta’ala. Mereka mempersiapkan ‘jawapan-jawapan’ bagi soalan yang sudah dibocorkan oleh Allah ketika di dalam kubur nanti sebelum menghadap Tuhan di hari pembalasan.

Namun, apa yang sangat membimbangkan, saat menjalani kehidupan ini, seringkali kita lupa untuk mengingati kematian. Kita merasakan bahawa kita akan hidup selama-lamanya di dunia ini. Malah, kita merasakan bahawa kematian kita masih jauh daripada kita walhal malaikat maut menjenguk kita sebanyak 70 kali setiap hari.

Allah Ta'ala berfirman dalam Surah Qaf, ayat 19, "Dan (apabila sampai ajal seseorang) datanglah "Sakaratulmaut" membawa kebenaran (yang telah dijanjikan, serta dikatakan kepada yang mengingkarinya sebelum itu): "Inilah perkara yang engkau selalu mengelak diri daripadanya!" .

Sungguh, nasihat itu ada dua. Satu yang pandai berbicara iaitu Al-Quran. Satu lagi hanya pandai berdiam sahaja iaitu kematian. Oleh kerana kematian itu sifatnya ‘diam-diam’, ramai manusia lupa untuk mengingatinya. The forgotten truth!


02: Liku-Liku Hidup

Sudah semestinya, sepanjang perjalanan kita menuju kematian ini, pelbagai perkara yang akan kita alami sama ada perkara yang positif ataupun negatif. Kedua-dua perkara ini sebenarnya menjadi secebis ujian buat seorang hamba yang berjalan di atas muka bumi ini sebelum menghadap Tuhannya. Setiap jam, minit, saat bahkan setiap hembusan nafas! Manusia tidak akan pernah terlepas daripada diuji oleh Tuhan.

Jika kita perhatikan, seringkali kita diuji dengan kesakitan, ketakutan ataupun kekecewaan. Acap kali, perkara-perkara sedemikian datang daripada insan-insan yang Allah hadirkan dalam hidup kita. Boleh jadi melalui keluarga, sahabat, guru ataupun orang yang kita tidak kenali. Kesemuanya ini sebenarnya bertujuan untuk mengindahkan lagi jalan cerita hidup kita.

Hakikatnya, ia merupakan tanda bahawa Allah ingin melihat sejauhmana kita benar-benar beriman padaNya dan sejauhmana kita benar-benar ingin mencapai redhaNya. Ya, Allah hendak tengok sama ada kita benar-benar hidup untukNya ataupun hanya main-main denganNya.

"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?" - Surah Ankabut; ayat 2.

Perhatikan lagi…

Ketika diuji dengan kesakitan, di situ Allah menguji sejauhmana kesabaran hati kita menerimanya. Allah hendak lihat bagaimana kita berhadapan dengan kesakitan itu sama ada dengan bersyukur ataupun merungut. Jika kita bersabar dan redha dengan kesakitan yang kita alami, tidak kiralah sakit hati ataupun ditimpa penyakit, maka kita akan menang di sisi Allah. Justeru, jika kita merungut dengan kesakitan yang kita alami; sehingga berani mempersoalkan takdir yang Allah susunkan untuk kita, maka kita tewas di sisiNya.

Tajamkanlah mata hati kita dengan memandang kesakitan itu sebagai hadiah daripada Allah Ta’ala. Allah beri sakit, supaya kita kembali merangkak kepadaNya. Kembali bergantung harap padaNya dan kembali bermanja denganNya. Kadang, kita tidak sedar, saat Allah beri kita tubuh yang sihat, kita sibuk mengejar duniawi sehingga yang dikejar itu menghancurkan kehidupan kita. Bukankah Allah itu Maha Cemburu?

Ketika ditimpa ketakutan pula, seperti takut tidak dapat pekerjaan, takut dikecewakan, takut, kehilangan, takut ditolak pinangan, takut dilanda kemiskinan dan lain-lain ‘takut’ lagi, di sini pula, Allah hendak melihat sama ada kita lebih takut pada sesuatu yang bersifat duniawi ataupun kita lebih takut kepada Allah Ta’ala. Kerap kali, mereka yang takut tidak mendapat pekerjaan, terlibat dengan gejala rasuah hanya semata-mata mahu mendapatkan jawatan. Malah, ada juga mereka yang takut dilanda kemiskinan, sanggup mencuri hak orang lain demi kepentingan diri sendiri. Apakah penyakit yang menimpa orang sedemikian? Ya, mereka tidak takut lagi pada Allah. Mereka tidak takut dengan azab Allah dan mereka tidak takut lagi untuk berbuat maksiat di hadapan Allah. Lantas, mereka mula berani menerima rasuah dan mencuri, demi kepentingan diri sendiri. Mereka tidak lagi menghiraukan kepentingan Allah ataupun hak Allah.

Inilah yang akan berlaku bilamana ketakutan pada duniawi mengatasi ketakutan pada Ilahi. Akhirnya, yang diperolehi hanya kehancuran yang sangat merugikan diri sendiri. Rugi di dunia. Rugi di akhirat.

Apabila berhadapan dengan kekecewaan pula, di situ Allah hendak melihat bagaimana kita menghadapinya. Adakah dengan bersangka baik padaNya ataupun sebaliknya? Ingatlah, setiap orang yang beriman, mesti dipecahkan dahulu hatinya.

Hatinya pecah dengan pedihnya menggantung harapan pada manusia. Hatinya pecah dengan sakitnya berharap pada yang belum pasti. Hatinya pecah dengan kebenaran bahawa apa yang diinginkan, tidak semestinya menjadi miliknya. Ya, hatinya akan dipecahkan dengan perkara-perkara sedemikian.

Bilamana hati seorang hamba telah pecah, maka di situ barulah dia belajar erti sebenar-benarnya sebuah pengharapan. Di situ, dia akan mula mengerti bahawa sebaik-baik pergantungan, hanyalah pada Allah Ta’ala dan bukan pada makhluk yang bernama manusia. Justeru; cara dia memandang kehidupan pun akan mula berbeza. Semua apa yang dilihatnya; semuanya baik-baik belaka. Dikecewakan atau tidak, di sakiti atau tidak, sama sahaja bagi dirinya. Langsung tidak mengganggu hatinya lagi. Sampai pada satu tahap; hatinya sudah tidak lagi bersangka buruk pada Allah.

Tatkala hatinya pecah berkecai, akan kau lihat dirinya mengutip kembali ‘pecahan-pecahan’ itu, lalu ditemukannya semula penuh sabar dan tenang.Kemudian, dia kembali mendekat pada Allah sambil menangis sendu. Begitulah layak seorang Pencinta, sampailah nafasnya habis.

Apabila hatinya telah sampai pada hakikat ini, maka perhatikanlah dirinya. Sungguh, dia tidak lagi takut untuk dikecewakan. Dia tidak akan takut lagi jika disakiti oleh dunia yang penuh dengan tipu daya ini. Malah, dia tidak akan takut lagi dengan kehilangan orang-orang yang dia cintai. Ini kerana hatinya sudah memiliki Allah. 

Hatinya mula memandang bahawa Allah merupakan segala-galanya. Baginya, cukuplah Allah sahaja yang bertakhta di hati. Hatinya juga mula memandang, bahawa cinta Allah lebih agung daripada cinta manusia.

Bijak pandai pernah berkata, if you have Allah, you will have everything.

Demikianlah, sedikit gambaran bagaimana Allah menguji hamba-hambaNya dalam setiap hela nafas mereka.


03: Apabila Nafas Berbicara

Alhamdulillah, bersyukurlah kerana kita masih dipinjamkan nyawa olehNya.

Dengarkanlah bunyi hembusan nafas kita sejenak. Dengarkan pula bagaimana degupan jantung kita  mengejar nafas kita? Sungguh, betapa bernilainya setiap nafas yang Allah berikan kepada kita.

Bayangkanlah, bagaimana jika setiap hembusan nafas itu, Allah minta bayaran $1 setiap satu hela nafas? Sudah semestinya, tidak mampu kita untuk membayarnya. Hatta kita hadapkan orang yang paling kaya di dunia ini di depan Allah; nescaya hartanya itu tidak akan cukup untuk membayar setiap hela nafas yang penuh bermakna ini.

Pernahkah kita terfikir, dalam hidup yang singkat ini, berapa ramaikah manusia yang bernafas kerana Allah dan berapa ramaikah manusia yang bernafas bukan kerana Allah? Cuba fikirkan sejenak soalan yang cukup ‘simple’ ini.

Mungkin, kita berfikir bahawa bernafas ini satu perkara yang tidak perlu difikirkan kerana ia merupakan satu perkara yang bersifat biasa. Namun, bagi saya sendiri, bernafas merupakan satu perkara yang sangat luarbiasa jika diselami dengan mendalam. Bayangkanlah, jika setiap hembusan nafas kita benar-benar kerana Allah, agaknya apakah yang Allah akan bukakan untuk diri kita?

Sekarang, mari kita hitung pula, berapa jumlah hela nafas yang kita hembuskan kerana Allah dan berapa pula jumlah hela nafas yang kita hembuskan bukan kerana Allah sedari kita masih bayi sehinggalah sekarang? Agaknya, manasatu lagi banyak jumlahnya?

Ya, jawapan kita rata-rata sama. Kita tidak tahu jumlahnya.

Percayalah wahai manusia, dengan nafas-nafas inilah kita akan diminta pertanggungjawapan di akhirat kelak. Barangsiapa yang melakukan kebajikan sebesar Zarrah, kelak dia akan melihatnya. Demikian janji Allah Ta’ala kepada kita.

“Pada hela nafasmu yang ke-130000, apakah dosa yang kau lakukan pada saat itu?”. Demikian pula contoh soalan yang bakal dikemukakan bila berhadapan dengan Tuhan kita nanti.

Maka, mulai saat ini, perhatikanlah sisa-sisa nafasmu. Boleh jadi, engkau hanya berbaki sebanyak 70000 hela nafas lagi ataupun mungkin kira-kira dalam 90 hela nafas yang boleh habis tidak lebih 12 jam dari sekarang. Entah, aku tidak tahu.

Dalam 90 hela nafas yang berbaki itu, agaknya apa yang boleh kau lakukan agar mendapat Husnul Khatimah iaitu kesudahan yang baik?

Ayuh, tarik dan lepaskanlah nafasmu keranaNya. Pasangkanlah niat mulai sekarang untuk bernafas keranaNya. Dengan nafas-nafas yang tersisa inilah, kita akan menuju kepada Allah Ta’ala.

Sedarlah bahawa kita ini hidup bertuhankan Allah Ta’ala. Janganlah kita ‘syok sendiri’ ataupun main-main dengan Tuhan.

Sungguh, Allah sayang kita sungguh-sungguh. Tatkala hidup kita bergelumang dengan dosa sekalipun; Allah masih pinjamkan nyawa buat kita. Buktinya, ketika melakukan dosa, kita masih bernafas. Alangkah luasnya rahmat Allah Ta’ala. Namun, kita lupa untuk mensyukurinya.

Percayalah, bahawa Allah menyayangi kita lebih dari segala-galanya. Di akhirat kelak, tidak ada yang akan mampu menyelamatkan diri kita dari azab neraka melainkan Allah Ta’ala.

Lihatlah pada kehidupan Rasulullah SAW sendiri. Baginda SAW sentiasa bernafas kerana Allah Ta’ala. Setiap nafas yang terhembus tidak tersia walaupun satu hela melainkan kerana Allah Ta’ala. Bagaimanakah Rasulullah bernafas kerana Allah? Iaitu dengan berzikir mengingatiNya banyak-banyak dalam setiap jam, minit dan saat. Sungguh menakjubkan apabila kita sentiasa ingat akan Allah dalam apa jua yang kita lakukan dan di mana pun kita berada.

“Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan sembahyang, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring. Kemudian apabila kamu telah merasa tenteram(berada dalam keadaan aman), maka dirikanlah sembahyang itu(dengan sempurna sebagaimana biasa). Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.” – Surah An-Nisa; ayat 103.

Kesimpulannya, jadikanlah jalan cerita hidup kita bermakna dengan sentiasa melakukan yang terbaik untukNya. Selain itu, jadikanlah juga setiap hembusan nafas kita berbaloi agar ianya tidak menyusahkan kita di hari perhitungan nanti. Bersabarlah menghadapi ujian dan bersyukurlah kerana masih diuji oleh Tuhan. Ketahuilah, tanda Allah sangat sayang pada kita adalah apabila dia mengusik kita dengan ujian dan hakikatnya Dia(Allah) tahu bahawa kita pasti akan mampu menghadapinya sesuai dengan kadar kemampuan kita.

Hidup mati, untuk Allah!

InshaaAllah, saya tutup artikel ini dengan meninggalkan satu soalan untuk anda.

Sekarang, untuk siapa kau bernafas?

--

#AllahwaRasul
#HidupMatiUntukAllah

Ulasan

Catatan Popular