Yang Merindui


--

بسم الله الرحمن الرحيم

Jiwa yang merindui Allah, pasti senang duduk berseorangan. Malah, jika di tengah keramaian, hatinya tidak hadir di situ. Namun, hatinya terbang ke arah lain. Terbang dan mendarat di sisiNya.

Indahnya bila rindu itu bertandang, maka nafas yang berhembus pun mula lembut. Hati yang berdegup pun mula berdetak seirama dengan nada cintaNya. Fikiran pula membancuhkan idea dan inspirasi yang sungguh mempesonakan jiwa.

Si perindu itu duduk di dalam hatinya. Dia tidak mahu bangun dari sana. Bersandar pada 'dinding-dinding' yang dibangunnya sendiri. Kadang menangis; kadang tersenyum. Malah, adakalanya, kedua-duanya sekali.

"Aku merinduimu wahai Tuhanku.."

Tatkala dia sedar dari angannya, maka segala pergerakan yang dilakukannya adalah ilham dariNya. Mata hati pun tajam melihat dunia. Dunia yang berlapiskan kehidupan. Hidup yang penuh tipu daya. Di situ, tuntaslah semangat mengejar duniawi, lalu bangunlah semangat yang satu lagi mengejar ukhrawi.

Bilamana setiap nafasmu sudah terhembus demiNya, walau badai menghempap jiwamu berkali-kali, engkau tetap utuh berdiri. Engkau tetap berani menghadapi. Engkau rela berkorban. Engkau rela merasa sakit. Kerana jiwamu, sudah terpana. Terpesona pada cinta Allah 'azza wa Jalla.

Dan kau..duduk semula dalam hatimu. Memandang hidup dengan cinta. Benar, akan kau lihat apa yang sepatutnya kau lihat. Lalu, kau dongak ke langit. Menunggu gugusan bintang mengisyaratkan malam. Hadir pula yang namanya bulan, membawakan puisi-puisi cinta dari Tuhan sekalian alam.

Begitulah indahnya hati si perindu. Hatinya ibarat Aurora yang berpejaran. Indah menikam sukma. Sepi penuh rahsia. Bicaranya diam. Diamnya pula berbicara.

Aku akan terus duduk di sini.
Dalam ini..
Kau pula bagaimana?

-
#AllahwaRasul
#YangMerindui
#Allahughoyatuna

Ulasan

Catatan Popular