Catatan 1 : Sembuh Semula



--





--
بسم الله الرحمن الرحيم


Aku terbang tanpa sayap.
Menjunam tinggi dari kesengsaraan.
Lalu jatuh pada kehinaan.
Di situ hatiku terhempas dengan seribu sesalan.
Kudongak ke langit lalu terbang lagi menuju Tuhan.
Merintis kepulan awan putih yang harum semerbak wangian

Putih bersinar umpama lembah syurga terindah
Begitulah yang namanya harapan
Seluas langit terbentang yang tak berpenghujung
Nah, di atas sana ia disangkutkan

Si perindu yang duduk di sisi tingkap itu murung
Merenung jauh di balik awan berselindung
Wajah yang berbekas dari seribu luka
Tinta dan perkataan teman dijadikannya..

Apalah makna hidup kalau tak mengenal Tuhan
Maka terbangkanlah jiwa ini Ya Tuhan
Namun merendahlah dalam keikhlasan
Mengakui dan menyadari kefaqiran
Tiada kuasa mahupun keupayaan
Hanya sekadar pinjaman tulus dari Ar-Rahman

Bepergian merakit hikmah di rantauan
Lalu pulang dengan jiwa yang kekosongan
Sebuah permulaan baru bagi dirinya
Yang rindu dendam tuk bermesraan

Desus nafas bergantian dengan degupan
Tanda pinjaman masih dipinjamkan
Sekerat tenaga memperjuangkan
Demi Allah dan RasulNya - itulah sebenar tujuan
Membuka mata hati seluas-luasnya
Menadah ilmu dari alam dan perjumpaan
Nah, biru itu kebahagiaan
Putih pula menenangkan
Demikianlah hati seusai pulang dari perantauan

Inspirasi basi telah menjadi beku
Bisu ku membisu hening syahdu
Iman taqwa tak lagi berlagu
Begitulah hati si perindu
Mudah terganggu mudah tertipu

Untuk yang masih berjuang
Jangan lalai fana melayang
Perkasakan hati jitu berperang
Bukalah mata hati seluas sawah bidang
Kendalikan jiwamu terus terbang
Agar tak kau jatuh dirundung malang

Cerita manusia takkan pernah habis
Biar putih tulang mahupun gila bayang
Bumi akan terus menjadi saksi
Atas nafas-nafas manusia
Yang bahagia mahupun derita
Nah, demikian langit mendendangkan seloka
Adaptasi dari hati dan jiwa yang meronta
Seandainya langit dijadikan tinta
Pasti cukup ia tiada

 Mohon agar mendarat dengan selamat hai jiwa
Jangan kau terhempas dek beratnya dosa
Kerna yang namanya ringan itu kerap kali mewakili pahala
Ramai yang mahu tapi tak ramai memperjuangkannya

Akhirnya,
Simpan aku dalam diam
Diam aku dalam ketenangan
Biar maut mendatangiku dengan kesabaran
Lalu tamatlah kisahku di penjara keduniaan

--
#AllahwaRasul 
#SembuhSemula
 

Ulasan

Catatan Popular