Catatan 5 : Sambung Lagi Jalanmu...
--
بسم الله الرحمن الرحيم
Waktu yang bergulir, menghantarkanku pada perhentian ini. Imunisasi
diri yang semakin habis ditelan rakusnya dunia. Persemadian hati yang sudah lama
dibongkar dan diceroboh telah pun binasa. Ini semua angkara tangan sendiri.
Yang tidak sabar meniti kehidupan. Maka, nafsu pun dituruti; merentang luas di
dalam dada.
Jangan pula kau tanya tentang ketenanganku yang sudah kian habis.
Hari demi hari, dimensi dunia telah memecahkan ruang yang aku susun penuh
saksama. Kini, ruangan itu telah hancur berkecai ibarat cermin kaca yang
dihumban batu.
Kalau kuharapkan manusia, tak terubat hatiku. Semakin sakit jiwaku
– semakin membisu bibirku. Menelan pahitnya hempedu kian syahdu. Kucari di mana
hatiku…
Pengalaman mengajarkan, jangan mudah terburu-buru. Nanti hilang
keseimbangan, engkau pun meratap nan sayu. Hidup ini bukan hanya sekadar mengharap
dikipas bayu, tapi berjuanglah habis-habisan sehingga tak terhitung nafasmu.
Tak terhitung titik peluhmu.
Caramu juga gerakmu; semua itu biar kuat jangan lemah lesu.
Disambar petir dunia, elaklah dengan laju. Sekali lagi, jangan terburu-buru.
Takut nanti kau terpedaya dan kau pun tertipu.
Hentikan langkahmu, jika buruk niatmu. Perbetulkanlah niatmu, sambung lagi jalanmu.
Hentikan langkahmu, jika buruk niatmu. Perbetulkanlah niatmu, sambung lagi jalanmu.
Dan duri mula datang dari segenap penjuru. Kau pun dituduh melulu
dan dihakim sehingga malu. Juri yang tak dibayar, terhembuslah darinya kalimat
busuk berbau. Kau pun memekakkan telingamu, sekalipun tak begitu kejadian
asalmu. Asal kau tahu, hidup ini tujuannya bukanlah untuk itu. Tapi, ada lagi impian
besar yang harus kau ingat selalu. Ada lagi perjuangan akbar yang harus kau dapatkan
dahulu.
Bergeraklah; jangan kau diam kaku. Hayun tanganmu dan rendahkan
jiwamu. Jika engkau hendak menyusun bicaramu, fikirkanlah terlebih dahulu.
Adakah ia akan menyenangkan hatimu atau menyakitkan hatimu? Jika yang kau temui
ada baiknya pada kalimatmu, maka hembuskanlah ia satu demi satu. Demi Rabb yang
memegang jiwaku dan jiwamu; jangan kau hidup di dunia ini seandainya pujian
semata yang kau buru. Habis tersialah seluruh tenagamu andai itu yang kau mahu.
Andai dunia yang kau 'uyung' tanpa mengira apa yang bakal berlaku, maka ketahuilah bahawa Allah itu Maha Cemburu. Jangan sesekali kau kejar dunia yang hanya sebesar kutu kerana itu akan mengundang murka dari Yang Maha Cemburu. Kerana itu, bait perkataan di sini kususun penuh adab dan jitu. Sekadar usaha kecil untuk mengingatkan hatiku yang sering lalai dan terpesona dalam lorong gelap yang tak berlampu.
Andai dunia yang kau 'uyung' tanpa mengira apa yang bakal berlaku, maka ketahuilah bahawa Allah itu Maha Cemburu. Jangan sesekali kau kejar dunia yang hanya sebesar kutu kerana itu akan mengundang murka dari Yang Maha Cemburu. Kerana itu, bait perkataan di sini kususun penuh adab dan jitu. Sekadar usaha kecil untuk mengingatkan hatiku yang sering lalai dan terpesona dalam lorong gelap yang tak berlampu.
Sudah, jangan lagi begitu. Kuharap kita kan mula menapak hidup ini
dengan cahaya yang satu. Cahaya yang datang padamu pada malam hari tatkala kau
menangis sendu. Cahaya yang telah berjaya menyentuh sukmamu sehingga kau
pun terdiam menunggu. Menunggu akan dibukakan pintu. Pintu yang paling besar itu.
Pintu Pengampunan Tuhanmu dan Tuhanku. Yang kian hari kian kurindu nan pilu. Semakin lara gelora
jiwaku; mengetuk pintu nan syahdu - ku merayu.
Sampai pada akhirnya; Dia(الله) pun menjemput masuk melalui mana-mana pintu
yang kumahu. Gendang pun dipalu. Irama dan seloka syurga pun berlagu. Bidadari
berbaris indah memikat pandangan mata hatiku. Haruman kasturi pun menusuk ke dalam ragaku. Tapi lebih kuat baunya dari itu. Senyuman dan pandangan mata penghuni syurga pula; benar-benar telah memikat hatiku.
Ahlan wa sahlan. Hatiku telah sampai pada sebenar
maksud kehidupanku. Empat bait terakhir dalam Al-Fajr itu menjadi tuntutanku;
bahawa segala apa yang ada dalam hidupku, hanyalah sekadar permainan
yang maha menipu. RedhaMu, itulah sebenarnya apa yang kudamba selalu. Aku terdampar dalam syurgaMu. Mereguk sepuas-puasnya cinta
yang selama ini tertanam dalam qalbu. Sudah tiba masanya akan kutumpahkan gelas
rindu itu. Berseleraklah ia di hadapanMu; menjadi bukti akan seluruh pengabdianku
padaMu.
Sekian, luahan dari hambaMu yang tidak tahu malu.
--
Ulasan
Catat Ulasan